Friday, August 14, 2009

H1N1: Lima lagi kematian dilaporkan (56 kes)

KUALA LUMPUR: Lima lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) termasuk dua bayi berusia dua bulan, dilaporkan sehingga jam 8 pagi tadi, menjadikan keseluruhan 56 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kes lain membabitkan seorang wanita berumur 49 tahun yang obes serta mengalami diabetes dan tuberkulosis.

Katanya, dua lagi kes kematian pula membabitkan seorang lelaki berumur 57 tahun yang mengalami diabetes dan seorang lelaki berusia 19 tahun.

"Jumlah kematian telah membabitkan bilangan yang tinggi iaitu 56 kes. Saya ingin memaklumkan bahawa majoriti kematian ini mempunyai faktor penyumbang kematian seperti risiko kesihatan sebanyak 70 peratus.

"Sebanyak 40 peratus pula didapati mempunyai faktor kelewatan mendapat rawatan awal manakala 13 peratus kematian didapati ada unsur kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, terdapat seramai 72 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad dan 2lagi dirawat di ICU.

Katanya, daripada 27 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 18 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10), obesiti (4), kanak-kanak (2), hamil (1) dan selepas bersalin (1).

-BH Online-

**********************

Masyarakat Malaysia dinasihatkan supaya mempertingkatkan kesedaran dalam menangani gejala wabak H1N1. Kenali simptom-simptom penyakit ini dan amalkan kebersihan diri. Sentiasa memakai topeng muka dan hidung ketika berada di luar rumah dan elakkan mengunjungi kawasan-kawasan yang sesak dengan orang ramai.

Golongan yang berisiko diminta untuk lebih berhati-hati dengan menitikberatkan kesihatan diri.

Jumlah kematian akibat Influenza A H1N1 (selesema babi) ini semakin meningkat, begitu juga kes yang masih dirawat. Sangat membimbangkan. Sama-samalah kita berdoa agar gejala ini akan segera berakhir dan semua pesakit ini cepat sembuh untuk terus menjalani kehidupan yang sihat sejahtera.

Thursday, August 6, 2009

Korban H1N1 menjadi 13 orang


KUALA LUMPUR - Bilangan kes kematian akibat wabak selesema babi atau H1N1 terus bertambah dengan empat lagi mangsa menjadi korban menjadikan jumlah mangsa setakat ini 13 orang.

Dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Melaka membabitkan seorang remaja berusia 12 tahun yang mengalami komplikasi buah pinggang manakala seorang lelaki berusia 20 tahun pula asma kronik.

Mangsa ketiga ialah seorang budak lelaki berusia enam tahun yang meninggal dunia di Hospital Batu Pahat akibat radang paru-paru.

Terbaru, Mohd Hyafiq Aiman Mohd. Saiful Afendi juga berusia enam tahun, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan tengah hari semalam.

-Kosmo Online-

****************************

Wabak penyakit Influenza A (H1N1) ini semakin membimbangkan. Lebih menakutkan virus H1N1 ini boleh 'membunuh' dalam senyap. Pengidap selesema babi ini tidak menunjukkan tanda-tanda awal yang berpanjangan sebaliknya terus demam panas dan mengalami pelbagai kompilasi seperti kegagalan fungsi buah pinggang dan radang paru-paru.

Kerajaan kita khususnya Kementerian Kesihatan telah melakukan segala tindakan yang difikirkan perlu bagi menangani wabak penyakit ini termasuklah menyediakan vaksin yang mencukupi kepada gologan yang berisiko tinggi (pesakit asma, orang obesiti, pengidap penyakit kronik, ibu mengandung dan lain-lain).

Namun saya berpendapat kerajaan patut menutup kandang babi yang ada di seluruh Malaysia. Lakukan pemeriksaan penyakit terhadap babi-babi ini, jika ada berpenyakit hapuskan sahaja. Dahulu semasa wabak selesema burung melanda, kita mengambil pendekatan memusnahkan burung, ayam, itik. Mungkin cara yang sama patut dilakukan bagi menangani gejala ini di negara kita. Angka korban berjumlah 13 orang setakat ini begitu membuatkan hati tidak senang. Ditambah pula dengan cuaca jerebu dan tidak menentu di negara kita yang tercinta ini.

Wednesday, August 5, 2009

Guna blog tangkis dakyah pembangkang: Noh

SHAH ALAM: Umno Selangor disaran menggunakan laman blog untuk menangkis dakyah pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar, berkata cara itu lebih berkesan untuk menyampaikan mesej berbanding ceramah.

"Jika dalam ceramah, daripada 1,000 yang hadir belum tentu kesemuanya faham apa mesej yang disampaikan.

"Tetapi mereka yang melayari laman blog, mereka boleh membaca isi kandungannya dengan teliti dan berpeluang memberi maklum balas mengenai isu yang dibincangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan laman blog Blogger Patriot Umno Bahagian Shah Alam di sini malam tadi.

Laman blog itu, www.bloggerpatriot.blogspot.com, dikendalikan oleh sekumpulan 14 penulis blog yang pro-Umno untuk menyampaikan mesej perjuangan Umno terutama kepada golongan muda.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, blog boleh digunakan semasa kempen pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata ceramah Umno perlu menggunakan sistem pembesar suara dan mikrofon yang lebih baik dan bukannya mikrofon untuk berkaraoke, kerana kualiti suara adalah penting dalam ceramah untuk menarik perhatian pendengar.

"Contohnya Pas ada PA sistem dalam ceramah mereka, sampai satu batu pun boleh didengar," katanya.

Beliau berkata, cara berkempen dari rumah ke rumah bagi sesetengah kawasan seperti Shah Alam yang ramai penduduknya tinggal di kondominium, pangsapuri dan rumah yang sukar dimasuki, perlu diubah.

"Cara berkempan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) boleh digunakan bagi meraih undi," katanya. - Bernama

Monday, August 3, 2009

Demonstrasi ISA Pakatan Rakyat



Perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang didalangi oleh parti pembangkang, Pakatan Rakyat pada 1 Ogos, Sabtu lalu jelas mengakibatkan pelbagai kerosakan dan kerugian. Peniaga-peniaga kedai dan pasar malam terpaksa berputih mata menanggung kerugian pada hari tersebut. Pakatan Rakyat kononnya bijak memilih lokasi-lokasi tumpuan orang awam di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sogo dan Masjid India sebagai tempat untuk menghimpunkan para penyokongnya yang taksub dengan perjuangan mereka lebih-lebih lagi untuk mansuhkan ISA.

Tindakan bodoh mereka ini nyata menyusahkan orang ramai dan merugikan banyak pihak. Begitu juga dengan perangai segelintir penyokong pembangkang yang agresif dan keterlaluan. Adakah mereka merasa sangat bangga kerana berjaya menakutkan orang awam yang berkunjung ke situ? Jika inilah yang berada di benak fikiran penyokong-penyokong GMI yang majoritinya adalah kaum Melayu, alangkah sedih dan kecewanya.

Mereka tidak perlulah seolah-olah mencabar pihak polis sehingga pihak berkuasa terpaksa menempuh adegan kejar mengejar, menyembur air dan gas pemedih mata. Natijahnya bukan hanya mereka yang terkena tetapi orang awam yang tidak berdosa turut merasa tempiasnya sehingga ada yang pengsan dan luka akibat jatuh dirempuh.

Perbuatan golongan anti ISA ini sememangnya amat memalukan Malaysia yang terkenal dengan sebuah negara yang aman damai. Pakatan Rakyat mungkin boleh berbangga dan mendabik dada kerana berjaya melaksanakan perhimpunan mansuhkan ISA tetapi PR harus ingat tindakan mereka ini lama-kelamaan akan memualkan rakyat yang bencikan keganasan dan cintakan kedamaian.