Tuesday, February 24, 2009

Bkt Selambau: Peluang BN menang cerah, kata Zamil


Bekas pengarah pilihanraya PKR Merbok, Zamil Ibrahim mendakwa peluang Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau adalah cerah kerana wujud percakaran dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Zamil - yang merupakan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah - beliau akan mendedahkannya dalam beberapa hari lagi.

"Pakatan Rakyat 'okay' di atas pentas dan di dalam mesyuarat sahaja," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zamil merupakan pengarah pilihanraya bagi calon bebas Bukit Selambau, V Arumugam dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Arumugam yang memenangi kerusi tersebut, kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai exco kerajaan Kedah.

Bagaimanapun, Arumugam meletakkan kedua-dua jawatan tersebut awal bulan ini.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 29 Mac sebagai hari penamaan calon dan 9 April sebagai hari mengundi.

"BN akan menang jika boleh meletakkan calon yang sesuai di Bukit Selambau," katanya.

Zamil juga mendakwa, ada pihak yang menghubunginya supaya mencari penaja untuk calon bebas bertanding.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum memberikan jawapan mengenai perkara tersebut.

"Tunggulah, saya hendak fikir dulu," kata Zamil yang telah meninggalkan PKR dan menyertai Umno September lalu.

Sumber: malaysiakini.com

***************************

Walaupun ramai penganalisis politik meramalkan BN berpotensi besar untuk menang dalam pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau pada 7 April nanti, namun itu bukanlah jaminan yang boleh membuatkan BN berasa lega dan boleh tidur lena.

Situasi politik negara yang tidak menentu pada masa kini perlu ditangani dengan penuh bijaksana. BN bukan lagi berada dalam zon yang selesa. Parti pembangkang akan sentiasa mengganggu gugat dengan pelbagai agenda yang tersembunyi.

Oleh itu jentera BN perlu bekerja dengan lebih kuat. Jangan menoleh ke belakang lagi. Giatkan usaha untuk terus memenangi hati rakyat dan kembalikan kecemerlangan BN.

Kutipan tol di Plaza Tol Salak Jaya dimansuhkan

KUALA LUMPUR: Kutipan tol di Plaza Tol Salak Jaya, Lebuhraya Sungai Besi, dimansuhkan mulai jam 12.30 tengah hari tadi.

Pemansuhan yang sepatutnya dijadualkan pada 1 Mac depan, dipercepatkan ke hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata dijangkakan 50,000 pengguna akan menikmati faedah secara langsung daripada pemansuhan itu.

Sumber: Berita Harian Online (24 Feb. 2009)

****************************

Syukur, Alhamdulillah. Terima kasih kepada Kerajaan BN yang prihatin.

Monday, February 23, 2009

Guan Eng: Hanya Pandai Menabur Janji


Gambar: Utusan Malaysia (23 Feb. 2009)

Adora:

Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang kini mula mengaku kelemahan diri dalam mengurus dan mentadbir negeri khususnya dalam membasmi kemiskinan tegar.

Janji-janji manisnya ketika berkempen bagi PRU 12 pada 8 Mac 2008, tidak berjaya dikotakan meskipun DAP/Pakatan Rakyat telah hampir setahun mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Pulau Pinang daripada BN.

Nampaknya beliau tidak dapat membela nasib dan masa depan pengundi-pengundi yang bersusah payah memangkah gambarnya semasa pilihan raya umum itu.

Apa yang beliau sering uar-uarkan ialah mansuhkan DEB, mansuhkan DEB. Kenapa? Sebab ada niat jahat dalam dirinya iaitu untuk menarik keistimewaan orang Melayu. Suka untuk saya bertanya. Kaum manakah yang masih berada dalam kelompok miskin tegar itu? Jawapannya pastilah orang Melayu. Ini yang menyedihkan. Kaum peribumi telah terpinggir di negara sendiri.

Inilah gambaran sebenar kredibiliti pemimpin pembangkang bukan sahaja di negeri ini malah di negeri-negeri jajahan Pakatan Rakyat yang lain. Pemimpin Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa mereka memang tidak berkemampuan untuk mentadbir negeri ke arah yang lebih cemerlang.

Dilihat kejayaan mereka hanyalah dalam mencipta kontroversi dan pelbagai isu, skandal seks serta rasuah. Dahulu ketika belum berjaya menjajah lima negeri, mereka begitu lantang mengadu domba tentang kepincangan BN. Semuanya serba tak kena.

Ibarat paku dulang paku serpih, mengata orang, Pakatan Rakyat yang lebih. Reputasi pakatan pembangkang semakin jatuh. Sedikit demi sedikit keburukan pemimpin-pemimpin mereka kian terserlah. Tetapi seperti biasa, Pakatan Rakyat gemar memanipulasikan isu dan menuding jari kepada orang lain. Kononnya segala insiden yang berlaku ini adalah 'kerja' BN untuk menghancur dan menjatuhkan imej pemimpin serta parti mereka.

Jawapan basi, naik muak mendengarnya. Wal hal mereka sendiri yang gemar bercakap tak serupa bikin. Kononnya hanya mereka sahaja yang baik dan disenangi rakyat.

Wednesday, February 18, 2009

Buku perjelas institusi raja berpelembagaan diterbit

KUCHING 18 Feb. — Satu buku yang mengupas isu berkaitan sistem institusi raja berperlembagaan di negara ini bakal diterbit dan diedarkan minggu depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Abdullah Morad.

Beliau berkata buku itu akan menjawab dengan jelas kekeliruan dan tohmahan tidak berasas mengenai sistem institusi raja berperlembagaan oleh pihak-pihak tertentu ekoran perkembangan politik di Perak.

“Format buku tersebut dalam bentuk soal jawab,” katanya kepada pemberita selepas menutup kursus tiga hari Sistem Laporan Aktiviti Jabatan Penerangan di sini hari ini.

Abdullah berkata antara isi kandungan buku itu ialah mengenai kesahihan kerajaan yang dibentuk dalam konteks sistem institusi raja berperlembagaan dan penjelasan berdasarkan konteks perlembagaan negeri.

Beliau berharap dengan pengedaran buku berkenaan masyarakat akan lebih memahami mengenai isu-isu membabitkan sistem institusi raja.

Beliau berkata Jabatan Penerangan kini sedang dalam persediaan menghadapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2011.

Walaupun medium menyampaikan maklumat kini pelbagai seperti penggunaan blog, Jabatan Penerangan akan mengutamakan kaedah bersemuka dengan mendekatkan diri dengan masyarakat bagi menjelaskan isu, di samping pengedaran risalah kepada golongan sasar.

“Selain strategi utama menggunakan kaedah bersemuka, kita akan guna pelbagai strategi untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu-isu setempat yang dibangkitkan oleh pembangkang,” katanya. — Bernama

***********************

Semoga rakyat dapat memahami dan lebih menghayati tentang Prinsip Rukun Negara Ketiga, Keluhuran Perlembagaan.

Pekerja diberhenti tidak diserap secara automatik

PUTRAJAYA 18 Feb. — Pekerja-pekerja industri yang diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi global masih perlu melalui prosedur biasa permohonan pekerjaan di sektor awam, sebelum boleh diserap sebagai kakitangan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata walaupun kerajaan bersetuju dengan cadangan supaya pekerja terbabit mengisi kekosongan jawatan dalam sektor awam, mereka perlu melalui proses itu terlebih dahulu dan akan diterima sekiranya didapati layak.

Beliau berkata peraturan sama terpakai kepada pekerja-pekerja kontrak dalam sektor awam yang ingin mendapatkan jawatan tetap.

“Ia bukannya automatik. Mereka sepatutnya memohon berdasarkan kelayakan dan pengalaman, dan saya cadangkan mereka melayari laman web JobsMalaysia kelolaan Kementerian Sumber Manusia atau laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Bengkel Pengurusan Perwakilan dan Agensi Kerajaan Lain di Luar Negeri Berdasarkan Konsep Organisasi Bersepadu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pada Jumaat lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam Jumaat berkata kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan cadangan supaya 20,000 kekosongan jawatan dalam sektor awam diisi oleh pekerja-pekerja industri yang diberhentikan dan Jabatan Tenaga Rakyat akan menyelaras serta mencari mekanisme bagi membolehkan pekerja industri mengisi jawatan berkenaan.

Ismail berkata 20,000 kekosongan jawatan itu hanya melibatkan kekosongan di peringkat perkeranian.

Katanya peluang graduan untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam tidak terjejas kerana masih banyak kekosongan terutama dalam bidang profesional seperti doktor, guru dan polis. — Bernama

Tuesday, February 17, 2009

Elizabeth Wong Letak Jawatan ADUN Bukit Lanjan



Gambar: www.masterdedah.com

Adora:

Elizabeth Wong hari ini meletak jawatan secara rasmi sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan. Wakil rakyat PKR ini terpaksa meletakkan jawatan-jawatan kesayangannya ekoran daripada gambar-gambar separuh bogelnya telah tersebar dengan meluas di internet dan mms. Dikatakan bahawa gambar-gambar video tersebut telah dirakam oleh bekas teman lelakinya dari pelbagai sudut dan pose.

Beginilah moral pemimpin rakyat dari Parti Keadilan Rakyat. Tidak habis-habis dengan isu yang merendahkan imej diri. Sebelum ini kita dikejutkan dengan cerita ADUN Bukit Selambau, juga dari PKR meletak jawatan kerana isu peribadi yang ada hubung kait hubungan sulitnya dengan seorang wanita.

Elok benarlah mereka meletak jawatan. Mereka memang tidak sesuai atau sama sekali tidak layak untuk menjadi pemimpin mithali. Saudara Anwar Ibrahim pula selaku Penasihat PKR wajar meneliti perkara ini dengan sebaik-baiknya. Mengapa kejatuhan wakil rakyat PKR sering disebabkan oleh isu peribadi.

Namun yang menghairankan, saudara Anwar kebelakangan ini seolah-olah menyendiri. Tiada sebarang komen yang terbit dari mulutnya mengenai perilaku anak-anak didiknya ini. Atau mungkin juga ini yang diajar olehnya sebagai bapa PKR? Atau Anwar kini sedang bermuhasabah diri?

Pada pandangan saya, insiden ini merupakan petanda kepada kejatuhan era pentadbiran PKR/pembangkang di negeri-negeri yang menjadi tawanannya. Mungkin sudah siratan mereka hanya mampu mentadbir dalam tempoh yang pendek.

Ada hikmahnya BN kehilangan lima negeri semasa PRU Ke-12 yang lalu. Tidak sampai setahun, kini BN kembali bertakhta di Negeri Perak ekoran daripada konflik dalaman dan ketidakstabilan parti Pakatan Rakyat.

Monday, February 16, 2009

Calon anak tempatan UMNO

IPOH 15 Feb. - Barisan Nasional (BN) telah memutuskan bahawa anak tempatan daripada UMNO akan dipilih sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, calon yang akan dipilih adalah daripada kalangan yang bergerak aktif di peringkat bahagian dan boleh diterima oleh rakyat.

''Nama calon tersebut akan ditentu dan diumumkan apabila sampai masanya. Kita masih mempunyai masa mencukupi untuk membuat tinjauan dengan sebaik-baiknya.

''Justeru, sebarang spekulasi bahawa orang luar akan dipilih sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang tidak akan berlaku sama sekali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup BN Perak di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Hussin menyatakan pihaknya mahukan calon tempatan dan tidak akan berkompromi dalam soal tersebut.

Katanya, ini kerana sudah 23 tahun UMNO Bukit Gantang bersabar dengan arahan pucuk pimpinan parti yang meletakkan calon luar termasuk pada pilihan raya umum lepas.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan selepas penyandangnya, Roslan Shaharum daripada Pas meninggal dunia pada Isnin lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Roslan menang dengan majoriti 1,566 undi mengalahkan calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi yang merupakan Bendahari UMNO Pusat dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang.

Selain kedua-dua calon itu, kerusi Parlimen Bukit Gantang turut ditandingi calon bebas, M. Morgan yang mendapat 872 undi.

Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata, calon kalangan orang tempatan akan memberi keyakinan bukan sahaja kepada parti, malah pengundi.

Jelas beliau, dalam keadaan sekarang, BN perlu menggambarkan bahawa parti itu sentiasa mengutamakan perpaduan dan segala tindakan yang diambil bukan untuk menjayakan kepentingan peribadi.

Katanya, apa yang perlu diutamakan pada masa ini ialah semangat, prinsip dan kepentingan parti bagi mencerminkan satu kekuatan baru yang diperoleh BN khususnya selepas berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Perak.

''Saya yakin dan percaya kerajaan negeri BN yang baru ditubuhkan ini akan dapat memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat Perak yang memerlukan pembelaan sewajarnya.

''Kita (BN) adalah kerajaan untuk semua kaum dan ini adalah dasar BN yang perlu diperjuangkan," katanya.

Menurut Najib, penilaian beberapa nama calon sedang dibuat dan tidak ada sebarang syarat yang ditetapkan bagi memilih calon kecuali mereka adalah orang tempatan.

''Apa yang penting, calon BN adalah anak tempatan yang boleh diterima dan disayangi pengundi di kawasan Bukit Gantang, yang lain bergantung kepada penilaian kita," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (16 Feb. 2009)

**************************************

Desas-desus mengenai bakal calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gantang 7 April depan terjawab sudah. YAB TPM menegaskan calon BN adalah orang tempatan, bukannya orang luar seperti yang digembar-gemburkan.

Sehubungan itu, UMNO Bahagian Bukit Gantang tidak perlu lagi merasa gusar atau tertanya-tanya mengenai perkara tersebut. TPM sudah berjanji akan melantik calon BN dari kalangan anak tempatan yang disukai dan disenangi masyarakat.

Semoga kesepakatan yang wujud ini akan membuahkan hasil yang cemerlang untuk BN meraih kembali kerusi Parlimen Bukit Gantang. Paling utama nasib pengundi-pengundi dapat dibela dan mendapat perhatian yang sewajarnya.

Tuanku Mizan rasmi pembukaan Parlimen ke-12

KUALA LUMPUR 16 Feb. — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Ke-12.

Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di pekarangan bangunan Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Turut menyambut Seri Paduka berdua ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Tuanku Mizan kemudian menerima sembah “Hormat Diraja” sebelum lagu NegaraKu dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi.

Ia disusuli dengan kibaran Bendera Diraja yang disertai tembakan meriam 21 das.

Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi, diketuai oleh Mejar Norhisham Kamar.

Selepas memeriksa perbarisan kehormat, Seri Paduka kembali ke Peterana Diraja dan menerima sembah “Hormat Diraja” kali kedua sebelum lagu NegaraKu dimainkan.

Baginda kemudian diiringi oleh Abdullah dan isteri memasuki Bangunan Parlimen.

Tepat 10.40 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan baginda kemudian memasuki galeri Dewan Rakyat dengan diiringi Pandikar Amin.

Perdana Menteri kemudian menyembahkan titah ucapan diraja kepada baginda bagi merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-12.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat bermula hari ini dan berakhir 19 Mac.

— BERNAMA

Thursday, February 12, 2009

Nizar akan kosongkan kediaman rasmi MB dalam tempoh 10 hari

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata beliau akan mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar dalam tempoh 10 hari mulai hari ini.

Pada masa sama, katanya, semua 11 kereta rasmi kerajaan negeri akan diserahkan secara berperingkat kepada pentadbiran baru mulai Sabtu ini.

Katanya, keputusan itu sebagai mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Mohammad Nizar bertegas beliau masih Menteri Besar Perak yang sah dan terus menduduki kediaman rasmi berkenaan.

Sumber: Berita Harian Online (12 Feb. 2009)

*******************************************

YB Mohammad Nizar nampaknya sudah sedar dari mimpinya. Sebelum ini beliau bertegas tidak akan mengucapkan selamat tinggal kepada rumah rasmi MB Negeri Perak. Syukurlah kerana YB Nizar sudah dapat menerima hakikat bahawa eranya untuk memerintah Perak telah berakhir tidak sampai setahun dan BN pula kini telah kembali berkuasa di Perak.

Namun pada hemat saya, tindakan beliau tidak mahu berganjak dari situ dahulu adalah kerana ada penghasut di belakangnya. Penghasut yang tidak habis-habis ingin memporak-perandakan kestabilan politik dan keamanan negaranya sendiri.