Monday, August 3, 2009
Demonstrasi ISA Pakatan Rakyat
Perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang didalangi oleh parti pembangkang, Pakatan Rakyat pada 1 Ogos, Sabtu lalu jelas mengakibatkan pelbagai kerosakan dan kerugian. Peniaga-peniaga kedai dan pasar malam terpaksa berputih mata menanggung kerugian pada hari tersebut. Pakatan Rakyat kononnya bijak memilih lokasi-lokasi tumpuan orang awam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sogo dan Masjid India sebagai tempat untuk menghimpunkan para penyokongnya yang taksub dengan perjuangan mereka lebih-lebih lagi untuk mansuhkan ISA.
Tindakan bodoh mereka ini nyata menyusahkan orang ramai dan merugikan banyak pihak. Begitu juga dengan perangai segelintir penyokong pembangkang yang agresif dan keterlaluan. Adakah mereka merasa sangat bangga kerana berjaya menakutkan orang awam yang berkunjung ke situ? Jika inilah yang berada di benak fikiran penyokong-penyokong GMI yang majoritinya adalah kaum Melayu, alangkah sedih dan kecewanya.
Mereka tidak perlulah seolah-olah mencabar pihak polis sehingga pihak berkuasa terpaksa menempuh adegan kejar mengejar, menyembur air dan gas pemedih mata. Natijahnya bukan hanya mereka yang terkena tetapi orang awam yang tidak berdosa turut merasa tempiasnya sehingga ada yang pengsan dan luka akibat jatuh dirempuh.
Perbuatan golongan anti ISA ini sememangnya amat memalukan Malaysia yang terkenal dengan sebuah negara yang aman damai. Pakatan Rakyat mungkin boleh berbangga dan mendabik dada kerana berjaya melaksanakan perhimpunan mansuhkan ISA tetapi PR harus ingat tindakan mereka ini lama-kelamaan akan memualkan rakyat yang bencikan keganasan dan cintakan kedamaian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment