Thursday, May 15, 2008

MP Marang

Oleh: PPJ

MP Marang (PAS) sengaja menimbulkan isu penganiayaan yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin kerana ianya menguntungkan peribadi dan parti politik yang didukunginya.
Justeru itulah usul untuk menyokong dari PKR menentang keganasan Israel ke atas rakyat Palestin diusulkan. Walaupun usul berkenaan dikemukakan, namun ianya ditolak oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat kerana tidak menepati syarat-syarat utama, antaranya menyegerakan demi untuk kepentingan negara.

DEB Menjadi Isu Lagi

Soalan MP Batu Kawan (DAP) sama ada DEB sudah sesat objektifnya mengundang suasana riuh-rendah dalam Dewan Rakyat hari ini. Masing-masing berebut hendak berhujah bak kata MP Kalabalakan (BN) sidang ini sudah jadi macam pasar.

Isu DEB ini rasanya dah berbuih-buih mulut Kerajaan menerangkan bahawa ia bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula ekonomi masyarakat tanpa mengira kaum agar tidak wujud jurang ekonomi. Tetapi ia masih lagi dibangkitkan oleh pembangkang yang sentiasa melihatnya sebagai tidak mencapai objektif dan relevan terhadap rakyat.

Walhal semangat DEB ini telah digunapakai dalam pelbagai dasar Kerajaan yang mendatangkan faedah kepada semua kaum di Malaysia seperti Dasar Pembangunan Nasional dan Dasar Wawasan Negara.

Pembangkang biasalah sentiasa bersemangat untuk menghentam segala dasar Kerajaan, ada-ada sahaja yang tidak kena di mata mereka.

Wednesday, May 14, 2008

Harga Beras Kekal-Melegakan Rakyat

Ketika kebanyakan negara dunia kecoh dengan isu kenaikan harga makanan secara mendadak ekoran daripada krisis kekurangan bekalan, namun Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan yang begitu melegakan dan mengambil kira kepentingan rakyatnya.
Kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan harga kawalan beras dengan menggariskan 5 langkah khusus seperti berikut:


1. Mengekalkan beras Super Tempatan 15 peratus sebagai beras yang dikawal harga di antara RM1.65 sekilogram hingga RM1.80 sekilogram mengikut zon.

2. Menetapkan harga siling beras Super Spesial Tempatan 5 peratus pada RM2.80 sekilogram dan beras Super Spesial Tempatan 10 peratus pada RM2.70 sekilogram, berkuatkuasa 1 Jun 2008. (Sebelum ini, kedua-dua gred beras ini tidak dikenakan kawalan harga).

3. Mengapungkan harga beras-beras import termasuk beras Putih Thai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

4. Membenarkan pemindahan padi di antara negeri-negeri secara berperingkat-peringkat.
5. Menaikkan Harga Minimum Terjamin (HMT) padi daripada RM650 setan metrik kepada RM750 setan metrik.
Langkah-langkah ini adalah berkuatkuasa serta-merta kecuali penetapan harga siling bagi beras SST 5 peratus dan SST 10 peratus, bermula 1 Jun 2008.
Sungguhpun ia mempunyai implikasi di mana Kerajaan terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM725 juta sebagai subsidi untuk pengimportan 500,000 tan beras bagi memastikan harga runcit di negara dapat dikekalkan, namun keputusan yang diambil oleh Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi ini adalah berasaskan kepada kepentingan semua pihak dengan bermatlamatkan kebajikan pengguna dan pesawah padi akan sentiasa terpelihara.

Monday, May 12, 2008

Integriti Dalam UMNO

Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi mengingatkan ahli UMNO supaya tidak lupa diri sebaliknya terus berusaha memperkukuhkan integriti di semua peringkat agar parti terus relevan. Usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dalam parti amat perlu kerana ia akan memberi kesan kepada pembangunan negara sekali gus membolehkan rakyat merasai nikmatnya.
Ahli UMNO yang memegang jawatan dalam Kerajaan dan sebagainya diingatkan supaya tidak melakukan kesalahan yang boleh diheret ke mahkamah di mana akan mencemarkan imej dan kredibiliti parti di mata rakyat khususnya. Mengenai kekurangan sokongan daripada generasi muda, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO diakui kini berhadapan dengan cabaran kerana kebanyakan golongan muda tidak bersama parti UMNO. Oleh yang demikian kedua-dua sayap ini perlu berusaha lebih gigih bagi menarik sokongan mereka.
Golongan muda yang terdiri daripada kumpulan profesional, pengusaha, cerdik pandai dan eksekutif perlu ditarik ke dalam UMNO bagi membantu usaha menjayakan mandat rakyat dan meningkatkan keupayaan parti. UMNO bukan parti yang memperjuangkan kebajikan kaum Melayu sahaja tetapi memperjuangkan kebajikan semua kaum di Malaysia. UMNO belum pudar dan merupakan penentu untung nasib serta masa depan rakyat Malaysia.
UMNO merupakan tulang belakang kepada parti Barisan Nasional dan sentiasa mengambil kira pandangan semua komponennya dalam memacu negara. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ali Rustam berpandangan bahawa parti akan menjadi lebih kuat sekiranya lebih banyak peluang diberikan kepada golongan muda untuk menyertai parti. Generasi muda perlu menyertai UMNO tanpa apa-apa sekatan kerana mereka mempunyai banyak idea yang boleh disumbang dan diguna pakai.
Perjuangan UMNO masih relevan dulu, kini dan selamanya. Selamat Ulang Tahun UMNO Yang Ke-62.

Friday, May 9, 2008

Krisis Makanan Tidak Jejas Malaysia

PUTRAJAYA 8 Mei - Krisis makanan yang melanda dunia dan kesan kenaikan inflasi tidak menjejaskan Malaysia berikutan kedudukan ekonomi negara yang terus mengukuh.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif sebagai persediaan jangka panjang menghadapi cabaran tersebut.

''Faktor penyebab berlakunya inflasi didorong oleh kenaikan harga barang makanan di pasaran dunia, harga komoditi dan kenaikan kos bahan bakar yang mempunyai implikasi meluas ke atas ekonomi dan kehidupan penduduk dunia.
''Tetapi kita tidak perlu bimbang kerana kedudukan ekonomi kita sangat kukuh untuk menghadapi segala cabaran yang datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Setiausaha Perbendaharaan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Nor Mohamed, kekuatan ekonomi negara juga turut mengundang pelabur asing melabur di Malaysia ekoran keputusan RHB Capital, milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjual 25 peratus kepentingannya kepada Abu Dhabi Commercial Bank (ADCB) baru-baru ini.
Sumber: Utusan Malaysia
(Kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ini diharap sedikit sebanyak akan melegakan hati rakyat Malaysia. Kerajaan telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan kedudukan ekonomi negara terus kukuh dan berdaya saing. Kerajaan juga turut memberi jaminan akan memastikan stok penimbal beras negara sentiasa mencukupi melalui beberapa langkah persediaan awal yang diambil termasuk menambahkan jumlah import beras terutamanya dari negara Thailand).

Wednesday, May 7, 2008

Ragam Wakil Rakyat Pembangkang

Menjerit, memekik, bersuara kuat dalam nada marah, tak faham soalan dan adakalanya berperangai seperti budak-budak.
Itulah antara ragam wakil rakyat dari pembangkang campuran yang dapat saya perhatikan dalam sidang Parlimen Dewan Rakyat pada hari ini.
Saya faham memanglah adat bersidang, jika tidak bertikam lidah pasti tidak sah.
Namun biarlah ia berdasarkan hujah-hujah yang bernas dan relevan. Janganlah membuang masa persidangan dengan hujah-hujah yang tidak masuk akal yang menunjukkan betapa kita tidak peka atau alert dengan soalan yang diutarakan.
Yang menggelikan hati, apabila sedar diri sudah hampir kalah dalam berdebat, mulalah mereka bercakap mengelirukan fakta-fakta.
Satu lagi yang saya ingin utarakan ialah sikap ahli parlimen pembangkang yang menggunakan point of order untuk mengganggu wakil rakyat bercakap. Adakalanya mereka juga mengganggu rakan pembangkang campuran sendiri.

Islam Hadhari Tetap Mantap

Nampaknya pihak pembangkang masih membangkitkan pendekatan Islam Hadhari sebagai isu perbincangan di sidang parlimen pada hari ini. Sudah terang lagi bersuluh pembangkang masih tidak mahu mengaku bahawasanya pendekatan Islam Hadhari yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya menepati objektifnya sekali gus merupakan salah satu faktor kemenangan BN dalam PRU 12 yang lalu.
Mereka sengaja mengeluarkan dakyah-dakyah palsu mencaca-merbakan pendekatan Islam Hadhari dalam kempen pilihanraya lalu kononnya tidak relevan, mazhab baru yang diperkenalkan BN dan bermacam-macam lagi. Walhal Kerajaan telah menegaskan bahawa Islam Hadhari ini bukanlah suatu mazhab tetapi ia adalah suatu usaha atau pendekatan untuk mentamadunkan ummah tanpa mengira bangsa dan agama. Saya yakin pihak pembangkang masih belum faham apa itu Islam Hadhari dan 10 prinsipnya itu. Sukalah saya memohon jasa baik pihak pembangkang untuk benar-benar meneliti dan memahami 10 prinsip Islam Hadhari bukan sekadar membaca sekali imbas dan bercakap lantang tanpa mengetahui fakta sebenar.
Islam Hadhari tetap mantap dan akan terus menjadi pegangan Kerajaan dalam memacu kecemerlangan dan pentadbiran negara. Ia bukan omongan kosong yang tidak mendatangkan apa-apa hasil yang positif untuk rakyat Malaysia.