Monday, February 16, 2009

Tuanku Mizan rasmi pembukaan Parlimen ke-12

KUALA LUMPUR 16 Feb. — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Ke-12.

Ketibaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di pekarangan bangunan Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Turut menyambut Seri Paduka berdua ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Tuanku Mizan kemudian menerima sembah “Hormat Diraja” sebelum lagu NegaraKu dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi.

Ia disusuli dengan kibaran Bendera Diraja yang disertai tembakan meriam 21 das.

Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi, diketuai oleh Mejar Norhisham Kamar.

Selepas memeriksa perbarisan kehormat, Seri Paduka kembali ke Peterana Diraja dan menerima sembah “Hormat Diraja” kali kedua sebelum lagu NegaraKu dimainkan.

Baginda kemudian diiringi oleh Abdullah dan isteri memasuki Bangunan Parlimen.

Tepat 10.40 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan baginda kemudian memasuki galeri Dewan Rakyat dengan diiringi Pandikar Amin.

Perdana Menteri kemudian menyembahkan titah ucapan diraja kepada baginda bagi merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-12.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat bermula hari ini dan berakhir 19 Mac.

— BERNAMA

No comments: