Thursday, April 30, 2009

Husam Musa tanding Timbalan Presiden PAS



Gambar: Utusan Malaysia (30 April 2009)

*****************************************

Husam Musa (tim erdogan DSAI dalam PAS) membayangkan bahawa beliau akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PAS di Pemilihan PAS bulan Jun akan datang. Beliau dilihat tidak menyukai hasrat pimpinan utama PAS untuk berbaik-baik dengan UMNO/BN dalam erti kata lain mewujudkan kerajaan perpaduan.

Masakan beliau akan bersetuju dengan hasrat murni tersebut kerana idolanya adalah Anwar Ibrahim yang kita sendiri sedia maklum ingin merebut takhta kerajaan daripada BN.

Wednesday, April 29, 2009

Jangan ambil ringan selesema babi



Gambar: Utusan Malaysia (29 April 2009)

Cuaca panas, harga ayam naik lagi

KUALA LUMPUR – Macam-macam alasan. Demikianlah sikap Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) setiap kali mengumumkan kenaikan harga ayam.

Di sebalik alasan kenaikan kos bahan mentah, makanan ayam, pemintaan yang tinggi pada musim perayaan dan cuti sekolah, semalam mereka memberikan alasan cuaca panas pula.

Semalam persatuan itu mengumumkan kenaikan harga ayam di antara 40 sen dan 60 sen sekilogram.

Menurut Pengerusi Unit Ayam Daging FLFAM, Kwei Yew Tong, harga ladang ayam hidup kini naik 40 sen daripada RM3.40 sekilogram kepada RM3.80 sekilogram manakala harga borong ayam hidup adalah RM4.50 sekilogram berbanding RM4.10 sekilogram sebelum ini.

Katanya, harga borong ayam siang kini RM5.30 sekilogram berbanding sebelumnya sebanyak RM4.85 sekilogram manakala harga runcit ayam hidup pula sebanyak RM5.20 sekilogram berbanding RM4.80 sebelumnya.

Harga runcit ayam siang berserta kaki, kepala, hati dan hempedal turut naik kepada RM6.15 sekilogram berbanding RM5.65 sekilogram manakala harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal adalah RM6.90 sekilogram daripada RM6.30 sekilogram.

Tuesday, April 28, 2009

PRK Penanti: BN belum buat keputusan & tiada lagi pondok panas

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh penamaan calon dan 31 Mei hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil DUN Penanti, Pulau Pinang.

Pengumuman ini pastinya melonjakkan rasa gembira bukan kepalang kepada pihak pembangkang kerana mereka kononnya ingin membuktikan bahawa barisan pembangkang amat disukai oleh rakyat dan digeruni parti BN. Kerusi DUN Penanti yang dikosongkan oleh bekas TKM 1 Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairudin (PKR) itu kononnya akan tetap menjadi milik mereka.

Namun berlainan pula dengan pendirian parti BN. Seperti diputuskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Jumaat lalu, Biro Politik parti itu akan akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat untuk membuat keputusan sama ada BN akan bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut. BN akan menimbang daripada pelbagai sudut sebelum membuat keputusan ini.

Dalam pada itu langkah SPR mengenakan syarat untuk tidak membenarkan lagi “pondok panas” ditempatkan berhampiran pusat mengundi, merupakan satu kaedah bijak bagi membawa kepada suasana tenteram dan mengelakkan kekacauan penyokong-penyokong parti yang terlalu taksub dan fanatik.

Mungkin wajar BN tidak menghantar calon untuk bertanding di PRK DUN Penanti ini. Biarlah parti pembangkang menang tanpa bertanding dan terus memegang kawasan dewan undangan negeri tersebut. BN tidak akan rugi sedikit pun. Ini bukanlah bermakna BN takut atau gentar. Banyak perkara lagi yang boleh Kerajaan/BN fikirkan dalam memacu dan membangunkan negara.

Kita sendiri sedia maklum tahun 2008 dan 2009 merupakan tahun pilihan raya kecil. Setiap kali pilihan raya akan menelan belanja yang sangat banyak. Wang ini boleh digunakan untuk perkara-perkara lain lebih-lebih lagi di zaman kegawatan ekonomi global pada masa kini.

Monday, April 27, 2009

Pilihan raya kecil DUN Penanti 31 Mei

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 23 Mei dan hari mengundi pada 31 Mei jika ada pertandingan.

Sumber: BH Online (27 April 2009)

Selesema babi menular ke Kanada, dunia timbang kuarantin

GENEVA: Canada menjadi negara ketiga mengesahkan kes selesema babi ketika pegawai kesihatan dunia menimbang untuk menaikkan tahap amaran wabak global.

Negara dari New Zealand hingga Sepanyol turut melaporkan kes yang disyaki dan ada yang memberi amaran kepada rakyat masing-masing daripada berkunjung ke Amerika Utara manakala ada yang bercadang mengenakan kuarantin, mengetatkan import produk daging babi dan mengesan penumpang penerbangan yang demam.

Keenam-enam kes Kanada di Nova Scotia dan British Columbia itu berkaitan dengan mereka yang berkunjung ke Mexico dan semuanya dijangkiti jenis virus yang sama.

"Mereka sudah pulih tetapi ia mungkin bukan kes terakhir yang kita akan saksikan di Kanada," kata Ketua Pegawai Kesihatan Awam Kanada, Dr David Butler-Jones.

Pegawai Kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata jawatankuasa kecemasan agensi itu akan bertemu untuk kali kedua esok bagi meneliti penularan virus itu sebelum memutuskan sama ada meningkatkan amaran kepada wabak sejagat.

Jenis virus A/H1N1 selesema babi itu dikesan di beberapa lokasi di Mexico dan Amerika Syarikat and merebak menerusi jangkitan sesama manusia.

Menteri Kesihatan Mexico berkata penyakit itu sudah membunuh 86 orang dan memudaratkan 1,400 yang lain sejak 13 April.

Pegawai Amerika berkata virus berkenaan ditemui di New York, California, Texas, Kansas dan Ohio, tetapi tiada kematian dilaporkan. - AP

Sumber: BH Online (27 April 2009)

**********************************

Kerajaan Malaysia perlu segera memantau dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan penularan wabak selesema babi ini. Sementelahan pula negara kita memiliki banyak ladang babi yang diusahakan. Begitu juga dengan aktiviti keluar masuk dalam negara oleh rakyat Malaysia dan orang-orang luar serta pelancong asing.

"Cegah sebelum parah", "Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati".

Kaji semula kaedah bantu orang miskin



Gambar: Utusan Malaysia (27 April 2009)

***************************************

Jabatan Kebajikan Masyarakat memang wajar mengkaji semula kaedah pemberian bantuan kepada golongan miskin selaras dengan kehidupan realistik pada masa kini. Ini kerana kemudahan seperti televisyen dan peti sejuk yang ada di setiap rumah bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai barang mewah. Barang-barang ini merupakan suatu keperluan dan sebagai sumber maklumat serta hiburan.

Begitu juga dengan kaedah yang perlu difikirkan dalam memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan yang memiliki kereta atau motosikal. Kajian untuk golongan ini harus dibuat dengan teliti dan sedalam-dalamnya agar semua pihak mendapat pembelaan yang sepatutnya.

Pada pendapat saya eloklah JKM memberi bantuan kepada golongan yang benar-benar daif terlebih dahulu dan kemudian dipanjangkan kepada golongan miskin atau kurang berkemampuan tahap yang lain. Ini bagi memastikan pengagihan bantuan kerajaan benar-benar telus dan sampai kepada sasaran serta turut mengambil kira aspek rasional gaya hidup pada masa sekarang.

Pas pentingkan diri sendiri

KUALA LUMPUR 26 April - Tindakan Pas menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), membuktikan perjuangan parti itu hanya untuk kepentingan diri sahaja.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, tindakan Pas itu lebih menjurus kepada kepentingan politik sekali gus mengetepikan masa depan umat Islam dan Melayu di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ia juga membuktikan Pas selama ini hanya berpura-pura untuk menawan hati rakyat.

''Kita nampak keputusan itu mengutamakan politik mereka sahaja. Tidak ada bayangan yang menunjukkan semangat mahu melihat umat Islam dan orang Melayu bersatu padu,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara parti itu dengan UMNO dan BN berikutan pertukaran pucuk pimpinan negara.

Abdul Hadi berkata, partinya sedang mengkaji semula cadangan tersebut dan memantau secara dekat pelaksanaan dasar kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas isu yang sama, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berpendapat tindakan Pas disifatkan tidak selari langsung dengan perjuangan Islam yang dihebahkan kepada rakyat.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Pas seharusnya berusaha untuk bersatu atas nama Islam, namun sanggup menarik balik cadangan baik yang boleh membawa perubahan positif kepada negara.

''Kita tidak faham kenapa Pas buat begitu kerana selama ini semua sudah jelas perlu berusaha demi kemakmuran negara.

''Tidak patut mereka menarik balik keputusan untuk membentuk kerajaan perpaduan. Tidak ada masyarakat Islam di dunia ini yang mahu perpecahan kerana kepentingan diri atau politik semata-mata,'' ujarnya.

Seorang lagi ahli MT UMNO, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, tindakan Pas membuktikan parti itu hanya mementingkan diri semata-mata daripada kebaikan umat Islam negara ini.

''Pas mementingkan keuntungan politik dan sanggup mempergunakan agama untuk mencapai hasrat mereka.

''Mungkin mereka nampak tiada keuntungan jika bersama UMNO dan BN di dalam kerajaan perpaduan, jadi mereka memberi pelbagai alasan,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia (27 April 2009)

***************************************

Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang telah membuktikan bahawa PAS memang gemar bercakap tak serba bikin demi meraih perhatian masyarakat terutamanya kepada orang Islam. Kononnya dahulu beliau ingin berbaik-baik dengan UMNO demi untuk kesepakatan dan kebajikan orang Melayu/Islam. Tapi kini lain pula omongannya. Jika PAS benar-benar ikhlas ingin mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan dengan UMNO/BN perkara mengenai perubahan pucuk pimpinan parti Kerajaan BN bukanlah sesuatu yang patut dijadikan isu.

Jelas PAS mempergunakan agama demi kepentingan politik dan mencapai hasrat mereka. Atau mungkin juga Haji Hadi risau dengan kemunculan tim erdogan dalam parti PAS yang pasti akan menggugat kepimpinan beliau?

Wednesday, April 22, 2009

16 Sept : Anwar 'jual' nama Yang di-Pertuan Agong dan Sultan


Menjelang 16 September tahun lalu sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim bikin gimik nak tawan Putrajaya menerusi pintu belakang pelbagai desas-desus timbul mengenai nama-nama sebilangan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang dikatakan telah ditemui secara sulit oleh Ketua Pembangkang itu.

Namun belum ada seorang pun di kalangan mereka yang tampil untuk membuat pendedahan mengenai modus operandi Anwar dalam usaha memujuk mereka menyertai apa yang dikenali sebagai ‘Pelan 16 September’ yang tak menjadi itu.

Petang Ahad 19 April, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Batu Pahat yang baru-baru ini memenangi jawatan Majlis Tertinggi UMNO menceritakan bagaimana Anwar berusaha memujuknya termasuk mendakwa empat Sultan termasuk Yang di-Pertuan Agong menyokongnya.

Dr. Puad menceritakannya pada kira-kira 400 ahli UMNO dari cawangan-cawangan sekitar Hulu Kelang yang hadir dalam perjumpaan sembang petang di Kelab Darul Ehsan, dekat Kuala Lumpur.

Katanya, beliau mulanya dihubungi menerusi telefon oleh contactman Anwar yakni Dr Rahim Ghaus.

Dr. Rahim diketahui adalah orang kanan Anwar yang kini menetap di Melbourne, Australia tapi sering berulang alik ke Malaysia. Bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang ini melarikan diri ke luar negara semasa kemuncak reformasi 1998 dan kini berkhidmat dengan sebuah cawangan bank Timur Tengah di bandaraya itu.

Menariknya, Dr. Puad cuba dipancing pada 20 September iaitu empat hari melepasi dateline 16 September.

Ini jelas menunjukkan Anwar masih menaruh harapan dan terus cuba nasib sekalipun tarikh asal impiannya itu sudah berlalu.

Pendedahan Dr. Puad di majlis itu ditulis oleh Datuk Fuad Hassan,bekas ahli Dewan Undangan Negeri BN Hulu Kelang dalam laman blognya di alamat: http://www.dakwat-kertas.blogspot.com/

Berikut ialah tulisan penuh Datuk Fuad di bawah tajuk “Rahsia godaan Anwar”
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meminta beberapa ahli parlimen Barisan Nasional menandatangani surat untuk memberikan persetujuan kepada beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam pada 16 September 2008 yang lalu. Surat tersebut ditujukan kepada SPB Yang Di Pertuan Agong.

Demikian didedahkan oleh ahli parlimen Batu Pahat yang terpilih sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi dalam program Sembang petang “UMNO Dalam cabaran” anjuran UMNO Bahagian Gombak di Dewan Cempaka, Kelab Darul Ehsan petang tadi (19 April 2009) mulai jam 2.45 petang.

Menurut Dr. Puad, beliau telah menerima panggilan telefon daripada rakan Anwar Ibrahim, Dr. Abdul Rahim Ghaus, seorang ahli perniagaan pada 20 September jam 2 pagi tahun lalu yang menyatakan beliau ingin berjumpa dan berbincang mengenai pembentukan kerajaan pembangkang yang baru.

Dr. Puad bersetuju berjumpa dengan Dr. Abd Rahim yang kemudiannya merayu dan menunjukkan surat yang ditujukan kepada SPB Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan persetujuan melantik DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baru menggantikan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan telah hilang sokongan.

Untuk meyakinkan lagi, Dr. Abdul Rahim telah menelefon Anwar Ibrahim untuk bercakap dan meyakinkan beliau. Menurut Dr. Puad, Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa “ Pak Lah is no longer in command..”

Beliau merayu agar Dr. Puad menandatangani surat tersebut tanpa perlu keluar daripada Barisan Nasional. Anwar berjanji akan merahsiakan tandatangan beliau. Ia hanyalah untuk tatapan SPB Yang Di Pertuan Agong, tambahnya lagi.

“I need more Malay MPs like you ”, tambah Anwar lagi. “ And we already have enough numbers to form new government ,” kata Anwar cuba meyakinkan lagi.

Anwar cuba meyakinkan Dr. Puad dengan menyatakan bahawa empat Sultan telah menyatakan sokongan, termasuk SPB Yang Di Pertuan Agong.

Dr. Puad secara fizikalnya terketar-ketar. Beliau hanya baru beberapa bulan menjadi ahli parlimen tiba-tiba menerima ujian yang begini besar. Menurutnya, beliau terketar-ketar kerana takut terpengaruh dan lantas tanpa sedar menandatangani surat tersebut, jelasnya lagi.

Beliau cuba menguatkan pendirian dengan bertanya Anwar tentang bagaimana dengan agenda Melayu. Ini kerana beliau bimbang Pakatan Rakyat tidak lagi menjuarai kepentingan bangsa Melayu dan Islam lantaran ingin menjaga perasaan DAP dan pengundi Cina.

Menurut Dr. Puad, Anwar menyatakan kepadanya kepentingan bangsa Melayu akan dijaga dan beliau pernah menegur Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana kes tanah di Selangor.

Tetapi Kata Dr. Puad, banyak kes di Parlimen seperti serangan terhadap menghalang Murtad / keluar Islam yang ditimbulkan oleh ahli parlimen Bukit Mertajam dari DAP tidakpun dipertahankan oleh ahli-ahli parlimen PAS mahupun PKR. Hanya pemimpin UMNO yang berbuat demikian. Apa yang diharapkan kepada mereka untuk berbuat demikian, tegasnya lagi.

“UMNO yang telah menggubal perlembagaan yang membuat ketetapan dimana keputusan mahkamah syariah tidak boleh dicabar di mahkamah sivil,” tambah Dr. Puad dengan bersemangat.

Berbalik kepada perbualan telepon Anwar-Dr.Puad, lantaran debaran yang demikian kuat, Dr. Puad meminta tempoh kepada Anwar untuk beliau menunaikan solat istiqarah bagi mendapatkan petunjuk daripada Allah swt.

Beliau menyampaikan berita tersebut kepada isterinya untuk berbuat demikian dan melakukan solat istiqarah mendapatkan restu Allah. Keesokannya beliau menerima telepon lagi daripada Dr. Rahim Ghaus.

Dr. Puad menjawab bahawa setelah beliau melakukan istiqarah, beliau telah mendapat mimpi yang menyatakan, “Kalau saya sign surat persetujuan tersebut bermakna saya telah menjual negara..”, kata Puad disambut dengan tepukan gemuruh daripada para hadirin yang hadir.

“Kalau saya sign, saya akan dihalau oleh Sultan dari negeri Johor yang merupakan tempat UMNO dinobatkan”, tegas beliau lagi.

“Saya memegang jawatan ini bukan untuk diri saya, tetapi untuk bangsa dan agama dan saya berharap saya akan istiqamah dengan perjuangan ini,” tambah Dr. Puad mengakhiri ucapannya dengan soalan-soalan yang bertalu-talu dari hadirin.

Anwar mengenali Dr. Puad kerana beliau pernah menjadi tenaga pengajar di Yayasan Anda Akademik pada tahun 80 an dahulu. Beliau seorang yang kuat berpegang kepada prinsip perjuangan agama dan bangsa. Pendekatannya sudah tentu berbeda dengan ahli-ahli parlimen yang lain.

Umum mengetahui bagaimana Anwar telah mengarahkan wakil-wakil rakyat PKR berkejaran ke Taiwan untuk memujuk ahli parlimen BN menandatangai surat persetujuan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke 6 pada 16 September 2008 yang lalu.

Dengan kehendak Allah, Perak yang jatuh ke tangan Barisan Nasional.

Hampir 400 ahli UMNO dari cawangan-cawangan Hulu Kelang hadir dalam perjumpaan tersebut.- fuhas.

Sumber: Agendadaily.com

************************

DSAI membuat perancangan begitu licik demi merealisasikan impiannya untuk menawan tampuk pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada 16 September 2008. Tetapi malangnya nasib tidak menyebelahi beliau untuk menjadi Perdana Menteri Ke-6 Malaysia. Helah dan taktik kotor DSAI tidak direstui Allah S.W.T.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

ARAH aliran penulis buku tempatan yang lebih cenderung menghasilkan buku politik memburuk-burukkan orang tertentu wajar mendapat perhatian kita semua sebagai pengguna.

Ia mungkin sekali dapat mengisi kantung penulis terbabit dalam masa singkat tetapi mereka yang membelinya sudah tentu tidak mendapat manfaat.

Cara mengenal pasti buku-buku sedemikian agak mudah. Ia biasanya diterbitkan menjelang peristiwa yang ada kaitan dengan politik, isi kandungannya tidak berpijak pada fakta sehingga kadangkala amat jelas berunsur fitnah.

Kebimbangan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah terhadap arah aliran itu amat berasas. Jika tidak dibendung, pemikiran rakyat akhirnya tidak akan ke mana!

Sedangkan, matlamat yang wajar ada pada setiap penulis ialah menyalurkan ilmu dalam apa juga bidang yang digarapkannya termasuklah politik. Ia perlu menyumbang kepada pengukuhan budaya ilmu kita.

Oleh kerana itu, kita sebagai pengguna perlulah bijak memilih buku yang sesuai untuk kita dan orang di sekeliling kita baca.

Awang – Tulis berita.

Sumber: Utusan Malaysia (22 April 2009)

SATU MALAYSIA: ‘RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN’: SATU LANGKAH PENTADBIRAN NEGARA

Oleh: ATH

Konsep Satu Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan kepada pemimpin-pemimpin Kerajaan untuk menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Pemimpin-pemimpin Kerajaan dibentuk supaya bekerja dan berusaha dengan lebih keras untuk memenangi hati rakyat kerana tanpa rakyat tiadalah barisan kepimpinan Kerajaan pada masa kini. Rakyat adalah raja dan penentu kepada tampuk pentadbiran negara. Rakyat yang menentukan jatuh bangun sesebuah Kerajaan itu sama ada untuk terus kekal atau sebaliknya.

Justeru pemimpin-pemimpin, baik politik atau Kerajaan, perlulah mengotakan segala janji dan melaksanakan segala dasar yang telah ditaburkan kepada rakyat. Pelaksanaannya pula hendaklah cepat, tepat, efisien dan tidak mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan. Jangan pula membiarkan janji hanya tinggal janji dan menjadi retorik politik semata-mata.

Kepada Pegawai-pegawai Awam, mereka juga juga tidak terkecuali dalam merealisasikan konsep Satu Malaysia ini. Pegawai-pegawai awam perlu mempunyai pemikiran yang inovatif, tatacara kerja yang efisien, sistematik dan mengamalkan budaya kerja yang cemerlang.

Melihat Satu Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan sejak dahulu lagi. Usaha-usaha dalam memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kemudian usaha-usaha dalam membangunkan rakyat dan negara disambung oleh Perdana-perdana Menteri yang seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan yang tersendiri namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara. Umpamanya semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau memperkenalkan konsep-konsep seperti Kepimpinan Melalui Tauladan, Dasar Pandang Ke Timur dan Sistem Punch Card. Mantan Perdana Menteri Ke-5, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pula menggagaskan konsep 10 Prinsip Islam Hadhari dalam memacu rakyat dan negara ke arah Satu Malaysia.

Dari sudut politik pula, Satu Malaysia menjurus kepada perpaduan rakyat dan integrasi wilayah tanpa sempadan. Ini bermaksud segala pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan akan dinikmati semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya di seluruh Malaysia. Penyatuan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa yang dikenali sebagai Bangsa Malaysia yang benar-benar mendokong Perlembagaan Negara mengikut lunas undang-undang negara. Bangsa Malaysia perlu memiliki semangat patriotisme yang kuat di dalam diri masing-masing.

Satu Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ gagasan Perdana Menteri Malaysia Ke-6, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ini adalah satu gagasan yang baik dan sangat bertepatan dalam suasana sekarang. Gagasan ini benar-benar menguji sikap kepimpinan para pemimpin negara agar lebih bertanggungjawab dalam menggalas amanah yang telah diberikan rakyat kepada mereka. Pemimpin-pemimpin Kerajaan perlu dekat di hati rakyat, lebih mesra rakyat, sanggup turun padang menyingsing lengan dan melakukan pelbagai perkara yang boleh mengukuhkan lagi kepercayaan serta keyakinan rakyat kepada Kerajaan.

Melihat kepada senario persekitaran politik Malaysia hari ini, rakyat semakin bijak berfikir dan melontarkan pendapat. Barisan kepimpinan Kerajaan mesti sanggup melakukan perubahan dan pembaharuan bersandarkan kepada kehendak rakyat. Satu Malaysia adalah jawapannya.

Thursday, April 16, 2009

'Kes ADUN Bukit Lanjan mainan wayang kerajaan Selangor'

SHAH ALAM 15 April _ Keputusan menawarkan kepada Elizabeth Wong supaya menyambung semula tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan dan Exco setelah bercuti lebih dua bulan, dilihat sebagai permainan wayang kerajaan negeri dalam menangani isu moral melibatkan pemimpin mereka.

Ketua Pembangkang Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo berkata, beliau telah menjangkakan tindakan itu bakal dilakukan sejak isu gambar separuh bogel wakil rakyat itu tersebar di Internet pada Februari lalu dan kini ia menjadi kenyataan.

Katanya, keputusan itu jelas menunjukkan kerajaan Selangor yang diterajui gabungan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak konsisten dalam membuat sebarang keputusan lebih-lebih lagi jika melibatkan orang tertentu.

Beliau mengambil contoh kes di Bukit Selambau, bekas ADUNnya, V. Arumuggam dari PKR dibenarkan meletak jawatan kerana tidak tahan dengan ancaman kononnya beliau mahu melompat ke Barisan Nasional (BN) pada 9 Februari lalu dan pilihan raya kecil diadakan pada 7 April.

''Tetapi bagi kes Elizabeth ini kerajaan negeri tidak membenarkannya letak jawatan.

''Ini jelas mereka (kerajaan negeri) takut menghadapi pilihan raya kecil di Bukit Lanjan jika wakil rakyat tersebut dibenarkan berbuat demikian.

''Mereka akan membuat keputusan yang hanya memihak kepada mereka sahaja,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Khir menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan mesyuarat Exco kerajaan negeri yang menawarkan kepada Elizabeth supaya menyambung semula tugasnya esok dan Elizabeth menerimanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd. Khir menambah, kerajaan negeri gusar untuk berhadapan dengan pilihan raya kecil kerana rakyat Selangor sudah sedar sejak lebih setahun memerintah tiada perubahan yang dibawa.

Sumber: Utusan Malaysia (16 April 2009)

***************************************

Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat ini benar-benar main wayang. YB Eli pula seolah-olah bermain tarik tali bagi menarik perhatian rakyat dan penyokong kononnya beliau teraniaya ekoran kes gambar separuh bogelnya itu. Namun jauh di sudut hati YB Eli, beliau sebenarnya tidak sanggup untuk meletak jawatan yang dahulunya begitu diidamkan dan sungguh berhempas pulas pula untuk mendapatkannya.

Jelas pakatan pembangkang ini takut untuk berhadapan dengan pilihan raya kecil sekali lagi di Bukit Lanjan sementelahan menyedari bahawa mereka tidak banyak membawa perubahan kepada Negeri Selangor meskipun sudah setahun bertakhta. Mereka khuatir dengan kebangkitan rakyat dan perubahan tampuk pimpinan Kerajaan sekarang ini.

Wednesday, April 15, 2009

Mahu jambatan bengkok

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) semalam meminta agar kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak menyambung semula projek jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor yang dibatalkan pada 2006.

Presidennya, Syed Ali Alattas berkata, rata-rata ahlinya di negeri itu mengadu kerana sejak pembukaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pada November tahun lalu, perniagaan mereka merosot teruk.

"Pembatalan jambatan bengkok telah menyebabkan laluan ke dan dari Singapura tidak lagi melalui bandar raya Johor Bahru sebaliknya terus ke CIQ.

"Johor Bahru sekarang bagaikan bandar mati. Itulah pandangan usahawan khasnya usahawan kecil," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Perundingan dan pelaksanaan pembinaan jambatan bengkok atau 'Jambatan Indah' itu diilhamkan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia ekoran Singapura yang tidak memberikan keputusan muktamad untuk bekerjasama membina jambatan lurus menggantikan Tambak Johor.

Bagaimanapun pembinaan jambatan bengkok dibatalkan atas keputusan kerajaan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu di Johor Bahru, Pergerakan Pemuda UMNO Johor turut berpendapat perlunya kerajaan mengkaji semula projek jambatan bengkok kerana ia mampu merancakkan ekonomi negara, khususnya di Johor.



Sumber: Kosmo Online (15 April 2009)

*************************************

Cadangan yang bermanfaat kepada rakyat mungkin elok dipertimbangkan oleh Kerajaan pimpinan YAB Dato' Sri Mohd Najib.

Saturday, April 4, 2009

YAB Dato' Sri Mohd Najib - PM Ke 6



Gambar: Utusan Malaysia (4 April 2009)

**************************************

Tahniah diucapkan kepada YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-6. Semoga YAB Dato' Sri berjaya memacu negara ke arah yang lebih cemerlang.