Tuesday, June 23, 2009

BN tak perlu kerajaan perpaduan


PUTRAJAYA - Kerajaan Barisan Nasional (BN) masih berupaya mentadbir negara dan tak memerlukan sebuah "kerajaan perpaduan", kata Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) semalam.

Ketika diminta mengulas keputusan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat semalam yang menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan BN kukuh dan mampu melaksanakan program pembangunannya.

"Tidak timbul soal kerajaan BN lemah sehingga memerlukan kerajaan perpaduan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di luar negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan itu ditimbulkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan menurut Najib, reaksi kerajaan terhadap cadangan itu adalah sekadar memberikan reaksi positif.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan memberikan respon yang positif terhadap cadangan itu kerana menganggapnya sesuatu yang baik untuk negara. - Bernama

Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang Tolak Kerajaan Perpaduan


PAKATAN RAKYAT SEBULAT SUARA TIDAK INGIN MENJALIN PERPADUAN DENGAN UMNO/BN. MESKIPUN GAGASAN ITU DICADANGKAN OLEH PRESIDEN PAS, DATO' SERI HAJI HADI AWANG DENGAN NIAT BAIK UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH NEGARA TETAPI PAKATAN RAKYAT YANG DIKAWAL KETAT OLEH PKR DAN DAP TIDAK SUKAKAN SENARIO TERSEBUT. ANWAR IBRAHIM DAN LIM KIT SIANG BENAR-BENAR BENCIKAN PERPADUAN.

MALAH AMAT MENDUKACITAKAN UMNO PULA YANG DITUDUH TERDESAK UNTUK MENJALIN HUBUNGAN BAIK DENGAN PAS/PAKATAN RAKYAT. WALHAL ITU CADANGAN HAJI HADI DAN BAGI PIHAK UMNO PULA MENYAMBUT DENGAN TANGAN TERBUKA JIKA PAS BENAR-BENAR IKHLAS.

ANWAR IBRAHIM DENGAN RAKUSNYA MENDAKWA ISU KERAJAAN PERPADUAN MERUPAKAN FITNAH DAN TOHMAHAN UMNO/BN UNTUK MENGGUGAT KESTABILAN PAKATAN RAKYAT. TIDAKKAH ANWAR SEDAR DAN FAHAM PAS YANG MEMULAKAN ISU TERSEBUT. MENGAPA PULA UMNO YANG DIPERSALAHKAN?

Pembangkang tolak kerajaan perpaduan

KUALA LUMPUR 22 Jun - Pakatan pembangkang yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan tetapi dalam masa sama bersedia bertemu Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun isu itu pernah ditimbulkan dalam muktamar Pas tahun lalu dan disebut kembali dalam muktamar tahun ini, pakatan pembangkang mendakwa idea penubuhan kerajaan tersebut sebagai fitnah, tohmahan jahat dan tindakan terdesak UMNO.

''Majlis pimpinan pakatan pembangkang menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO/BN yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan pakatan pembangkang yang semakin mendapat dukungan rakyat," katanya di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen di sini.

Beliau bercakap pada sidang akhbar yang turut disertai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; dan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta barisan pemimpin lain daripada ketiga-tiga parti berkenaan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari pertama Muktamar Pas ke-55 pada 5 Jun lalu mempertahankan ideanya mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah negara.

Bagaimanapun katanya, gagasan itu perlu melalui proses perbincangan secara terperinci oleh pelbagai pihak dan tidak perlu dilaksanakan secara tergopoh-gapah kerana ia suatu yang baru bagi rakyat.

Sungguhpun begitu, idea dan cadangan yang dicetuskan oleh Abdul Hadi telah ditentang oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berulang kali menyatakan sikap terbuka UMNO ke arah penubuhan kerajaan perpaduan itu dan dalam masa sama melahirkan keyakinan terhadap keikhlasan Pas berhubung cadangan tersebut.

-Utusan Malaysia (23 Jun 2009)

Wednesday, June 17, 2009

KERAJAAN PERPADUAN: PAS & UMNO

UMNO menyambut baik cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan PAS seperti yang dicadangkan oleh Presidennya, Datuk Hj Hadi Awang. Malah YAB Perdana Menteri sendiri yakin dengan keikhlasan PAS berhubung muqabalah ini.

Namun ada pihak di dalam PAS sendiri yang seolah-olah tidak bersetuju dan tidak ikhlas untuk menjalin perpaduan dengan UMNO meskipun Presiden dan Naib Presidennya sangat-sangat bersetuju demi merencanakan masa depan serta kebajikan umat Islam dan orang-orang Melayu.

Berita terbaru, Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali memaklumkan bahawa PAS sedia berbincang dengan UMNO berhubung perkara ini dengan syarat PKR dan DAP turut diajak menyertai perbincangan tersebut. Amat menjadi tanda tanya mengapa PAS dilihat begitu takut dengan PKR dan DAP.

Seharusnya dalam memartabatkan syiar Islam dan umat Melayu, PAS tidak perlu menoleh ke belakang lagi. Sementelahan pula selama ini PAS hanya menjadi boneka dalam Pakatan Rakyat. Segala perkara diputuskan oleh PKR dan DAP.

Tuesday, June 16, 2009

1Malaysia bukan asimilasi

KUALA LUMPUR 15 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan gagasan 1Malaysia adalah amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan bagi digantikan dengan satu identiti nasional baru.

Perdana Menteri berkata, konsep gagasan tersebut juga jauh berbeza daripada konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang yang tidak bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, menurut beliau, 1Malaysia secara tersurat dan tersirat kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, 4, 152, 153 dan Bahagian 2 serta 3 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu waktu lalu.

“Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

“Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Halimah Mohd. Sadique (BN - Tenggara) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sidang Dewan Rakyat hari ini merupakan yang pertama sejak Najib dilantik sebagai Perdana Menteri.

Najib memberitahu, formula 1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan teras-teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasi.

Teras-teras perpaduan:

*Penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia.

*Prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara

*Keadilan Sosial.

Nilai-nilai aspirasi merangkumi:

*Budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab.

*Budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan.

*Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru.

*Meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

*Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

*Ketabahan mengharungi cabaran mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

Menjawab soalan tambahan Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) yang mendakwa 1Malaysia ditiru daripada konsep Malaysian Malaysia, Najib menegaskan bahawa kerajaan tidak langsung mencuri idea Malaysian Malaysia sambil menyatakan konsep itu jauh berbeza dengan idea DAP yang tidak berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.

-Utusan Malaysia, 16 Jun 2009-

Monday, June 15, 2009

Pas kuda tunggangan DAP, PKR


Dato' Nik Aziz merenung jauh memikirkan masa depan PAS sebagai kuda Pakatan Rakyat tetapi beliau tidak bersetuju dengan cadangan Presiden PAS untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO.

***********************************************

KLANG 14 Jun - Pas sukar untuk menjadi peneraju dalam pakatan pembangkang menyebabkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, perkembangan sekarang menyaksikan Pas hanya menjadi kuda tunggangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun parti itu mempunyai pengaruh lebih besar berbanding kedua-dua rakan dalam pakatan itu.

Tambahnya, Pas sedar jika keadaan tersebut dibiarkan pemimpin dari parti itu tidak akan dilantik sebagai Perdana Menteri jika pakatan tersebut memenangi pilihan raya umum akan datang.

''Kedudukan Pas hanya boleh jadi nombor dua atau tiga dalam pakatan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menyatakan demikian kepada pemberita selepas menutup program Merakyatkan Seni Budaya dan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Meru di sini hari ini.

Namun katanya, UMNO dan Pas perlu meneruskan rundingan berhubung penubuhan kerajaan perpaduan kerana persamaan wujud antara kedua-dua parti.

-Utusan Malaysia, 15 Jun 2009-

******************************

Kasihan PAS. Sudah terang lagi bersuluh kedudukannya tidak dipedulikan oleh parti gabungannya sendiri, Pakatan Rakyat. Jelas Pakatan Rakyat hanya didominasi oleh PKR dan DAP. Hanya suara-suara dalam PKR dan DAP yang didengari dan diikuti.

Hasrat murni Presiden PAS, Datuk Haji Hadi Awang untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO ditentang habis-habisan oleh kedua-dua parti itu. Tujuan suci PAS dan UMNO untuk menyatu padukan umat Melayu ditolak mentah-mentah oleh mereka. Hina sangatkah PAS di mata PKR dan DAP?

Melihat kepada senario ini PAS sepatutnya perlu bertindak lebih peka dan agresif. PAS patut keluar dari Pakatan Rakyat. PAS tidak perlu rasa takut dengan PKR dan DAP. Lebih-lebih lagi penyokong PAS sebenarnya adalah lebih ramai berbanding PKR dan DAP.


Ayuh PAS, sedarlah dari lena yang panjang ini. Bersatulah dengan UMNO demi masa depan umat Islam dan orang Melayu. Saya pasti orang-orang UMNO dan rakyat Malaysia umumnya gembira dan menyambut baik cadangan anda untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Wednesday, June 3, 2009

Chin Peng: Hentikan...dia yang langgar perjanjian


Cukup, hentikan, jika ada yang hendak merayu, kerajaan tidak akan melayannya, demikian penegasan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dengan isu bekas pemimpin komunis Chin Peng.

Walaupun kerajaan telah menegaskan tetap tidak akan membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini, masih ada pihak yang terus membangkitkan isu tersebut.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyokong pendirian Persatuan Bekas Tentera Malaysia yang dengan tegas menolak usaha membawa Chin Peng pulang ke negara ini dan sambil persatuan itu menyifatkan mereka yang menyokong kepulangan Chin Peng dan cubaan menghidupkan semula komunisme ‘patut ditembak sahaja’.

“Ini memperlihatkan betapa marahnya mereka. Jika dia (Chin Peng) dibenarkan pulang atas dasar kemanusian, bolehkan kita menerima pembunuhan yang dilakukannya. Pembunuhan tidak berperikemanusian,” tambah Muhyiddin.

Beliau berkata demikian kepada para wartawan di Kuala Lumpur hari Selasa ketika diminta mengulas mengenai sikap sesetengah pihak yang masih terus mahukan Chin Peng dibenarkan pulang.

Menurut Muhyiddin, semua pihak perlu menghormati pendirian kerajaan berhubung dengan isu Chin Peng.

“Semua perbahasan mengenai Chin Peng mestilah dihentikan. Mereka perlu menghormati pendirian kerajaan, kepada mereka yang hendak merayu, kita tidak akan melayannya,” kata beliau sambil menengaskan kerajaan tetap dengan keputusan tidak membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman ketika mengulas perkara yang sama menafikan kerajaan memungkiri perakra-perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Perletakan Senjata Parti komunis Malaya (PKM) yang ditandantangani pada 2 Disember 1989 berhubung dengan kedudukan Chin Peng.

Menurutnya, menurut perjanjian itu, Chin Peng perlu menghdiri proses temuduga sama seperti 442 yang emmohon untuk kembali ke Malaysia tetapi hanya 406 sahaja yang hadir manakala selebihnya termasuk Chin Peng tidak hadir.

"Selepas itu dia tidak pernah mengemukakan permohonan baru sebaliknya menggunakan saluran mahkamah untuk menentukan status kewargenegaraannya.

"Tindakan itu jelas menunjukkan beliau enggan mematuhi syarat-syarat perjanjian yang ditandatangani dan juga tidak mematuhi undang-undang negara seperti mana yang dikehendaki dalam perjanjian tersebut," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Menurut Abu Seman berkata, dalam kes Chin Peng, kementerian itu berpendirian tegas dan tidak akan bertolak ansur mengenainya dan merasakan Chin Peng bukanlah wira yang patut dibela.

Sumber: agendadaily

Tolong jangan pinjam duit ah long lagi



Gambar: Utusan Malaysia (3 Jun 2009)
***************************************

Tindakan ah long (lintah darat atau ceti haram) kini semakin kejam dan di luar batas kemanusiaan. Baru-baru ini salah satu kumpulan ah long telah mengurung dan merantai peminjam seumpama binatang di sebuah bilik kecil serta berdekatan tandas gara-gara peminjam gagal membayar hutang. Sungguh kasihan.

Kegiatan ceti haram ini wajar dibanteras secara habis-habisan oleh pihak berkuasa. Jika tidak dihapuskan mereka semakin lama semakin naik tocang dan seolah-olah tidak berasa gentar dengan undang-undang negara.

Tetapi apa yang dikesalkan ialah terdapat segelintir masyarakat kita yang mudah mempercayai ah long dan masih meminjam wang daripada mereka meskipun tahu akan sifat ah long seperti gangster dan mafia apabila marah hutang mereka tidak dibayar. Taukeh dan konco-konconya sanggup bertindak dengan tidak berhati perut, bukan hanya melibatkan peminjam malah kaum keluarga turut menerima tempiasnya.

Dinasihatkan kepada masyarakat Malaysia yang terdesak dengan masalah kewangan agar tidak lagi meminjam wang daripada ah long. Seboleh mungkin carilah alternatif lain yang tidak memudaratkan diri dan memberi lebih ketenangan. Sayangilah nyawa anda dan ahli keluarga tersayang.

Tuesday, June 2, 2009

Dekati masyarakat desa tarik pengundi Manek Urai

Tidur di rumah orang kampung, toreh getah cara raih undi

KOTA BHARU: Tidur di rumah orang kampung dan turut sama menjalani kehidupan harian dengan menoreh getah bersama masyarakat, adalah antara pendekatan yang akan digunakan jentera Penerangan Umno dalam usaha meraih keyakinan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata bagi memenangi hati masyarakat di peti undi DUN itu, jentera Barisan Nasional (BN) harus turut sama turun padang dan merasai sendiri sudah senang masyarakat setempat.

"Jentera Penerangan Umno yang dilancarkan secara rasmi hari ini akan mengguna pakai konsep dekat dengan masyarakat di Manek Urai iaitu tidur di rumah penduduk selain menjalankan kegiatan menoreh getah bersama mereka.

"Lebih 80 peratus pengundi DUN Manek Urai adalah penoreh getah dan untuk merapatkan serta mengajak mereka menyertai Umno dan BN, kita harus bersama mereka merasai kehidupan sebagai seorang penoreh getah. Saya akan bersama mereka pagi esok.

"Saya berjanji kepada masyarakat di DUN Manek Urai, bahawa tidak akan tinggal di hotel lima bintang, malah akan bermalam di rumah penduduk di situ," katanya ketika menutup seminar penceramah DUN Manek Urai, di Bangunan Umno negeri, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dali Hussin.

Ahmad yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau yang dibesarkan daripada keluarga penoreh getah, sudah merasai rasa susah senang untuk mencari rezeki.

"Saya sudah mulakan langkah dengan tidur di rumah orang kampung di DUN berkenaan dan berharap akan menjadi ikutan oleh ahli Umno atau BN lain," katanya.

Ahmad yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, jentera BN akan berusaha untuk mendekatkan lebih 12,000 pengundi di DUN berkenaan dengan BN secara berkempen di lebih 3,000 rumah di kawasan itu atau mendekati mereka di surau atau tempat kerja.

"Ceramah akan diadakan sebagaimana biasa, namun kini pendekatan lebih kreatif dilakukan iaitu bertemu pengundi di kawasan berkenaan dengan cara lebih dekat iaitu berkunjung ke rumah walaupun hanya ada dua tiga orang di situ. Kaedah ini dapat menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan sekali gus mampu menarik mereka mendekati BN," katanya

"Kempen penerangan jentera BN akan lebih kreatif dengan memanfaatkan pelbagai teknologi terkini antaranya termasuk blog, SMS dan facebook," katanya.

-BH, 2 Jun 2009-

******************

Adora:

Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai nanti diharapkan berjaya memberi sinar baru kepada parti BN. Menang atau kalah merupakan adat bertanding tetapi apa yang ingin dilihat ialah sama ada BN mampu meraih peningkatan undi warga Manek Urai setelah agak lama berada di bawah tampuk pemerintahan PAS. BN pernah menerajui kerusi DUN ini pada PRU 2004. Pilihan raya kecil ini adalah masa yang sesuai untuk mengetahui dan menilai kemahuan rakyat di kawasan tersebut pada masa sekarang.

Keupayaan menarik lebih banyak sokongan pengundi kepada BN/UMNO adalah merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan kerana secara langsung ia akan mencerminkan pesona dan prestasi parti kerajaan pusat ini dalam menawan hati penduduk Manek Urai. Mungkinkah warga Manek Urai akan berubah demi untuk menikmati kehidupan yang lebih sempurna? Kita sama-sama nantikan.

LTTE benci penduduk Islam Sri Lanka

Ramai penduduk Muslim jadi sasaran kekejaman Tamil Eelam sepanjang 25 tahun perang saudara

KEMENANGAN tentera Sri Lanka mengalahkan kumpulan gerila Harimau Tamil Eelam (LTTE) Ahad lalu, tidak hanya menamatkan perang saudara yang berlanjutan lebih 25 tahun lamanya, tetapi turut mengakhiri trauma dan kesengsaraan penduduk Muslimnya.

Apa tidaknya, bumi kecil yang dihuni 20 juta penduduk dengan etnik Sinhala kumpulan majoriti sebanyak 74 peratus, Tamil (18 peratus) dan Muslim (8 peratus), perang saudara itu sebenarnya tidak hanya menyaksikan pertikaian antara kerajaan dengan LTTE atau penduduk Sinhala dengan Tamil, tetapi turut sama mengheret penduduk Muslimnya.

Malangnya, derita dan kesengsaraan kira-kira 1.5 juta penduduk Muslim yang sebahagian besar bertumpu di wilayah utara dan timur yang juga kawasan konflik, serta di selatan, tidak diketahui ramai.

Ketika media tempatan dan antarabangsa lebih banyak menghebahkan laporan dan gambar penduduk Tamil dan Sinhala menjadi pelarian dengan wajah sugul berjalan membawa beg atau sehelai sepinggang akibat konflik itu, sebaliknya tidak banyak kelibat penduduk Muslim dipaparkan sebagai subjek utama.

Jika masyarakat dunia masih belum dapat melupakan wajah mayat pemimpin LTTE, Vellupillai Prabhakaran yang mati dalam serangan beberapa hari lalu, hakikatnya tidak ramai yang mungkin dapat mengingati atau pun tahu mengenai ribuan jenazah penduduk Muslim yang terbujur kaku di dalam rumah, masjid, sekolah serta di kaki lima akibat kekejaman LTTE yang berlaku hampir sepanjang tahun.

Hakikatnya, LTTE bukan sekadar kumpulan pemisah biasa, sebaliknya berstatus kumpulan pemberontak profesional, mempunyai kerajaan dan bala tenteranya sendiri termasuk pasukan penyerang bunuh diri menggunakan lilitan bom. Ia turut menjadi kumpulan militan pertama menggunakan wanita dalam serangan mereka, selain dikenali kerana tindakan ‘gila’ pengikutnya yang memakai rantai kapsul racun sianida bagi membolehkan mereka membunuh diri serta-merta jika tertangkap.

Tidak hairanlah ia mampu melancarkan lebih 200 serangan bunuh diri dan mencetuskan perang saudara yang meragut lebih 70,000 nyawa. Operasi kejamnya turut melangkaui bumi Sri Lanka dan dikaitkan dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991.

Namun, mangsa sebenar dan berterusan kekejaman LTTE itu adalah penduduk Muslim yang disifatkan sebahagian usaha pembersihan etnik penduduk Islam di Sri Lanka. Kebencian yang bukan saja disebabkan perbezaan etnik dan agama, tetapi faktor perebutan wilayah di timur dan utara negara itu yang juga menjadi kubu kuat kumpulan gerila berkenaan sebelum ini.

Dari segi ekonomi, penduduk Muslim jauh lebih berjaya berbanding masyarakat Tamil, manakala aspek politik pula menyaksikan parti politik Muslim memegang status sebagai ‘broker’ kuasa dan penentu kerajaan yang memerintah Sri Lanka. Ini disebabkan biarpun minoriti, tetapi pecahan kerusi dimenangi parti Muslim berperanan sebagai penentu penguasaan parti politik utama di Parlimen.

Kejayaan dan kelebihan itulah yang disifatkan penganalisis sebagai ramuan yang menyebabkan kebencian LTTE terhadap Muslim meluap-luap. Kemuncak kekejaman LTTE terhadap penduduk Muslim ketara pada 1990-1991 dan terbukti berterusan hingga Mac lalu.

Tarikh 30 Oktober 1990 disifatkan detik hitam bagi masyarakat Muslim, apabila LTTE yang menguasai wilayah di utara, iaitu Semenanjung Jaffna, memberi kata dua kepada penduduk Muslim di situ - keluar dari kawasan itu atau dibunuh.

Lebih kejam lagi, arahan itu perlu dipatuhi dalam masa 24 hingga 48 jam, seperti dilaporkan media antarabangsa.

Namun hakikatnya, hampir 90,000 penduduk Muslim diusir dalam masa dua jam! Malah kejadian itu disifatkan penganalisis tempatan, AJC Mohideen, sebagai pembersihan etnik paling cepat dalam sejarah moden dunia kerana penduduk Muslim diusir dalam masa dua jam hanya atas alasan wilayah itu adalah tanah tumpah dan milik masyarakat Tamil.

Penulis sendiri yang pernah mengunjungi beberapa wilayah Sri Lanka, beberapa tahun lalu dalam lawatan anjuran kerajaan negara itu bagi melihat proses damai, berkesempatan menyelami perasaan hiba segelintir penduduk Muslim di Jaffna yang mengakui tempoh dua jam itu ibarat neraka dunia bagi mereka apabila dipaksa meninggalkan harta benda sambil kepala diacukan senjata api dan parang oleh anggota LTTE.

Imam Masjid Jamek Jaffna ketika itu, Abdullah Marlim, turut menitiskan air mata menceritakan bagaimana ramai keluarga Muslim terpisah, anak kecil menjadi yatim piatu dan wanita menjadi balu serta janda dalam sekelip mata.

“Masyarakat Islam dan Tamil dapat hidup aman damai di Jaffna sebelum ini. Tetapi kekejaman LTTE menghancurkan segala-galanya, keluarga porak peranda dan terpisah, masjid dimusnahkan dan harta benda kami dirampas.

“Selain sehelai sepinggang, kami cuma dibenarkan membawa kira-kira 75 rupee (RM3). Kami diberi kata dua - keluar atau dibunuh. Dengan berat hati, kami melangkah keluar untuk bergelar pelarian di tanah air sendiri,” katanya.

Selepas keadaan diberitakan selamat, beliau dan beberapa penduduk Muslim memberanikan diri kembali ke Jaffna beberapa bulan kemudian, tetapi disambut pandangan yang memilukan. Hanya satu daripada 13 masjid dapat digunakan akibat bedilan bom tentera LTTE dan daripada kira-kira 100,000 penduduk Muslim di Jaffna, jumlahnya cuma mencecah lebih 1,000 orang manakala lebih 50,000 masyarakat Muslim yang tidak berani kembali, terus mendiami kem pelarian sehingga ke hari ini.

Terbukti kekejaman itu tidak terhenti apabila sebulan selepas itu, LTTE meneruskan kekejaman melancarkan serangan di sebuah masjid di Kathankudy. Seramai 172 Muslim yang khusyuk bersolat ketika itu, maut serta merta. Gambar pembunuhan kejam itu dengan mayat, termasuk budak lelaki yang masih lengkap mengenakan kopiah serta sejadah dipenuhi darah, bergelimpangan kaku dan terpampang di dada akhbar antarabangsa.

Seperti lazimnya, reaksi masyarakat dunia hanyalah dalam bentuk kecaman yang diibaratkan ‘angin lalu’ tanpa meninggalkan kesan atau menghentikan kekejaman LTTE yang terus mengganas membunuh penduduk Muslim di kawasan jajahan mereka.

Pada 10 Mac lalu, LTTE yang tidak cukup menjadikan masjid di utara dan timur Sri Lanka sebagai sasaran utama, bertindak menyerang perarakan sempena Maulidur Rasul di Akuressa, di kawasan selatan, yang meragut 15 nyawa.

Jurugambar sempat merakam peristiwa tragik dan mengerikan itu apabila barisan penduduk Muslim, berpakaian serba putih, berlatar belakang percikan letupan bom di belakang mereka. Dalangnya sudah semestinya pihak LTTE dan hanya dua perkataan yang layak menggambarkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu - kejam dan zalim.

Kini selepas tumpasnya LTTE dan kematian Prabhakaran, mungkin ada yang menganggap doa masyarakat Muslim yang selama ini sengsara, sudah pun terjawab.

Namun apakah ini menjadi titik noktah kepada kesengsaraan penduduk Muslim ini? Apakah ada sinar bahagia bagi mereka dengan diberikan hak sepatutnya untuk hidup sama sama seperti bangsa Sinhala di Sri Lanka?

Apa yang pasti, setakat ini, sebahagian besar penduduk Muslim yang miskin ini masih bergelar pelarian dan hanya masa menentukan sama ada mereka dapat kembali ke rumah masing-masing dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Apakah mungkin peranan mereka sebagai penyumbang ekonomi dan penentu kuasa politik, mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada kerajaan pimpinan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse.

Namun lebih penting, masyarakat serta pertubuhan Islam antarabangsa perlu sama-sama menjadi pihak pemantau bagi memastikan penduduk Muslim Sri Lanka tidak lagi menjadi mangsa di tanah air sendiri selepas berkuburnya LTTE.

INFO: Muslim Sri Lanka

Mewakili tiga etnik iaitu Moors yang berketurunan pedagang Arab, kumpulan etnik Jawa dan Melayu yang berasal dari Indonesia dan Malaysia serta India Muslim.

Setiap kumpulan itu mempunyai sejarah dan tradisi masing-masing. Masyarakat Moor adalah asalnya pedagang Arab yang yang datang pada abad kelapan dan berkahwin dengan wanita tempatan, sambil menyebarkan Islam. Mereka mewakili kumpulan majoriti penduduk Muslim Sri Lanka.

Ketika penjajahan Belanda dan Inggeris, ramai penduduk Kepulauan Jawa dan Melayu dari Malaysia dihantar ke Sri Lanka dan penduduk kumpulan etnik ini mencecah kira-kira 50,000 orang ketika ini.

Kumpulan lain Muslim berasal dari India dan Pakistan yang datang mencari peluang pekerjaan. Sebahagian besar berasal dari Tamil Nadu dan Kerala di selatan India.

Sumber: Berita Harian (2 Jun 2009)

'Bawa balik Chin Peng menghina kami'


Onjining menunjukkan kaki kananya yang kudung terpijak jerangkap samar komunis.

Bagi Onjining, pemimpin PKM itu tidak harus dibenarkan pijak bumi Malaysia walaupun seinci.

GARIS kedutan halus di wajahnya menyimpan pelbagai kisah kehidupan. Sesekali, pandangannya terpaku ke kaki palsu yang menjadi penyambung langkah sejak hampir suku abad lalu.

Putaran kipas siling di ruang tamu rumahnya seakan-akan membawa Onjining @ Christopher Jopinol, 52, mengimbau pengalaman berjuang mempertahankan tanah air memburu musuh negara - Parti Komunis Malaya (PKM) di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1978 ketika berusia 21 tahun. Sangka anak muda itu, beliau pasti menghabiskan masa beberapa tahun mendalami selok-belok menjadi anggota tentera sebelum keluar ke dunia sebenar.

"Belum pun sampai setahun, saya dikerah memasuki hutan untuk menyertai operasi memburu komunis bersama anggota senior yang lain.

"Saya ingat lagi Pegawai Pemerintah Pasukan 9 Renjer ketika itu mengatakan saya sebenarnya belum layak masuk hutan kerana masih terlalu baru dalam ATM.

"Memang betul pun, tetapi tiada pilihan kerana kerajaan mengarahkan ATM meningkatkan operasi membanteras ancaman komunis di sempadan tanah air," katanya pada pertemuan dengan Berita Minggu di kediamannya di Putatan, dekat Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Onjining disenaraikan untuk menyertai operasi Pasukan 9 Renjer Kem Oran di Kangar, Perlis selama sembilan tahun berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, tempoh tiga bulan yang ditetapkan kepada setiap platun yang beroperasi di kawasan sempadan boleh dipanjangkan sehingga lebih empat bulan berikutan faktor keselamatan.

Katanya, keadaan itu biasanya berlaku apabila helikopter sukar mendarat berikutan ancaman serang hendap komunis dan faktor cuaca buruk.

"Apabila jadi begitu, kami berdepan masalah kekurangan makanan dan terpaksalah ikat perut. Malah dengan kawan-kawan pun kami perlu bersikap `kedekut' tetapi semuanya saling memahami,” katanya.

Takdir menentukan, semangat membara anak Sabah yang sanggup merentasi Laut China Selatan atas kecintaan terhadap tanah airnya, berakhir dengan titisan darah di bumi bertuah. Pada Jun 1985, Onjining menyertai operasi memburu komunis di kawasan hutan tebal di Gubir, Kedah.

"Seperti biasa, kami bergerak secara berkumpulan dan saya bersama beberapa rakan menyusuri anak sungai.

"Ketika berjalan, saya terpijak jerangkap samar yang ditanam berhampiran anak sungai itu. Segala-galanya berlaku terlalu pantas dan saya tidak sempat berbuat apa-apa. Apa yang ingat ialah jerangkap samar itu meletup.

"Apabila sedar, tapak kaki kanan saya hancur. Berikutan kejadian itu, saya dirawat di Hospital Pulau Pinang selama tiga bulan dan kaki saya terpaksa dipotong ke paras betis.

"Selepas sembuh, saya diberi kaki palsu untuk memudahkan berjalan. Mula-mula memanglah kekok tetapi lama-kelamaan jadi biasa," katanya.

Empat lagi rakannya dari Sabah dan lima dari Semenanjung yang sama-sama berkhidmat dalam Pasukan 9 Renjer dari akhir 1970-an hingga pertengahan 1980-an turut menjadi mangsa jerangkap samar komunis.

Seperkara yang masih berbekam di ingatan Onjining ialah kejadian rakan karibnya, Henry Ubung dari Sarawak terkorban akibat tembakan musuh ketika bertempur dengan komunis dalam operasi di sempadan pada awal 1980-an.

"Dia rebah betul-betul di depan mata saya," katanya. Perbualan kami terhenti seketika, mungkin ada imbasan kenangan yang singgah dalam pemikirannya.

Selain operasi dalam kawasan negara, beliau juga pernah menyertai operasi bersama tentera Thailand di hutan berhampiran sempadan bagi mengesan komunis.

Beliau berkata, platunnya pernah terserempak komunis ketika melakukan serang hendap di kawasan terbabit.

"Nasib baik ketika itu tidak ada anggota platun kami cedera, cuma seorang anggota tentera Thailand terkena peluru komunis," katanya.

Matanya bersinar apabila dibangkitkan desas-desus ada pihak mahu membawa bekas pemimpin PKM, Chin Peng, yang kini hidup dalam buangan di selatan Thailand untuk kembali ke tanah air.

Sambil menyifatkan percubaan itu sebagai penghinaan terhadap golongan veteran ATM yang bermati-matian mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman komunis, Onjining tegas bersuara menentang keras usaha itu.

"Mana maruah kami jika Chin Peng dibenarkan kembali? Dulu kami dikerah memburu komunis yang mengancam keamanan negara.

"Sekarang, ada pula yang cuba membawa balik Chin Peng? Rakan kami terkorban, keadaan fizikal kami tidak sama seperti dulu... semuanya gara-gara khianat komunis.

"Orang seperti Chin Peng tidak layak menjejakkan kaki di bumi bertuah ini walau seinci sekalipun," katanya.

Kebenciannya terhadap komunis bukan dibuat-buat. Bagi Onjining, segala-galanya bagaikan baru semalam berlaku dan tidak mungkin dapat dihakis daripada ingatan selagi hayat dikandung badan.

Tanggal 2 Disember ini menandakan genap 20 tahun usia perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan PKM yang dimeterai di Haadyai, Thailand sebagai tanda berakhirnya perjuangan parti itu dalam operasi ketenteraan di negara ini.

Ia bermakna sepanjang dua dekad lalu, tiada lagi operasi ketenteraan memerangi komunis di hutan sempadan Malaysia-Thailand. Dalam tempoh sama juga, perbincangan mengenai keselamatan negara yang berkaitan ancaman komunis tidak lagi diadakan atas keyakinan semua saki-baki komunis sudah menyerah diri menerusi Perjanjian Haadyai.

Bagi menghargai jasa Onjining dalam ATM, beliau dianugerahkan Pingat Jasa Negara (PJM) yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Datuk Zulkiflee Mazlan pada satu majlis di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Bersara daripada ATM pada 1999 selepas berkhidmat selama 21 tahun, pejuang negara itu cuma melakukan kerja ringan di rumah berikutan pergerakannya agak terbatas.

"Saya bergantung kepada wang pencen RM808 dan wang bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak RM224 sebulan bagi menanggung isteri dan enam anak.

"Ya, saya sudah bersara tetapi semangat saya tidak padam. Pandangan saya terhadap komunis hari ini sama seperti pada hari pertama saya melapor diri sebagai anggota tentera.

"Pengkhianat seperti Chin Peng tidak layak menjejakkan kakinya ke bumi Malaysia - tanah air yang saya pertahankan dengan titisan darah, keringat dan air mata," katanya.

-BH, 2 Jun 2009-

**************************

Adora:
Keganasan dan kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) pasti takkan luput di ingatan para pejuang kemerdekaan dan keselamatan tanah air mahupun orang awam.

Walaupun generasi kini tidak terkena tempias sedikitpun kezaliman komunis, namun cerita daripada orang-orang lama dan sejarah mengenainya pasti tidak akan terkubur begitu sahaja. Malah akan membangkitkan satu semangat dan kesedaran bahawa gerakan komunis sangat zalim dalam menyalurkan ideologinya kepada penduduk Tanah Melayu.

Pejuang-pejuang tanah air ramai yang terkorban dan cacat anggota bagi menahan serangan komunis dan mempertahankan negara. Ada yang dikerat leher, ditanam hidup-hidup, diseksa dalam kawah minyak panas, dipaksa, didera dan pelbagai lagi ancaman yang begitu menyayat hati dan kesakitan yang tidak tertanggung.

Tetapi malangnya ada di kalangan rakyat kita khususnya dari parti pembangkang yang begitu mengagung-agungkan perjuangan komunis ini. Mereka begitu mengalu-alukan kepulangan pemimpin PKM, Chin Peng ke Malaysia. Kononnya Chin Peng dan askar komunis adalah pejuang kemerdekaan tanah air. Butakah mata atau tulikah telinga? Sehingga tidak sedar dan insaf atas apa yang dilakukan oleh komunis dengan tindakan kejam mereka terhadap bangsa sendiri? Apakah mereka tidak menghargai perit jerih datuk nenek moyang kita dahulu mempertahankan tanah air?

Namun apapun persetankan permintaan golongan yang mahukan Chin Peng kembali ke Malaysia ini. Usah dipedulikan atau terpengaruh dengan pemikiran karut anti kerajaan ini. Jangan mengembalikan luka yang masih berdarah di hati sanubari rakyat terutamanya orang-orang Melayu.