Wednesday, August 5, 2009

Guna blog tangkis dakyah pembangkang: Noh

SHAH ALAM: Umno Selangor disaran menggunakan laman blog untuk menangkis dakyah pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar, berkata cara itu lebih berkesan untuk menyampaikan mesej berbanding ceramah.

"Jika dalam ceramah, daripada 1,000 yang hadir belum tentu kesemuanya faham apa mesej yang disampaikan.

"Tetapi mereka yang melayari laman blog, mereka boleh membaca isi kandungannya dengan teliti dan berpeluang memberi maklum balas mengenai isu yang dibincangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan laman blog Blogger Patriot Umno Bahagian Shah Alam di sini malam tadi.

Laman blog itu, www.bloggerpatriot.blogspot.com, dikendalikan oleh sekumpulan 14 penulis blog yang pro-Umno untuk menyampaikan mesej perjuangan Umno terutama kepada golongan muda.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, blog boleh digunakan semasa kempen pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata ceramah Umno perlu menggunakan sistem pembesar suara dan mikrofon yang lebih baik dan bukannya mikrofon untuk berkaraoke, kerana kualiti suara adalah penting dalam ceramah untuk menarik perhatian pendengar.

"Contohnya Pas ada PA sistem dalam ceramah mereka, sampai satu batu pun boleh didengar," katanya.

Beliau berkata, cara berkempen dari rumah ke rumah bagi sesetengah kawasan seperti Shah Alam yang ramai penduduknya tinggal di kondominium, pangsapuri dan rumah yang sukar dimasuki, perlu diubah.

"Cara berkempan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) boleh digunakan bagi meraih undi," katanya. - Bernama

No comments: