Tuesday, May 26, 2009

Mogok lapar tak akan berjaya bubar Dun - Penganalisis politik

MOGOK lapar 72 jam anjuran Pakatan Rakyat mulai hari ini tidak akan berjaya menarik perhatian Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mahupun kerajaan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), demikian komen penganalisis politik.

Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan pemimpin Pakatan Perak yang merancang mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula pagi ini sebagai sebahagian daripada usaha terbaru mereka untuk mendapatkan kembali hak rakyat.

Pakatan akan mengadakan mogok lapar di Wisma DAP yang terletak berhampiran dengan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Exco dan DUN.

Menurut Nidzammudddin, usaha tersebut tidak akan berjaya menarik perhatian kerajaan mahupun Baginda Sultan untuk membubarkan sidang DUN kerana mentaliti masyarakat sudah berubah.

"Mereka cuba gunakan taktik meraih sokongan rakyat yang pernah digunakan di India. Kita tidak boleh samakan masyarakat sekarang dengan zaman dulu.

"Ketika zaman Mahatma Gandhi dulu, mereka gunakan taktik mogok lapar untuk meraih kemerdekaan.

"Hakikatnya, dalam situasi hari ini, ada yang tidak endah dengan ugutan sedemikian (mogok lapar). Lebih buruk, ada rajkyat yang tidak tahu bila aktiviti itu berlangsung," katanya.

Beliau yang juga pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, usaha pakatan pembangkang itu tidak akan ke berhasil sebaliknya mereka hanya menyusahkan diri masing-masing.

Sementara itu, Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM)berkata mogok lapar yang akan berlangsung esok dilihat sebagai satu usaha yang memperlihatkan Pakatan bersifat kolektif dalam apa jua mereka lakukan.

"Bagi saya hala tuju mereka adakan mogok lapar ini tidak dapat dipastikan. Sama ada mereka berjaya atau tidak, ia merupakan satu lagi persoalan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Sivamurugan yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM berkata, mogok lapar tersebut dapat ditafsirkansebagai usaha yang komited ketiga-tiga parti gabungan dalam Pakatan.

"Mereka (DAP, PKR dan PAS) mahu menunjukkan mereka mengambil jalan penyelesaian secara kolektif dalam usaha membubarkan DUN Perak dan jalan terbaik yang mereka pilih adalah dengan mengadakan mogok lapar itu," katanya. / Mstar

Monday, May 25, 2009

Jangan tuntut bukan-bukan

KUALA LUMPUR 24 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegur beberapa pihak di dalam dan luar kerajaan kerana cuba mengambil kesempatan daripada gagasan ‘1Malaysia’ dengan membuat tuntutan keterlaluan dan tidak munasabah.

Perdana Menteri berkata, Satu Malaysia diwujudkan untuk meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional, bukannya platform bagi mana-mana pihak melontar tuntutan yang bukan-bukan.

“Saya berharap gagasan Satu Malaysia ini merupakan satu konsep yang boleh menjurus kepada perpaduan lebih kental lagi kerana konsep ini bawa penghayatan perpaduan kepada tahap lebih tinggi lagi, seperti mana yang saya sebutkan tadi daripada konsep toleransi kepada konsep penerimaan.

“Itu merupakan satu peningkatan ke arah penghayatan yang lebih mendalam mengenai soal perpaduan nasional dan bukanlah konsep Satu Malaysia ini disalah gunakan oleh sesiapa untuk membuat atau mendesak tuntutan yang keterlaluan atau tidak munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di pusat membeli-belah IOI Mall di Puchong dekat sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Sejak kebelakangan ini, banyak pihak mengemukakan pelbagai tuntutan atas nama Satu Malaysia yang jika diamati lebih menjurus kepada faedah kaum tertentu saja dan bukannya untuk semua anggota masyarakat.

Sebelum ini, ada ahli Kabinet meminta kaedah pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dibuat secara meritokrasi kerana ia mencerminkan gagasan Satu Malaysia.

Pemimpin pertubuhan haram Hindraf pula meminta kerajaan memberi status bumiputera kepada penduduk kaum lain yang lahir selepas merdeka.

Permintaan itu dibuat atas dasar kononnya ia bagi menyatukan seluruh penduduk negara ini dan memberi makna sebenar Satu Malaysia.

Perdana Menteri menambah, adalah menjadi harapan beliau agar gagasan Satu Malaysia dihayati dengan sebaik mungkin agar objektifnya itu dapat difahami dan dicapai.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, gagasan Satu Malaysia disandarkan kepada tiga teras dalam memperkukuh perpaduan nasional iaitu konsep penerimaan, prinsip kenegaraan dan konsep keadilan sosial.

Jelas beliau, penerimaan bererti walaupun rakyat pelbagai kaum secara hakikatnya masih belum serasi sepenuhnya antara satu sama lain tetapi mereka mengamalkan toleransi dan menerima yang lain sebagai rakan yang setia.

“Kita perlu berganjak daripada konsep toleransi ke konsep penerimaan, apabila kita menerima masyarakat majmuk di negara ini sebagai satu kekuatan kita dan menerima kaum lain sebagai rakan setia kita,” katanya.

Katanya, dalam kenegaraan, antara yang penting ialah rakyat perlu mengetahui peranan pengasas negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V. T. Sambanthan.

Tambah beliau, semangat Rukun Negara juga perlu dihayati bagi membolehkan satu nilai budaya untuk seluruh Malaysia dapat diwujudkan di bawah prinsip kenegaraan.

“Apabila kita tahu sejarah negara, maka kita juga tahu di mana kita berada dan apakah hala tuju negara pada masa depan,” katanya.

Mengenai keadilan sosial, jelasnya, ia menerangkan bahawa setiap kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang atau agama diberi keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting.

Katanya, rakyat perlu bersama menjayakan gagasan Satu Malaysia demi perpaduan negara berdasarkan konsep penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial itu.

Pada majlis berkenaan, Najib menyampaikan Anugerah Kalung Perpaduan 2009 kepada beberapa pihak.

Kelab Sukan Sports Unite menerima anugerah bagi Kategori Sukan, sementara penyanyi utama kumpulan Alleycats David Arumugam atau nama sebenarnya Datuk Thiagarajan Arumugam menerima anugerah bagi Kategori Seni.

Kategori Media pula dimenangi oleh akhbar Sinar Harian dan Kategori Korporat dimenangi oleh Zubedy Sdn. Bhd.

Sumber: Utusan Malaysia (25 Mei 2009)

************************************

Gagasan "1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan" perlu lebih diperjelaskan kepada rakyat. Ini kerana ramai yang masih tidak memahami atau keliru mengenai 1Malaysia.

Pihak-pihak yang berkenaan perlu lebih proaktif dalam memperjelaskan gagasan ini kepada akar umbi dan dengan ini tidak akan timbul lagi isu ataupun permintaan yang tidak munasabah daripada golongan yang tidak memahami apa itu 1Malaysia.

Friday, May 22, 2009

Malaysia-Singapura setuju bina jambatan di Timur Johor

Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju membina jambatan di sebelah Timur Johor bagi menghubungkan republik itu dengan negeri Johor.

YAB Dato' Sri Mohd Najib memaklumkan bahawa projek ini sebagai langkah jangka panjang. Manakala laluan di Tambak Johor kekal dengan kemudahannya dan akan dipertingkatkan lagi.

Adanya jambatan baru ini diharapkan berupaya merancakkan sektor ekonomi kedua-dua buah negara khususnya menjana lebih pendapatan kepada rakyat Johor. Semoga peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan akan terbuka dengan lebih meluas bagi merangsang ekonomi negara lebih-lebih dalam menghadapi situasi kelembapan ekonomi global sekarang ini.

Zambry kekal MB Perak


PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan beliau mengetepikan perisytiharan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Persidangan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Raus Mohd Shariff bersama Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop, sebulat suara membuat keputusan itu selepas meneliti hujah lisan dan bertulis dikemukakan peguam Zambry, Datuk Cecil Abraham, peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah serta celahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Sumber: BH Online (22 Mei 2009)

********************************

Tahniah diucapkan kepada DS Zambry kerana kekal sebagai MB Perak seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini. Keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada DS Zambry membuktikan bahawa fakta-fakta dan hujah-hujah yang diutarakan adalah jelas dan tepat.

Pakatan pembangkang perlu akur dengan keputusan ini dan semoga proses kesudahan kemelut politik Perak ini berakhir dengan lancar. Tiada lagi kes yang akan dibangkitkan ke mahkamah.

Sedarlah, rakyat sudah muak dan letih untuk terus mengikuti isu ini. Apa yang perlu diutamakan ialah menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.

Wednesday, May 13, 2009

DS NIZAR MB 21 JAM



Adora:
DS Nizar terpaksa memendam hasrat dan impian untuk memegang tampuk kerajaan negeri Perak sehingga Mahkamah Rayuan memberi keputusan berhubung rayuan BN siapa MB Perak yang sah.

Beliau bergelar MB Perak hanya selama 21 jam selepas Mahkamah Tinggi memberi keputusan pada Isnin lepas. Pasti DS Nizar kini tidak sabar-sabar menanti keputusan Mahkamah Rayuan di samping bertungkus-lumus merancang pelbagai agenda untuk mengacau-bilaukan situasi politik di Perak.

Tuesday, May 12, 2009

Sidang Tergempar DUN Perak Akan Diadakan

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional Perak dijangka mengemukakan satu notis mengadakan usul tergempar Undi Tidak Percaya Terhadap Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin kepada Speaker negeri Perak, Datuk Ganeson.

Ini akan dilakukan berikutan keputusan Mahkamah memutuskan bahawa hanya Sidang DUN Perak sahaja boleh melucut jawatan Menteri Besar negeri tersebut.

Sungguhpun perlantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir tidak sah, namun keputusan tersebut tidak menjejaskan sidang DUN Perak yang lalu kerana keputusan mengadakan sidang DUN bukan di bawah kuasa Menteri Besar.

Persidangan Dewan Undangan Negeri ialah di bawah kuasa Tuanku Sultan Perak. Justeru persidangan lalu yang menyaksikan penukaran Speaker DUN Perak adalah sah.

Speaker DUN Perak dari BN, Datuk Ganeson dijangka akan membawa usul tergempar yang diterimanya untuk perkenan Tuanku Sultan.

Tuanku Sultan dijangka tidak akan membubarkan DUN kecuali persidangan tergempar tersebut gagal melantik sesiapa menjadi Menteri Besar Perak yang baru.

Dipetik: http://anotherbrickinwall.blogspot.com


***********************************************

ADUN BN di Perak perlu mempercepatkan usul undi tidak percaya kepada DS Nizar sebagai MB Perak. Ini kerana hanya Sidang DUN sahaja yang dapat melucutkan jawatan DS Nizar ini.

Keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada DS Nizar sebagai MB Perak yang sah membuktikan bahawa betapa telusnya undang-undang negara tanpa campur tangan kerajaan seperti yang sering ditohmah oleh pembangkang. Inilah pegangan prinsip rukun negara yang ke-4, Kedaulatan Undang-undang.

BN kemuka rayuan – PM

PUTRAJAYA 11 Mei – Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengesahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia akan dilakukan segera, kemungkinan esok.

Najib bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan itu kerana ia melibatkan skop mahkamah dan perundangan.

‘‘Langkah pertama kita (BN) adalah membuat rayuan terhadap keputusan itu dan ia akan dilakukan segera, kemungkinan esok.

‘‘Saya cuma mahu nyatakan bahawa kita mempunyai kes yang kukuh, justeru, kita akan mengemukakan rayuan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota-anggota Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di pejabatnya di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Mohammad Nizar ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian setelah mendapati jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong dan undi tidak percaya hanya boleh dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa yang sama, Najib menasihatkan rakyat Perak supaya bertenang dan menjalani kehidupan seperti biasa.

‘‘Bertenang, jangan terlalu ghairah atau gusar. Kita akan selesaikan perkara ini,” ujarnya.

Ditanya sama ada perlu dibubarkan DUN Perak, Najib memberitahu, ia terpulang kepada budi bicara Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Beliau juga memaklumkan tiada sebarang tarikh ditetapkan untuknya menghadap Sultan Perak memandangkan beliau boleh berbuat demikian pada bila-bila masa jika diperkenankan.

-Utusan Malaysia 12 Mei 2009-

Thursday, May 7, 2009

Pak Lah penasihat pembangunan koridor

KUALA LUMPUR 6 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penasihat pembangunan koridor negara.

Najib mengumumkan demikian dalam ucapan beliau sempena majlis Jasamu Dikenang bagi meraikan persaraan Abdullah sebagai Perdana Menteri kelima di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah turut berangkat menghadiri majlis itu.

Turut diraikan, isteri Abdullah, Tun Jeanne Abdullah.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Sementara itu, Abdullah dalam ucapannya menyatakan komitmen memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Najib di samping sedia berbakti kepada negara sehingga akhir hayatnya.

"Kerja saya selama ini kepada negara selama 45 tahun, sebagai pegawai kerajaan dan pemimpin adalah ibadah.

"Mana mungkin kerja ibadah perlu dihentikan, sebaliknya ia perlu diteruskan sehingga akhir hayat, walaupun dah tidak pegang jawatan dalam kerajaan," katanya.

Abdullah pada akhir ucapannya juga meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia sekiranya semasa memimpin negara beliau telah melakukan kesilapan.

"Saya minta maaf sekiranya saya telah melakukan kesalahan, saya akui ia adalah kesilapan saya.

"Tetapi percayalah saya langsung tiada niat lain, saya jujur dan ikhlas berkhidmat demi kebaikan agama, negara, bangsa dan rakyat," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (7 Mei 2009)

*************************************

Tahniah diucapkan kepada mantan PM Ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi di atas pelantikan sebagai Penasihat Pembangunan Koridor dan Penasihat MAS baru-baru ini.

Jasamu dikenang selagi hayat dikandung badan.

Elak baju hitam


KUALA LUMPUR – Para penyokong parti politik diingatkan supaya tidak menimbulkan suasana tegang dengan berkumpul beramai-ramai serta memakai baju berwarna hitam ketika berlangsungnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menasihatkan mereka supaya tidak melayan saranan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) supaya memakai baju hitam dan berhimpun sebagai membantah persidangan itu yang dianggap oleh NGO itu tidak mengikut perlembagaan.

“Polis akan bertindak termasuk menahan mereka yang berhimpun atau menghalang anggota dewan,’’ tegasnya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tindak-tanduk individu tertentu yang menyebarkan hasutan itu melalui Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi tujuan mencetuskan kekecohan dan menghasut mereka supaya membenci kerajaan.

Sumber: Kosmo (7 Mei 2009)

*****************************

Semoga Sidang DUN Negeri Perak yang bermula hari ini berjalan dengan baik dan suasana tenteram. Orang ramai khususnya warga Perak dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan hasutan NGO antiKerajaan, BERSIH dengan memakai baju berwarna hitam. BERSIH hanya ingin membuat kacau perjalanan sidang ini ekoran kerana begitu taksub kepada omongan pihak pembangkang berkaitan pelantikan MB Perak yang kononnya tidak sah. Walhal pelantikan tersebut adalah mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Dijadualkan Sidang DUN Negeri Perak ini akan dirasmikan oleh Raja Muda Perak, Dr. Nazrin Shah.

Nizar reka cerita dongeng

KUALA LUMPUR 6 Mei - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disifatkan hanya mereka cipta cerita dongeng dalam usahanya mengekalkan jawatan meskipun beliau telah hilang kepercayaan daripada majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN), Februari lalu.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, ia bagaimanapun hanyalah versi cerita Mohammad Nizar yang dilihat hanya mempunyai ingatan terpilih bagi rentetan kejadian itu.

Justeru, katanya, mahkamah seharusnya meneliti kepada dokumen-dokumen termasuk keterangan serta afidavit-afidavit yang telah difailkan oleh semua pihak terlibat dalam semakan kehakiman itu sebelum membuat keputusan berhubung kes tersebut.

Jelas beliau, fakta dalam kes itu jelas menunjukkan bahawa tiga ADUN iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong telah menarik balik surat peletakan jawatannya walaupun Mohammad Nizar mendakwa tidak mengetahuinya semasa menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Malahan, katanya, ketiga-tiga ADUN itu telah memaklumkan sendiri keputusan mereka kepada Sultan Perak dan ini sekali gus membuktikan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 ADUN.

''Semua fakta tersebut terkandung dalam dokumen yang ada di hadapan Yang Arif,'' katanya ketika berhujah dalam semakan kehakiman dikemukakan oleh Mohammad Nizar, 52, pada 13 Februari lalu untuk mencabar kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar mendakwa beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan kepada perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang DUN.

Selain itu, Mohammad Nizar mendakwa, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.

Mohammad Nizar sebelum ini turut memberi keterangan selama dua hari mulai Isnin lalu bagi prosiding permohonan beliau untuk membuat pemeriksaan balas terhadap Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid yang didakwa tidak konsisten dalam afidavitnya.

Dalam hujahannya, Cecil juga menyatakan bahawa berdasarkan kepada Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), Sultan Perak mempunyai hak untuk menolak permintaan Mohammad Nizar bagi membubarkan DUN.

Menurutnya, setelah Sultan Perak melaksanakan prerogatif Baginda untuk tidak membubarkan Dewan mengikut perlembagaan negeri itu, Mohammad Nizar seharusnya meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar pada waktu itu.

Justeru, katanya, tidak timbul isu bahawa Mohammad Nizar selaku pemohon dalam semakan kehakiman itu menggunakan budi bicaranya sendiri atau cuba kekal sebagai Menteri Besar kerana jawatan itu telah pun dikosongkan.

Ekoran kekosongan jawatan itu, hujah Cecil, Sultan Perak mengikut Perkara 16(2) UTKP yang mempunyai budi bicara untuk mengisi kekosongan tersebut berdasarkan pengadilannya terhadap pihak yang telah mendapat kepercayaan majoriti anggota DUN.

Beliau juga menegaskan bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar pada 6 Februari lalu dibuat mengikut Perkara 12 dan Perkara 16(2) UTKP.

''Pelantikan responden (Zambry) sebagai Menteri Besar adalah sah dan mengikut undang-undang. Apatah lagi, responden telah pun mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak dan menerima surat yang mengesahkan pelantikannya,'' katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim bersambung esok.

Sumber: Utusan Malaysia (7 Mei 2009)