Pengumuman Kerajaan mengenai kenaikan harga minyak memang mengejutkan ramai. Naik memang agak mendadak dan banyak. Namun Kerajaan tetap memberi subsidi kepada rakyat, RM0.75 untuk minyak petrol contohnya. Bukan itu sahaja Kerajaan juga turut membelanjakan berbilion ringgit untuk memberi rebat tunai kepada pemilik kenderaan bersendirian yang menepati syarat-syarat iaitu sebanyak RM625.00. Nilai yang agak lumayan bagi meringankan beban rakyat yang rata-ratanya adalah golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Perlu jua difahami, rasional pemberian rebat tunai ini juga adalah untuk mengelakkan pemilik kenderaan asing seperti dari Thailand, Singapura dan Indonesia turut sama menikmati insentif yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada rakyat. Cukuplah sekadar mereka mendapat subsidi dengan mengisi minyak di stesen petrol di negara kita. Itupun sudah cukup untung untuk mereka kerana menumpang tuah rakyat Malaysia.
Inilah sebuah Kerajaan yang amat prihatin terhadap nasib rakyatnya. Walaupun situasi ini melanda dunia yang mana seluruh negara mengalami kenaikan harga minyak yang melambung tinggi. Permintaan yang banyak tetapi bekalan yang kurang menyebabkan harga minyak ini naik begitu drastik sekali.
Di samping itu, bagi meringankan bebanan rakyat kesan daripada krisis tersebut Kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif lain yang akan diumumkan dalam RMK-9 pada bulan Ogos akan datang. Baru-baru ini juga YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa cukai pendapatan akan dikurangkan. Lega sekalian rakyat mendengarnya.
Walau bagaimanapun rakyat juga perlu bersama-sama dengan Kerajaan untuk bekerjasama dalam menangani krisis kenaikan harga minyak ini. Antaranya kita perlulah berjimat-cermat, elakkan pembaziran, mengurangkan penggunaan bahan api seperti berkongsi kereta untuk ke tempat kerja bersama rakan-rakan dan menaiki pengangkutan awam. Bertukar kepada gas asli NGV juga merupakan satu kaedah yang menjimatkan kerana harganya yang murah.