Friday, October 5, 2007

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1428 Hijrah kepada semua muslimin dan muslimat di seluruh negara dan di seluruh dunia amnya. Moga-moga 1 Syawal ini akan memberikan lebih kegembiraan dan kebahagiaan kepada semua. Marilah kita bermaaf-maafan, memohon ampun di atas segala kesalahan atau keterlanjuran tutur kata yang dilakukan selama ini sama ada disedari ataupun tidak. Jadikan juga budaya kunjung mengunjung rumah sanak saudara dan sahabat handai sebagai satu amalan wajib kita laksanakan pada setiap tahun bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim. Kepada mereka yang baru berumahtangga pastinya hari raya pada kali ini akan menjadi lebih meriah kerana dapat beraya bersama-sama suami atau isteri tercinta. Sementelahan pula kini telah punyai dua buah keluarga yang perlu diziarahi. Kepada yang masih 'single', sabar....pasti akan tiba giliran anda pula. Apa yang penting kita dapat menyambut aidilfitri ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Salam lebaran.

Wednesday, September 19, 2007

SALAM RAMADHAN

Salam Ramadhan 1428 Hijrah. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan usia untuk menikmati Ramadhan pada tahun ini berpuasa bersama-sama keluarga tercinta dan muslimin muslimat di seluruh dunia. Hari ini genap seminggu kita menunaikan ibadah Rukun Islam yang ketiga. Namun harus diingati makna sebenar bulan yang penuh keberkatan ini. Ramadhan bukan sekadar bulan untuk berpuasa daripada makan dan minum, menahan nafsu lapar dan dahaga tetapi Ramadhan adalah bulan untuk meningkatkan ketakwaan terhadap Allah S.W.T. Bulan Ramadhan menguji keimanan dan kesabaran setiap hamba-Nya. Ramadhan jua memberi pengertian agar kita sama-sama merasai keperitan dan kesusahan fakir miskin yang hidup dalam keadaan daif tanpa bekalan makanan yang mencukupi dan terputus-putus pula. Ibarat kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ramadhan bukan bulan pembaziran makanan. Apa yang dilihat saban tahun, umat Islam di negara kita begitu mewah dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang sememangnya sungguh menyelerakan. Bazar Ramadhan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Demikian juga dengan promosi-promosi berbuka puasa di hotel-hotel dan restoran-restoran. Begitu menarik untuk dikunjungi. Sayugia diingatkan, bulan ini bukan bulan untuk bermegah-megah dengan ketebalan wang di poket kita. Cukuplah sekadar sahaja. Elakkan pembaziran. Bulan ini juga merupakan bulan untuk para peniaga kecil meningkatkan pendapatan. Ada juga peniaga yang membuka payung gerainya hanya pada bulan ini untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Iya, memang tidak salah untuk mereka berniaga namun kita sebagai pembeli haruslah bijak memilih, membeli dan menahan godaan nafsu untuk membawa pulang ke rumah sebagai juadah berbuka puasa. Ini kerana kita memang tidak mampu untuk menghabiskan semua makanan pada satu malam sahaja.

Bukan itu sahaja, apabila sudah terlampau kenyang badan pula lemah dan ingin berehat kerana lelah berpuasa dan penat menjalankan tugasan di siang hari. Maka kecenderungan untuk mengerjakan ibadah seperti membaca Al-Quran dan bersembahyang Tarawikh akan berkurangan dan hanya tinggal niat ingin melaksana sahaja namun tidak tertunai apabila tiba waktunya. Bulan yang penuh mulia ini juga mengajak umat Islam agar berbuat kebaikan, banyakkan bersedekah, meninggalkan perkara-perkara mungkar seperti maksiat, mengumpat, mencaci maki dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun harus diingat perkara-perkara mungkar ini janganlah hanya ditinggalkan semasa bulan Ramadhan, tetapi perlu ditinggalkan juga ketika di bulan Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah dan bulan-bulan yang seterusnya. Dengan erti kata lain selama-lamanya.

Monday, September 10, 2007

BERZAKAT MEKANISME SUMBANGAN SOSIAL


Mengeluarkan zakat adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap Muslim yang memiliki kekayaan. Ini sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan berbelanjalah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah), mereka tetap beroleh pahala yang besar. (al-Hadid: 7)

Al-Mawardi berpendapat, kerajaan Islam berkuasa penuh melaksanakan kutipan zakat harta sebagaimana dinaskan oleh wahyu dan ijtihad. Dalam melaksanakan kewajipan mengutip dan mengagihkan zakat, pemerintah hendaklah menubuhkan badan khas bagi merangka kerja dan tindakan secara teratur. Sejarah mencatatkan pengurusan institusi zakat di awal Islam berada di kemuncaknya apabila berjaya melahirkan masyarakat yang seimbang rohani dan jasmani. Pengurusan dan pentadbiran institusi zakat ketika itu dilakukan secara profesional dan cekap. Antara ciri-ciri yang menonjol misalnya:

Ciri-ciri profesional pengurusan zakat:

Tazkiyyah

Zakat merupakan satu kaedah syarak untuk menyucikan (tazkiyyah) diri dan membersihkan harta seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t menerusi firman-Nya yang bermaksud:
Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah), Allah amat mendengar lagi amat mengetahui. (al-Taubah: 103)
Menurut Ibn Kathir, kekayaan yang dimiliki oleh seseorang adalah hasil kitaran harta yang berpusing di dalam masyarakat, sudah tentu bercampur antara sumber yang halal (baik) dan haram (buruk). Oleh itu hendaklah dibersihkan supaya dapat menyucikan jiwa pemiliknya.
Wahbah al-Zuhayli berkata, pelaksanaan zakat berupaya menghindarkan sifat-sifat mazmumah seperti bakhil, kedekut, tamak dan haloba. Sebaliknya mampu memenuhi keperluan golongan fakir miskin yang sekali gus mengikis sikap dan pandangan buruk mereka terhadap orang-orang kaya.
Dari aspek etika, menurut al-Dahlawi pelaksanaan zakat melahirkan manifestasi akhlak yang tinggi di antara pembayar dan penerima. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu (amil) mengambil zakat daripada seseorang jangan lupakan katakan kebaikan dengan berdoa untuk mereka: Ya Allah, luaskanlah rezekinya (kaya) dan jangan engkau persempitkannya”.

Inovatif

Pengurusan zakat merupakan sebuah institusi yang berkembang selaras dengan keadaan semasa waktu dan tempat. Oleh itu, ia tidak harus terikat secara harfiah dengan apa yang berlaku semasa hayat Rasulullah s.a.w. Sebaliknya hendaklah berkembang dan diperkembangkan mengikut isu dan keperluan semasa.
Konsep maslahah sentiasa menjadi tunjang di dalam pelaksanaan sistem zakat di zaman para sahabat dan tabien.
Ia dibuktikan melalui perkembangan sumber zakat dari semasa ke semasa.
Di zaman Rasulullah, harta yang dikenakan zakat terhad kepada 10 jenis iaitu emas, perak (al-Ayn), kambing, lembu, unta (al-Masyiyyah), gandum, anggur, barli, jagung dan tamar (al-Harth). Kemudian berkembang di zaman sahabat, tabien dan khalifah-khalifah selepasnya berdasarkan konsep ijtihad yang mengambil kira perkembangan dan keperluan semasa. Antaranya kuda, sayuran, buah zaitun, madu, intan, mutiara, berlian dan ikan.
Rasulullah s.a.w pernah memuji Muaz ibn Jabal, pegawainya yang dihantar ke Yaman lantaran berani untuk berijtihad menggunakan akal fikiran jika berdepan dengan masalah yang tidak dinaskan dengan jelas di dalam al-Quran dan al-sunah.
Khalifah Umar bin al-Khattab juga pernah menarik balik peruntukan zakat kepada mualaf (muallafatu Qulubuhum). Ini berdasarkan pengamatannya bahawa tujuan asal peruntukan untuk menjinakkan mereka kepada Islam tidak wujud lagi setelah Islam menjadi kuat dan mempunyai negara yang besar.
Isu zakat kuda dan madu yang seringkali berubah menggambarkan betapa kreatif dan inovatif pengurusan zakat di awal Islam. Umar bin al-Khattab mengenakan zakat ke atas ternakan kuda kerana ketika itu kuda dikomersialkan berbanding di zaman Rasulullah s.a.w, kegunaannya untuk kerja-kerja pertanian dan tunggangan.
Polisi ini diteruskan oleh Uthman bin al-Affan. Ali bin Abi Talib dan Umar bin Abd al-Aziz bagaimanapun tidak mengenakan zakat ke atas kuda. Perubahan hukum zakat berlaku berdasarkan perubahan kegunaan dan fungsi kuda.

Tegas

Ketegasan bertindak merupakan antara ciri terpenting di dalam jentera pentadbiran. Ini terbukti melalui pengurusan institusi zakat di awal Islam apabila khalifah Abu Bakar al-Siddiq bertindak memerangi golongan yang enggan membayar zakat kepada pemerintah seawal pemerintahannya.
Umar al-Khattab yang asalnya tidak menyetujui tindakan itu, kemudian memberikan sokongan padu kepada ijtihad khalifah setelah menelitinya malah menyifatkan itulah tindakan yang tepat dan berwawasan tinggi.
Apabila dikaji secara menyeluruh terbukti tindakan bijak Abu Bakar berjaya menjamin survival institusi zakat dalam jangka panjang. Ia selaras dengan pendapat Ibn Masud bahawa mereka yang mengingkari zakat adalah murtad.
Allah s.w.t juga bersikap tegas terhadap golongan yang menyembunyikan harta dan tidak mahu membayar zakat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al-Taubah: 34)
Ketegasan dalam tindakan dan operasi merupakan unsur penting dalam melahirkan sistem pentadbiran yang telus. Menurut al-Mawardi dalam pengurusan zakat, wilayah al-hisbah berperanan mengawasi pegawai dan amil-amil yang dilantik daripada sebarang penyelewengan. Jika berlaku penyelewengan, segera dibawa ke muka pengadilan.

Konsisten (Istiqamah)

Gerak kerja berjadual yang terancang, tersusun dan konsisten merupakan tunjang dalam urusan pentadbiran. Inilah antara kunci kejayaan pengurusan zakat di awal Islam.
Kejernihan jiwa yang sentiasa mengharapkan keredaan, keberkatan dan pengampunan Allah s.w.t melahirkan insan tekun yang berdaya saing dalam menyempurnakan amanah. Ini dapat difahami melalui intisari firman-Nya surah Al-Fussilat: 30.
Menurut Ibn Abbas, ayat ini menuntut setiap Muslim mengikhlaskan dirinya beriman kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan semua kefarduan. Anas bin Malik meriwayatkan sebuah hadis bahawa ketika membaca ayat al-Quran ini, Rasulullah s.a.w memperingatkan supaya memelihara iman secara berterusan (konsisten) dan tidak membiarkannya dirosakkan oleh unsur-unsur syirik. Ikhlas menjadi unsur penting bagi melahirkan gerak kerja yang berterusan.

Berstruktur

Pelaksanaan zakat memberi kebaikan kepada pengeluar dan penerimanya. Bagaimanapun kebaikan ini tidak mungkin wujud tanpa mekanisme pengurusan yang tersusun dan teratur.
Terbukti di zaman awal Islam, pengurusan institusi zakat diuruskan dengan cekap, terancang dan teratur di mana badan khas (diwan) ditubuhkan untuk mengatur kerja-kerja mengutip dan mengagihkan zakat.
Rasulullah s.a.w dan khalifah-khalifah di kalangan sahabat dan tabien amat memberi perhatian tentang urusan pentadbiran institusi zakat. Prinsip-prinsip pengasingan kuasa, agihan tugas, rekod dan penguatkuasaan menjadi asas penting dalam pengurusan zakat.
Teori pengasingan kuasa dan pembahagian tugas telah dilaksanakan oleh baginda apabila mengamanahkan Bilal bin Rabah menjaga dan mengagihkan harta zakat manakala al-Zubair bin al-Awwam dan al-Jahm bin al-Sult sebagai pendaftar dan juruaudit. Uttab bin Usayd pula dilantik sebagai pengurus zakat di Kota Mekah.
Ciri-ciri pengurusan zakat yang efisien ini wajar difahami dan dijiwai oleh semua rakyat Malaysia ke arah merealisasikan hasrat pembentukan dan pemerkasaan modal insan.

Sumber:

Wahairi Mahmud
Utusan Malaysia

Tuesday, August 14, 2007

SEMBAH SALAM

Salam sejahtera. Bertemu kita di alam siber. Semoga informasi yang dipaparkan dapat kita kongsi bersama dan mendatangkan manfaat kepada kita semua. Terima kasih.