Tuesday, December 30, 2008

BN akan gempur kubu kuat PAS di Wakaf Mempelam

Calon BN, Senator Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh memaklumkan bahawa jentera BN akan berusaha keras untuk menarik sokongan pengundi-pengundi di Wakaf Mempelam bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN. DUN Wakaf Mempelam merupakan kubu kuat PAS di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Dato' Wan Ahmad Farid turut berjanji bahawa sekiranya BN berjaya mengekalkan kemenangan di PRK P.036 Kuala Terengganu pada 17 Januari depan, beliau akan melantik seorang pegawai khas dari kaum Cina bagi menjaga hal ehwal kebajikan kaum tersebut. Inisiatif tersebut mempunyai mesej jelas iaitu untuk memudahkan penyampaian dasar-dasar Kerajaan kepada rakyat dan Kerajaan sama sekali tidak akan meminggirkan kebajikan kaum Cina untuk sama-sama menikmati pembangunan di Terengganu khususnya di Parlimen Kuala Terengganu.

Monday, December 29, 2008

Israel Terus Mengganas Di Bumi Palestin



Sumber: Utusan Malaysia (29 Dis. 2008)

Monday, December 22, 2008

PRK Kuala Terengganu (P36) Pada 17 Januari '09


Bahang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu kian terasa. Meskipun penamaan calon akan dilakukan pada 6 Januari depan, namun rakyat semakin hebat bercakap mengenainya.

BN telah mempertaruhkan Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Timbalan Menteri Dalam Negeri (Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu) untuk dipilih pengundi pada 17 Januari akan datang. Di pihak pembangkang, Pakatan Rakyat bersetuju untuk menyerahkan kerusi parlimen itu kepada PAS. Walau bagaimanapun calonnya belum lagi diputuskan.

Desas-desus menyatakan bahawa PAS keliru untuk meletakkan nama calon-calonnya kerana orang yang disukai oleh Tuan Guru Nik Aziz iaitu Mat Sabu tidak mendapat sokongan disebabkan beliau adalah orang luar. Kononnya penyokong-penyokong PAS hanya mahukan orang tempatan sebagai calon mereka. Dilihat pemimpin-pemimpin PAS sendiri sukar untuk membuat keputusan dan memilih yang terbaik bagi mendokong perjuangan parti mereka. Semangat asabiyah (kenegerian) mereka begitu menebal kerana menolak Mat Sabu tanpa mengambil kira latar belakang pengalaman, kejayaan dan populariti Mat Sabu di kalangan pengundi-pengundi.

PAS sering menguar-uarkan bahawa tiada konsep diskriminasi dalam perjuangannya. Semua orang akan dilayan sama rata. Tetapi kini lihatlah. Mat Sabu tetap diiktiraf sebagai orang luar meskipun banyak menabur jasa kepada parti PAS.

Thursday, December 18, 2008

Mahal, tak jadi beli Soyuz



KUALA LUMPUR - Faktor harga yang terlalu mahal mendorong kerajaan melupakan rancangan membeli kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha pulang ke Bumi dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tahun lepas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Ongkili berkata, kerajaan tidak berhasrat meneruskan pembelian tersebut memandangkan kapsul Soyuz itu tidak memberi manfaat besar kepada negara.

"Pembelian tersebut telah digugurkan kerajaan, kerana ia melibatkan kos tinggi dan manfaatnya tidak terlalu besar untuk kita melaburkan wang yang banyak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Azizah Abdul Samad pada persidangan Dewan Negara semalam.

Sumber: Kosmo (18 Dis. 2008)

Tuesday, December 16, 2008

Harga petrol, diesel turun kali ke-7 lagi 10 sen

Berkuatkuasa malam tadi, harga runcit petrol dan diesel diturunkan buat kali ketujuh sebanyak 10 sen.

Harga petrol RON97 dikurangkan kepada RM1.80 seliter daripada RM1.90 seliter dan petrol RON92 pula diturunkan kepada RM1.70 seliter daripada RM1.80 seliter.

Harga diesel dikurangkan kepada RM1.70 seliter daripada RM1.80 seliter.

Terima kasih kepada Kerajaan yang prihatin dan benar-benar mengotakan janjinya kepada rakyat.

Monday, December 15, 2008

Trend harga pasaran dunia terus jatuh

BAYAN BARU - Harga runcit petrol dijangka turun lagi dalam tempoh terdekat berikutan trend harga yang menurun di pasaran dunia ketika ini.

Ketika mengesahkan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, ia memang boleh diturunkan lagi tanpa menyebut kadarnya.

“Kajian semula harga bahan api kebiasaannya dilakukan pada awal dan pertengahan bulan dan kini tempohnya semakin hampir untuk semakan semula,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga. Barang Keperluan Harian anjuran Kumpulan Pasar Raya Sunshine di Sunshine Square di sini, semalam.

Kali terakhir harga bahan api diturunkan iaitu kali keenam ialah pada 3 Disember lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan harga petrol RON 97 diturunkan 10 sen daripada RM2 kepada RM1.90 manakala diesel RON 92 daripada RM1.90 kepada RM1.80.

Beliau berkata, kerajaan akan memberi subsidi petrol kepada pengguna apabila harganya melebihi RM1.90 seliter.

Menurutnya, apabila harga petrol berada pada RM1.90 atau di bawah paras itu, pengguna akan membayar mengikut harga pam dan tidak melibatkan subsidi.

Beliau berkata, pengguna tidak boleh mengharapkan subsidi petrol yang berterusan daripada kerajaan kerana ia bukanlah suatu yang kekal.

“Jika harga petrol berada pada paras AS$82 setong atau lebih rendah di pasaran dunia, harga runcit ialah RM1.90 seliter walaupun pada perkiraan sesetengah pihak ia lebih rendah.

“Apabila tidak memberi subsidi 30 sen, kerajaan akan menggunakan sebahagiannya sebagai hasil melalui cukai manakala bakinya diberi sebagai ‘wang saku’ kepada pengguna.

“Kerajaan tidak ambil semua wang subsidi itu sebaliknya memberi kepada pengguna dalam pelbagai bentuk,” katanya.

Menurutnya, rebat kepada pengguna kenderaan yang diperkenalkan pada 1 April 2008 iaitu RM625 kepada kereta dan motosikal (RM150) berakhir pada 31 Mac 2009.

Sumber: Sinar Harian Online (15 Dis. 2008)

*****************

Semoga harga minyak petrol dan diesel dapat diturunkan lagi berdasarkan trend semasa pasaran minyak global yang semakin jatuh.

Namun rakyat jua harus faham bahawa sekiranya harga minyak petrol di bawah RM1.90 seliter, kerajaan tidak lagi memberi subsidi tetapi sebaliknya peruntukan subsidi itu akan digunakan untuk pembangunan lain yang turut memberi manfaat kepada rakyat.

Buta sejarah lemahkan perpaduan kaum

SEMPORNA - Masalah buta sejarah di kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, jika tidak dibendung dari awal boleh melemahkan perpaduan kaum dan mengganggu keharmonian hidup rakyat di negara ini, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sehubungan itu, beliau berkata, penekanan pembelajaran sejarah terutama di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi membimbing pelajar untuk mengetahui sejarah negara sendiri secara jelas amat sesuai dilaksanakan seawal yang boleh.

“Langkah Kementerian Pelajaran untuk mewajibkan subjek Sejarah di peringkat sekolah rendah amat tepat pada masanya bagi memberi pengetahuan tentang Sejarah negara lebih awal kepada pelajar,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk mewajibkan mata pelajaran sejarah di peringkat sekolah rendah.

Beliau berkata demikian selepas menutup Karnival Rukun Tetangga sempena kempen ‘Jiranku Keluargaku’ peringkat negeri Sabah di sini, kelmarin.

Menurut Shafie, melalui kefahaman yang mendalam mengenai sejarah negara sendiri, pelajar yang merupakan pelapis kepada kepimpinan masa depan negara tidak akan terkeliru dan sewenang-wenang melakukan sesuatu perkara yang boleh menggugat perpaduan kaum.

Shafie berkata, di negara maju seperti Britain, mata pelajaran Sejarah diberi penekanan sehingga pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan tidak hanya terhad di sekolah malah di media-media elektronik negara itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shafie mengajak semua lapisan rakyat supaya terus mengukuhkan perpaduan dan bersama-sama dengan kerajaan untuk menghadapi krisis kewangan global yang sedang melanda dunia. -BERNAMA

**************************

Keputusan Kementerian Pelajaran untuk mewajibkan subjek Sejarah diajar di peringkat sekolah rendah lagi merupakan suatu langkah bijak dan amat tepat pada masanya. Sekarang ini ramai pihak yang mempertikaikan mengenai isu ketuanan Melayu yang mana akan mengganggu-gugat perpaduan antara kaum di Malaysia ini.

Penekanan dan pemahaman yang sejelas-jelasnya perlu diketahui oleh semua kaum di negara kita kerana mengikut Perlembagaan Negara ada makna khusus antara penduduk orang Melayu - peribumi (indigenous), orang asli - penduduk asli/asal (origin) dan golongan pendatang seperti kaum Cina dan India yang diberi taraf kerakyatan sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Wednesday, December 3, 2008

Harga minyak turun 10 sen

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil keputusan untuk menurunkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa hari ini.

"Oleh kerana harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, harga petrol RON97 akan dikurangkan daripada RM2 seliter kepada RM1.90 seliter dan petrol RON92 akan diturunkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter.

Harga diesel akan dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter, kata beliau.

Ini merupakan kali keenam kerajaan menurunkan harga minyak sejak Ogos.

Kali terakhir harga minyak diturunkan ialah pada 18 November lalu. - Bernama

Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno

KUALA LUMPUR: Berkuatkuasa serta merta, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan Kapten (B) Zahar Hashim pula digantung keanggotaannya selama tiga tahun kerana membuat beberapa kenyataan mengkritik parti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini malam tadi, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata tindakan yang dikenakan ke atas Zaid dibuat kerana Umno perlu konsisten dalam tindakannya dan memastikan tidak wujudnya pilih kasih dalam mengambil tindakan displin terhadap anggotanya yang didapati bersalah.

Mengikut perlembagaan parti, anggota yang telah dipecat tidak boleh membuat rayuan, katanya.

"Ada tindakan-tindakan Zaid yang dilihat sebagai perkara yang menyalahi (peraturan) parti," katanya.

Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam dan sehari sebelum itu beliau juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

Menyentuh mengenai isu sensitif yang ditimbulkan anggota parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang dan akan dibincangkan dalam suasana yang terkawal.

"Tidak timbul keresahan atau cuit (perasaan) golongan lain. Satu mekanisme penting akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang. Ada isu sensitif, perkara ini mestilah berhati-hati. Kalau isu sensitif banyak orang yang akan terasa," katanya.

Bagaimanapun beliau menasihatkan mereka yang hendak menimbulkan sesuatu perkara atau reaksi yang tidak disenangi oleh kaum lain, perlu bertanggungjawab di atas tindakan yang dibuat.

"Kita semua kena berhati-hati tanpa mengira kaum dan agama. Negara ini mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama. Jadi isu agama dan bangsa boleh menimbulkan reaksi tidak menyenangkan, perlu latih diri supaya dikawal.

"Tidak bawa apa-apa keuntungan dan kebaikan pada rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengenai pendirian Umno yang dikatakan terlalu bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan parti komponen BN yang lain, Abdullah berkata: "Itu bukan bermakna kita diam langsung. Kita juga cakap dengan pemimpin-pemimpin berkenaan."

Menyentuh isu Adun Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendakwa dirinya telah dipinggirkan oleh Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, Perdana Menteri berkata Arif Shah bertemu dengannya semalam dan menyatakan pendirian yang beliau akan tetap bersama Umno dan BN serta tidak berminat menyertai parti lain.

Arif Shah dilaporkan berkata telah menerima pelawaan daripada PKR untuk menyertai parti itu baru-baru ini.

Mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata MT masih belum memutuskan calon yang akan mewakili BN bagi mempertahankan kerusi itu yang kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Mengenai sama ada MT Umno akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan calon yang akan dipilih bagi mewakili BN beliau berkata: "Tidak semestinya MT yang akan membuat keputusan (mengenai calon). Jawatankuasa pengurusanpun boleh pilih calon dan memaklumkan kepada saya." - Bernama

Sumber: Berita Harian Online (3 Dis. 2008)

*******************************************

Keputusan MT UMNO dengan memecat keanggotaan Datuk Zaid Ibrahim dalam UMNO merupakan satu langkah telus dan bijak kerana tiada gunanya lagi untuk menerima atau menyimpan pemimpin/ahli yang tidak jujur kepada parti. Kehadiran beliau dalam kongres PKR baru-baru ini amat menunjukkan bahawa beliau memberi sokongan jitu terhadap perjuangan parti tersebut di samping memberi signal kepada umum bahawa beliau akan menyertai PKR.

Datuk Zaid juga sebelum ini telah banyak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian kerajaan khususnya mengenai meminda akta ISA. Dikhuatiri jika masih berada dalam UMNO beliau boleh menjadi seumpama api dalam sekam atau gunting dalam lipatan serta boleh mempengaruhi orang lain.


Pendapat peribadi saya menyatakan bahawa beliau pasti akan menyertai parti pembangkang tidak lama lagi sementelahan pula apabila telah digugurkan daripada UMNO beliau tidak boleh untuk berpatah balik kepada UMNO meskipun membuat rayuan.

Tuesday, December 2, 2008

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu

Dunia politik tanah air akan menghadapi satu lagi pilihan raya kecil di Kuala Terengganu rentetan daripada kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Pilihan raya kecil ini dilihat akan memberikan saingan sengit tiga penjuru kepada parti BN dan PAS. Walau bagaimanapun tarikh pengundian belum lagi diumumkan oleh SPR.

Takziah juga diucapkan kepada keluarga Allahyarham Datuk Razali Ismail. Semoga keluarga beliau tabah menghadapi ujian ini dan juga semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Cuaca punca harga sayur, ikan naik

KUALA LUMPUR - Kenaikan harga sayur-sayuran terutamanya cili merah berpunca daripada perubahan cuaca, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Mokhtar Ismail.

Katanya, kebiasaan taburan hujan yang tinggi hujung tahun bermula Oktober hingga Januari menyebabkan gangguan pertumbuhan dan pengeluaran sayur-sayuran sekali gus mengakibatkan kekurangan bekalan.

“Antara sayur-sayuran yang meningkat harga ialah cili merah daripada RM5 kepada RM15 sekilogram. Di peringkat ladang, hujan lebat menyebabkan kemerosotan pengeluaran hampir 40 peratus dan harganya di peringkat runcit di Alor Star dijual RM15 sekilogram dan di Pasar Chow Kit RM17,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Antara peningkatan sayur-sayuran lain ialah daun bawang daripada RM2.50 kepada RM8 sekilogram, timun (80 sen kepada RM2.50), salad (RM3 kepada RM8), limau nipis (RM2 kepada RM5) dan cili padi (RM3 kepada RM9).

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah mengambil beberapa langkah meningkatkan bekalan dan mengurangkan harga pasaran melalui pengimportan cili merah dari China sebanyak 20 tan metrik yang dijangka berada di pasaran minggu ini.

Katanya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah meminta pembekal menambah bekalan import dari Thailand dan Indonesia bagi menstabilkan harga ikan.

“Usaha ini turut dijalankan bagi mengurangkan peningkatan harga di peringkat runcit melalui galakan pembelian terus pengguna di pasaran alternatif seperti pasar tani, pasar nelayan dan jualan ikan secara terus oleh LKIM di kompleks-kompleks pendaratan ikan yang mana harga runcitnya lebih rendah," katanya. -BERNAMA

***********************************

Faktor perubahan cuaca di musim tengkujuh ini merupakan antara punca kenaikan harga sayur dan ikan. Kerajaan melalui agensi-agensinya yang berkaitan telah melaksanakan beberapa alternatif bagi mengurangkan dan menstabilkan harga pasaran tempatan dengan mengimport ikan dan sayur-sayuran dari negara Thailand dan Indonesia.

Begitu jelas Kerajaan sangat peka dan komited dalam mengurangkan beban rakyat kerana sentiasa kreatif dalam mencari jalan penyelesaian untuk menangani sesuatu isu yang timbul.

Monday, December 1, 2008

Kandang Babi: Nikmat Untuk Semua?



Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua", beginilah motto kerajaan PAS Negeri Kedah sejak mengambil negeri itu. Pada 19 Nov 2008, Kerajaan PAS Kedah telah membuat kejutan besar kepada pengundinya di Kedah. Tapak seluas 162 hektar akan dibangunkan sebagai ladang babi moden di Bukit Selambau, Kedah. Sejumlah 46,000 ekor babi akan diternak dalam kawasan tersebut. Ladang babi ini akan dibuka sekiranya tidak mendapat bantahan daripada penduduk tempatan. Kalau ada bantahan, hendak teruskan juga?

Entah mengapa, PAS di Kedah dilihat seolah terdesak sangat untuk membuka kandang babi ini. Kalau tidak buka, tidak bolehkah? Mengapa harus mengikut langkah kerajaan PKR Selangor yang membuka kandang babi bernilai RM100 juta di Sepang? Jika hendak berlaku adil kepada semua sekalipun, mengapa sampai perlu membuka kandang babi untuk tujuan tersebut. Banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan untuk memberikan "nikmat kepada semua".

Dipetik dari: http://anginperubahan.blogspot.com

***********************************************

Pakatan Rakyat yang didukungi oleh PAS, PKR dan DAP memang gemar mencetus kontroversi. Lepas satu isu, satu lagi isu dibangkitkan, yang mana boleh mengundang kemarahan rakyat. Cadangan kerajaan PAS di Kedah untuk membuka ladang babi yang dikatakan akan diternak secara in house ini bukanlah suatu nikmat yang didambakan oleh rakyat Kedah khususnya orang Melayu setelah memangkah mereka dalam PRU 12 yang lalu. Tidakkah PAS sedar perkara-perkara yang berkaitan babi amat sensitif untuk diterima oleh umat Melayu/Islam.

Banyak lagi perubahan yang boleh diberikan kepada rakyat Kedah seperti daripada segi pembangunan dan meningkatkan ekonomi negeri. PAS dilihat tidak kreatif dalam menjana ekonomi negeri yang ditakluknya. Apa yang jelas dilihat ialah PAS berada jauh di belakang PKR dan DAP. Kemunculan PAS dalam Pakatan Rakyat hanyalah untuk mencukupkan korum parti gabungan tersebut dan memancing undi pengikut-pengikut PAS bagi memantapkan pengaruh PR.

Turun harga barang selaras harga minyak - PM

PUTRAJAYA 1 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memastikan harga barang makanan yang diturunkan selaras dengan penurunan harga minyak mesti merupakan barangan yang digunakan rakyat setiap hari.

Dalam nada kesal, Perdana Menteri berkata, peniaga kebiasaannya begitu liat malah lewat untuk menurunkan harga barang pada setiap kali harga minyak diturunkan tetapi begitu cepat pula tanpa disuruh menaikkan harga apabila harga minyak naik.

"Saya dah beritahu Shahrir (Datuk Shahrir Abdul Samad), bahawa barang yang diturunkan mesti barangan yang digunakan setiap hari.

"Ini satu masalah yang dihadapi oleh rakyat," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini. - Utusan.