Wednesday, February 18, 2009

Pekerja diberhenti tidak diserap secara automatik

PUTRAJAYA 18 Feb. — Pekerja-pekerja industri yang diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi global masih perlu melalui prosedur biasa permohonan pekerjaan di sektor awam, sebelum boleh diserap sebagai kakitangan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata walaupun kerajaan bersetuju dengan cadangan supaya pekerja terbabit mengisi kekosongan jawatan dalam sektor awam, mereka perlu melalui proses itu terlebih dahulu dan akan diterima sekiranya didapati layak.

Beliau berkata peraturan sama terpakai kepada pekerja-pekerja kontrak dalam sektor awam yang ingin mendapatkan jawatan tetap.

“Ia bukannya automatik. Mereka sepatutnya memohon berdasarkan kelayakan dan pengalaman, dan saya cadangkan mereka melayari laman web JobsMalaysia kelolaan Kementerian Sumber Manusia atau laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Bengkel Pengurusan Perwakilan dan Agensi Kerajaan Lain di Luar Negeri Berdasarkan Konsep Organisasi Bersepadu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pada Jumaat lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam Jumaat berkata kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan cadangan supaya 20,000 kekosongan jawatan dalam sektor awam diisi oleh pekerja-pekerja industri yang diberhentikan dan Jabatan Tenaga Rakyat akan menyelaras serta mencari mekanisme bagi membolehkan pekerja industri mengisi jawatan berkenaan.

Ismail berkata 20,000 kekosongan jawatan itu hanya melibatkan kekosongan di peringkat perkeranian.

Katanya peluang graduan untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam tidak terjejas kerana masih banyak kekosongan terutama dalam bidang profesional seperti doktor, guru dan polis. — Bernama

No comments: