Tuesday, February 24, 2009

Bkt Selambau: Peluang BN menang cerah, kata Zamil


Bekas pengarah pilihanraya PKR Merbok, Zamil Ibrahim mendakwa peluang Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau adalah cerah kerana wujud percakaran dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Zamil - yang merupakan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah - beliau akan mendedahkannya dalam beberapa hari lagi.

"Pakatan Rakyat 'okay' di atas pentas dan di dalam mesyuarat sahaja," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zamil merupakan pengarah pilihanraya bagi calon bebas Bukit Selambau, V Arumugam dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Arumugam yang memenangi kerusi tersebut, kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai exco kerajaan Kedah.

Bagaimanapun, Arumugam meletakkan kedua-dua jawatan tersebut awal bulan ini.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 29 Mac sebagai hari penamaan calon dan 9 April sebagai hari mengundi.

"BN akan menang jika boleh meletakkan calon yang sesuai di Bukit Selambau," katanya.

Zamil juga mendakwa, ada pihak yang menghubunginya supaya mencari penaja untuk calon bebas bertanding.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum memberikan jawapan mengenai perkara tersebut.

"Tunggulah, saya hendak fikir dulu," kata Zamil yang telah meninggalkan PKR dan menyertai Umno September lalu.

Sumber: malaysiakini.com

***************************

Walaupun ramai penganalisis politik meramalkan BN berpotensi besar untuk menang dalam pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau pada 7 April nanti, namun itu bukanlah jaminan yang boleh membuatkan BN berasa lega dan boleh tidur lena.

Situasi politik negara yang tidak menentu pada masa kini perlu ditangani dengan penuh bijaksana. BN bukan lagi berada dalam zon yang selesa. Parti pembangkang akan sentiasa mengganggu gugat dengan pelbagai agenda yang tersembunyi.

Oleh itu jentera BN perlu bekerja dengan lebih kuat. Jangan menoleh ke belakang lagi. Giatkan usaha untuk terus memenangi hati rakyat dan kembalikan kecemerlangan BN.

1 comment:

Anonymous said...

Aku pun setuju. Aku harap BN menang kali ni. Dah bagi kat PR, lepas tu letak jawatan. Tak guna punya orang. Menyusahkan rakyat dan membazirkan duit rakyat.