Tuesday, July 27, 2010

Kekalkan UPSR, PMR

NGO Melayu mahu pendekatan tidak berorientasi peperiksaan diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mewakili 126 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mahu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terus dikekalkan supaya rakyat serta kerajaan dapat memantau kualiti pendidikan asas pelajar.

MPM berpendapat pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu dan penilaian selepas 11 tahun atau pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlalu lewat untuk menilai taraf kualiti pendidikan serta memberi peluang untuk pelajar membaiki pembelajaran mereka. Pendirian itu akan disampaikan pakar rujuk MPM yang juga ahli Senat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, dalam perbincangan meja bulat kedua Kementerian Pelajaran hari ini berhubung cadangan memansuhkan UPSR dan PMR. Setiausaha Agung MPM, Dr Hasan Mad, berkata majlis itu berpendapat UPSR dan PMR tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya pendekatannya diubah supaya tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

Kita cadangkan pendekatannya diubah dengan menambah sistem penilaian kemahiran pelajar yang diukur berdasarkan standard yang ditetapkan Majlis Peperiksaan Malaysia bagi setiap subjek.

Ini bermakna pelajar tidak akan terlalu berlumba-lumba untuk mendapat gred yang baik dalam peperiksaan, tetapi turut memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran praktikal, katanya kepada Berita Harian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil NGO di bawah MPM, semalam.

Antara NGO yang menganggotai MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia.
Hasan berkata, kajian yang dijalankan Isahak juga menunjukkan beberapa negara maju, termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom pernah melaksanakan sistem pendidikan tanpa peperiksaan, namun menukarkannya kembali kepada sistem peperiksaan yang ditambah dengan penilaian penguasaan kemahiran.

Ini dapat membantu kita menilai kecenderungan pelajar sama ada lebih cenderung kepada akademik atau kemahiran agar kita dapat menentukan hala tuju pelajar berkenaan, katanya.

Beliau berkata, pemansuhan UPSR dan PMR juga akan menyebabkan guru, terutama di Tingkatan Lima tertekan kerana terpaksa menyediakan pelajar menghadapi SPM satu-satunya peperiksaan awam selepas 11 tahun pada peringkat sekolah.

Pelajar pula akan belajar sambil lewa kerana setiap tahun dianggap tahun bulan madu kerana peperiksaan awam hanya dilaksanakan pada peringkat SPM, katanya.

-Berita Harian 27 Julai 2010-

********************************************

Kerajaan wajar memperhalusi pro dan kontra berhubung cadangan pemansuhan 2 peperiksaan besar ini.

Penilaian kecemerlangan pelajar berorientasikan peperiksaan masih relevan dalam menentukan hala tuju pelajar sama ada bijak dalam akademik atau bidang kemahiran untuk meneruskan kejayaan masa depan mereka.