Tuesday, May 27, 2008

Jangan Biarkan Pisang Berbuah Dua Kali

RAKYAT Malaysia masih memperkatakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengesahkan hak kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Berikutan itu, ia telah membuka mata kita mengenai pentingnya garis sempadan maritim.
Selama ini, kebanyakan negara di dunia lebih tertumpu kepada garis sempadan di daratan yang jelas kelihatan pada pandangan mata.
Namun, hak kedaulatan sempadan maritim lebih merupakan satu perkara yang sukar ditentukan dan sentiasa berubah mengikut keadaan semasa.
Tidak hairanlah masih banyak isu perebutan hak sempadan maritim yang belum dapat diselesaikan oleh kebanyakan negara di dunia.
Malaysia yang merangkumi Sabah dan Sarawak serta terletak di tengah-tengah kedudukan Asia Tenggara tidak terlepas daripada isu-isu berkaitan maritim.
Dengan dikelilingi lautan luas dan bersempadankan negara-negara jiran, seharusnya isu-isu berkaitan maritim ini diberikan perhatian berterusan.
Sebab itu rakyat sudah menyeru kepada kerajaan supaya segera merangka program memajukan Pulau Pisang demi menjamin status kedaulatan ne- gara ke atas pulau itu berkekalan.
Pada masa yang sama, rakyat menggesa dikaji semula urusan untuk mengambil alih urusan rumah api di pulau itu daripada Singapura.
Jangan lupa Pulau Pisang yang mengandungi empat buah pulau kecil dengan keluasan 178.4 hektar merupakan sebahagian daripada wilayah Malaysia.
Sebab itu kita tidak boleh lalai dan alpa untuk melindungi kepentingan pulau itu. Apatah lagi kini rumah api diurus oleh Singapura.
Sesuatu perlu dilakukan bagi menunjukkan Malaysia tidak membiarkan pulau itu terus dikawal oleh Singapura.
Jabatan Laut Malaysia digesa mengambil alih pengurusan jeti di Pulau Pisang yang ditadbir oleh Jabatan Laut Singapura dan mengurus pentadbiran rumah api tersebut.
Masa untuk rakyat Singapura keluar masuk ke pulau tersebut dengan tidak menggunakan sebarang pas lawatan yang sah harus dihentikan.
Ini kerana, kita tidak mahu Singapura membuat tanggapan bahawa kehadiran mereka selama ini tidak dipersoalkan, malah pulau tersebut pun tidak bertuan.
Banyak pihak sudah berpesan, jangan pisang berbuah dua kali.
Kerajaan disarankan mengambil inisiatif melakukan pembangunan fizikal atau tanda seperti pembinaan jeti dan pos kawalan di pulau berkenaan sebagai bukti hak kedaulatan Malaysia.
Pasukan keselamatan marin juga, jika perlu membuat rondaan yang berterusan di bahagian pulau dan perairan Pulau Pisang.
Sebagai negara maritim, Malaysia perlu menjaga kedaulatan wilayahnya baik dari sudut geografi, mahupun sejarah, ekonomi, politik, sosial dan yang penting - keselamatan.

Sumber: Utusan Malaysia

(Perasaan sedih dan terkilan kerana Pulau Batu Puteh telah menjadi hak mutlak Singapura memang tidak dapat dinafikan. Bukan sahaja di kalangan rakyat Johor malah seluruh warga Malaysia khasnya. Keputusan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Ia adalah muktamad dan Malaysia perlu menerimanya. Sungguhpun kita memenangi tuntutan Middle Rocks namun jiwa ralat tetap ada kerana kita telah kehilangan pulau yang sememangnya hak milik kita sejak dulu lagi dan ia merupakan lambang kedaulatan maritim negara.
Peristiwa ini perlu dijadikan pengajaran. Dikhuatiri Pulau Pisang yang terletak di Pontian, Johor akan turut menjadi pertikaian tuntutan oleh kerajaan Singapura memandangkan negara tersebut juga dibenarkan mentadbir rumah api oleh kerajaan Johor. Sementelahan pula rakyat Singapura bebas keluar masuk ke pulau ini tanpa sebarang pemeriksaan. Mungkin mereka beranggapan bahawa pulau ini tidak bertuan sama seperti Pulau Batu Puteh.
Oleh yang demikian saya amat bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan Malaysia bertindak segera dalam memaju dan membangunkan Pulau Pisang ini. Jika dibiarkan tanpa sebarang pembangunan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri, dibimbangi boleh membawa kepada satu lagi tuntutan bertindih. Ia juga sekali gus bertujuan untuk menjamin status kedaulatan negara ke atas pulau itu adalah berkekalan.

Kerajaan Malaysia juga disaran untuk mengkaji dalam mengambil alih pengurusan rumah api di Pulau Pisang dari Singapura. Apabila pembangunan dilaksanakan dan Jabatan Laut Malaysia pula mengawal pulau tersebut, maka mudahlah untuk rakyat Malaysia berkunjung ke situ. Mungkin tiada lagi halangan rasa takut-takut kerana tiadanya tentera laut Singapura yang berkeliaran mengawal pulau berkenaan).

1 comment:

Wakmasnoor said...

Ini merupakan pengajaran yang BAIK TAPI MERUGIKAN bagi kerajaan dan rakyat M'sia.

Bersetuju dengan pandangan sahabat. Kita harus lebih peka, berhati-hati dan tegas dalam melindungi hak2 kita supaya tidak dicemari permasalahan seperti yang terjadi ke atas Pulau Batu Putih.