Wednesday, February 18, 2009

Buku perjelas institusi raja berpelembagaan diterbit

KUCHING 18 Feb. — Satu buku yang mengupas isu berkaitan sistem institusi raja berperlembagaan di negara ini bakal diterbit dan diedarkan minggu depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Abdullah Morad.

Beliau berkata buku itu akan menjawab dengan jelas kekeliruan dan tohmahan tidak berasas mengenai sistem institusi raja berperlembagaan oleh pihak-pihak tertentu ekoran perkembangan politik di Perak.

“Format buku tersebut dalam bentuk soal jawab,” katanya kepada pemberita selepas menutup kursus tiga hari Sistem Laporan Aktiviti Jabatan Penerangan di sini hari ini.

Abdullah berkata antara isi kandungan buku itu ialah mengenai kesahihan kerajaan yang dibentuk dalam konteks sistem institusi raja berperlembagaan dan penjelasan berdasarkan konteks perlembagaan negeri.

Beliau berharap dengan pengedaran buku berkenaan masyarakat akan lebih memahami mengenai isu-isu membabitkan sistem institusi raja.

Beliau berkata Jabatan Penerangan kini sedang dalam persediaan menghadapi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2011.

Walaupun medium menyampaikan maklumat kini pelbagai seperti penggunaan blog, Jabatan Penerangan akan mengutamakan kaedah bersemuka dengan mendekatkan diri dengan masyarakat bagi menjelaskan isu, di samping pengedaran risalah kepada golongan sasar.

“Selain strategi utama menggunakan kaedah bersemuka, kita akan guna pelbagai strategi untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu-isu setempat yang dibangkitkan oleh pembangkang,” katanya. — Bernama

***********************

Semoga rakyat dapat memahami dan lebih menghayati tentang Prinsip Rukun Negara Ketiga, Keluhuran Perlembagaan.

No comments: