Tuesday, May 12, 2009

BN kemuka rayuan – PM

PUTRAJAYA 11 Mei – Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mengesahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia akan dilakukan segera, kemungkinan esok.

Najib bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan itu kerana ia melibatkan skop mahkamah dan perundangan.

‘‘Langkah pertama kita (BN) adalah membuat rayuan terhadap keputusan itu dan ia akan dilakukan segera, kemungkinan esok.

‘‘Saya cuma mahu nyatakan bahawa kita mempunyai kes yang kukuh, justeru, kita akan mengemukakan rayuan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota-anggota Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di pejabatnya di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Mohammad Nizar ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian setelah mendapati jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong dan undi tidak percaya hanya boleh dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa yang sama, Najib menasihatkan rakyat Perak supaya bertenang dan menjalani kehidupan seperti biasa.

‘‘Bertenang, jangan terlalu ghairah atau gusar. Kita akan selesaikan perkara ini,” ujarnya.

Ditanya sama ada perlu dibubarkan DUN Perak, Najib memberitahu, ia terpulang kepada budi bicara Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Beliau juga memaklumkan tiada sebarang tarikh ditetapkan untuknya menghadap Sultan Perak memandangkan beliau boleh berbuat demikian pada bila-bila masa jika diperkenankan.

-Utusan Malaysia 12 Mei 2009-

No comments: