Tuesday, July 27, 2010

Kekalkan UPSR, PMR

NGO Melayu mahu pendekatan tidak berorientasi peperiksaan diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mewakili 126 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mahu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terus dikekalkan supaya rakyat serta kerajaan dapat memantau kualiti pendidikan asas pelajar.

MPM berpendapat pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu dan penilaian selepas 11 tahun atau pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlalu lewat untuk menilai taraf kualiti pendidikan serta memberi peluang untuk pelajar membaiki pembelajaran mereka. Pendirian itu akan disampaikan pakar rujuk MPM yang juga ahli Senat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, dalam perbincangan meja bulat kedua Kementerian Pelajaran hari ini berhubung cadangan memansuhkan UPSR dan PMR. Setiausaha Agung MPM, Dr Hasan Mad, berkata majlis itu berpendapat UPSR dan PMR tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya pendekatannya diubah supaya tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

Kita cadangkan pendekatannya diubah dengan menambah sistem penilaian kemahiran pelajar yang diukur berdasarkan standard yang ditetapkan Majlis Peperiksaan Malaysia bagi setiap subjek.

Ini bermakna pelajar tidak akan terlalu berlumba-lumba untuk mendapat gred yang baik dalam peperiksaan, tetapi turut memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran praktikal, katanya kepada Berita Harian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil NGO di bawah MPM, semalam.

Antara NGO yang menganggotai MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia.
Hasan berkata, kajian yang dijalankan Isahak juga menunjukkan beberapa negara maju, termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom pernah melaksanakan sistem pendidikan tanpa peperiksaan, namun menukarkannya kembali kepada sistem peperiksaan yang ditambah dengan penilaian penguasaan kemahiran.

Ini dapat membantu kita menilai kecenderungan pelajar sama ada lebih cenderung kepada akademik atau kemahiran agar kita dapat menentukan hala tuju pelajar berkenaan, katanya.

Beliau berkata, pemansuhan UPSR dan PMR juga akan menyebabkan guru, terutama di Tingkatan Lima tertekan kerana terpaksa menyediakan pelajar menghadapi SPM satu-satunya peperiksaan awam selepas 11 tahun pada peringkat sekolah.

Pelajar pula akan belajar sambil lewa kerana setiap tahun dianggap tahun bulan madu kerana peperiksaan awam hanya dilaksanakan pada peringkat SPM, katanya.

-Berita Harian 27 Julai 2010-

********************************************

Kerajaan wajar memperhalusi pro dan kontra berhubung cadangan pemansuhan 2 peperiksaan besar ini.

Penilaian kecemerlangan pelajar berorientasikan peperiksaan masih relevan dalam menentukan hala tuju pelajar sama ada bijak dalam akademik atau bidang kemahiran untuk meneruskan kejayaan masa depan mereka.

Thursday, September 3, 2009

Sekali lagi Sidang DUN haram Pakatan Rakyat Perak


V.Sivakumar, Speaker haram Sidang DUN Perak semalam.



Pakatan Rakyat Perak tidak habis-habis mencetuskan kontroversi. Nampaknya mereka masih tidak dapat menerima hakikat bahawa tampuk kepimpinan kerajaan negeri Perak sudah kembali ke tangan BN.

Pakatan Rakyat berarak ke Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam kononnya untuk melaksanakan Sidang DUN Perak sedangkan pada masa itu berlangsung mesyuarat mingguan kerajaan negeri Perak yang dipengerusikan oleh DS Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak.

Natijah daripada perarakan haram tersebut, pihak polis telah bertindak menahan enam orang Exconya termasuklah Ngeh Khoo Ham kerana enggan bersurai dan mengganggu ketenteraman awam. Namun tindakan pihak polis ini langsung tidak memberikan kesan kepada Pakatan Rakyat. Dengan tidak tahu malu Pakatan Rakyat mengusung pula pasukan exconya ke Hotel Heritage bagi menjalankan Sidang DUN secara haram.

Persidangan DUN haram ini telah meluluskan usul supaya polis menangkap Speaker, Datuk R. Ganesan dan Timbalan Speaker, Hee Yit Foong dengan serta-merta dan dipenjara selama enam bulan disebabkan mereka mengambilalih persidangan DUN pada 7 Mei lalu.

PR juga turut meluluskan usul penubuhan tiga jawatankuasa baru iaitu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam, Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap Dewan serta Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

Namun apa yang menjadi kemusykilan dan tanda tanya ialah bagaimanakah mereka hendak merealisasikan segala usul yang telah diluluskan ini sedangkan mereka bukanlah pentadbir kerajaan negeri.

Tuesday, September 1, 2009

Harga minyak utama dikekalkan


PETALING JAYA - Minyak petrol RON95 menggantikan RON97 sebagai produk petrol utama mulai hari ini di semua 3, 500 stesen minyak di seluruh negara dengan harga jualan RM1.80 seliter iaitu menyamai harga asal RON97 yang kini menjadi produk premium.

Walaupun harga RON95 naik lima sen berbanding RM1.75 seliter sewaktu diperkenalkan di beberapa stesen minyak di Lembah Klang pada 12 Mei lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya menjelaskan, harga minyak yang menjadi bahan bakar utama sebanyak RM1.80 sen tidak berubah.

Beliau memberitahu, RON95 menggantikan RON97 yang sebelum ini dijual pada harga yang sama. RON97 pula mulai hari ini dinaik taraf sebagai minyak premium dengan harga RM2.05 seliter, naik 25 sen daripada semalam manakala RON92 dihentikan pengeluarannya.

"Petrol RON92 akan dikeluarkan daripada pasaran memandangkan saiz pasarannya cuma lima peratus,'' katanya semasa berucap melancarkan RON95 di sini semalam.

-Kosmo Online 1 Sept. 2009-

Friday, August 14, 2009

H1N1: Lima lagi kematian dilaporkan (56 kes)

KUALA LUMPUR: Lima lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) termasuk dua bayi berusia dua bulan, dilaporkan sehingga jam 8 pagi tadi, menjadikan keseluruhan 56 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kes lain membabitkan seorang wanita berumur 49 tahun yang obes serta mengalami diabetes dan tuberkulosis.

Katanya, dua lagi kes kematian pula membabitkan seorang lelaki berumur 57 tahun yang mengalami diabetes dan seorang lelaki berusia 19 tahun.

"Jumlah kematian telah membabitkan bilangan yang tinggi iaitu 56 kes. Saya ingin memaklumkan bahawa majoriti kematian ini mempunyai faktor penyumbang kematian seperti risiko kesihatan sebanyak 70 peratus.

"Sebanyak 40 peratus pula didapati mempunyai faktor kelewatan mendapat rawatan awal manakala 13 peratus kematian didapati ada unsur kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, terdapat seramai 72 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 2lagi dirawat di ICU.

Katanya, daripada 27 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 18 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (4), kanak-kanak (2), hamil (1) dan selepas bersalin (1).

-BH Online-

**********************

Masyarakat Malaysia dinasihatkan supaya mempertingkatkan kesedaran dalam menangani gejala wabak H1N1. Kenali simptom-simptom penyakit ini dan amalkan kebersihan diri. Sentiasa memakai topeng muka dan hidung ketika berada di luar rumah dan elakkan mengunjungi kawasan-kawasan yang sesak dengan orang ramai.

Golongan yang berisiko diminta untuk lebih berhati-hati dengan menitikberatkan kesihatan diri.

Jumlah kematian akibat Influenza A H1N1 (selesema babi) ini semakin meningkat, begitu juga kes yang masih dirawat. Sangat membimbangkan. Sama-samalah kita berdoa agar gejala ini akan segera berakhir dan semua pesakit ini cepat sembuh untuk terus menjalani kehidupan yang sihat sejahtera.

Thursday, August 6, 2009

Korban H1N1 menjadi 13 orang


KUALA LUMPUR - Bilangan kes kematian akibat wabak selesema babi atau H1N1 terus bertambah dengan empat lagi mangsa menjadi korban menjadikan jumlah mangsa setakat ini 13 orang.

Dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Melaka membabitkan seorang remaja berusia 12 tahun yang mengalami komplikasi buah pinggang manakala seorang lelaki berusia 20 tahun pula asma kronik.

Mangsa ketiga ialah seorang budak lelaki berusia enam tahun yang meninggal dunia di Hospital Batu Pahat akibat radang paru-paru.

Terbaru, Mohd Hyafiq Aiman Mohd. Saiful Afendi juga berusia enam tahun, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan tengah hari semalam.

-Kosmo Online-

****************************

Wabak penyakit Influenza A (H1N1) ini semakin membimbangkan. Lebih menakutkan virus H1N1 ini boleh 'membunuh' dalam senyap. Pengidap selesema babi ini tidak menunjukkan tanda-tanda awal yang berpanjangan sebaliknya terus demam panas dan mengalami pelbagai kompilasi seperti kegagalan fungsi buah pinggang dan radang paru-paru.

Kerajaan kita khususnya Kementerian Kesihatan telah melakukan segala tindakan yang difikirkan perlu bagi menangani wabak penyakit ini termasuklah menyediakan vaksin yang mencukupi kepada gologan yang berisiko tinggi (pesakit asma, orang obesiti, pengidap penyakit kronik, ibu mengandung dan lain-lain).

Namun saya berpendapat kerajaan patut menutup kandang babi yang ada di seluruh Malaysia. Lakukan pemeriksaan penyakit terhadap babi-babi ini, jika ada berpenyakit hapuskan sahaja. Dahulu semasa wabak selesema burung melanda, kita mengambil pendekatan memusnahkan burung, ayam, itik. Mungkin cara yang sama patut dilakukan bagi menangani gejala ini di negara kita. Angka korban berjumlah 13 orang setakat ini begitu membuatkan hati tidak senang. Ditambah pula dengan cuaca jerebu dan tidak menentu di negara kita yang tercinta ini.

Wednesday, August 5, 2009

Guna blog tangkis dakyah pembangkang: Noh

SHAH ALAM: Umno Selangor disaran menggunakan laman blog untuk menangkis dakyah pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar, berkata cara itu lebih berkesan untuk menyampaikan mesej berbanding ceramah.

"Jika dalam ceramah, daripada 1,000 yang hadir belum tentu kesemuanya faham apa mesej yang disampaikan.

"Tetapi mereka yang melayari laman blog, mereka boleh membaca isi kandungannya dengan teliti dan berpeluang memberi maklum balas mengenai isu yang dibincangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan laman blog Blogger Patriot Umno Bahagian Shah Alam di sini malam tadi.

Laman blog itu, www.bloggerpatriot.blogspot.com, dikendalikan oleh sekumpulan 14 penulis blog yang pro-Umno untuk menyampaikan mesej perjuangan Umno terutama kepada golongan muda.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, blog boleh digunakan semasa kempen pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata ceramah Umno perlu menggunakan sistem pembesar suara dan mikrofon yang lebih baik dan bukannya mikrofon untuk berkaraoke, kerana kualiti suara adalah penting dalam ceramah untuk menarik perhatian pendengar.

"Contohnya Pas ada PA sistem dalam ceramah mereka, sampai satu batu pun boleh didengar," katanya.

Beliau berkata, cara berkempen dari rumah ke rumah bagi sesetengah kawasan seperti Shah Alam yang ramai penduduknya tinggal di kondominium, pangsapuri dan rumah yang sukar dimasuki, perlu diubah.

"Cara berkempan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) boleh digunakan bagi meraih undi," katanya. - Bernama

Monday, August 3, 2009

Demonstrasi ISA Pakatan Rakyat



Perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang didalangi oleh parti pembangkang, Pakatan Rakyat pada 1 Ogos, Sabtu lalu jelas mengakibatkan pelbagai kerosakan dan kerugian. Peniaga-peniaga kedai dan pasar malam terpaksa berputih mata menanggung kerugian pada hari tersebut. Pakatan Rakyat kononnya bijak memilih lokasi-lokasi tumpuan orang awam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sogo dan Masjid India sebagai tempat untuk menghimpunkan para penyokongnya yang taksub dengan perjuangan mereka lebih-lebih lagi untuk mansuhkan ISA.

Tindakan bodoh mereka ini nyata menyusahkan orang ramai dan merugikan banyak pihak. Begitu juga dengan perangai segelintir penyokong pembangkang yang agresif dan keterlaluan. Adakah mereka merasa sangat bangga kerana berjaya menakutkan orang awam yang berkunjung ke situ? Jika inilah yang berada di benak fikiran penyokong-penyokong GMI yang majoritinya adalah kaum Melayu, alangkah sedih dan kecewanya.

Mereka tidak perlulah seolah-olah mencabar pihak polis sehingga pihak berkuasa terpaksa menempuh adegan kejar mengejar, menyembur air dan gas pemedih mata. Natijahnya bukan hanya mereka yang terkena tetapi orang awam yang tidak berdosa turut merasa tempiasnya sehingga ada yang pengsan dan luka akibat jatuh dirempuh.

Perbuatan golongan anti ISA ini sememangnya amat memalukan Malaysia yang terkenal dengan sebuah negara yang aman damai. Pakatan Rakyat mungkin boleh berbangga dan mendabik dada kerana berjaya melaksanakan perhimpunan mansuhkan ISA tetapi PR harus ingat tindakan mereka ini lama-kelamaan akan memualkan rakyat yang bencikan keganasan dan cintakan kedamaian.