Tuesday, June 23, 2009

Pembangkang tolak kerajaan perpaduan

KUALA LUMPUR 22 Jun - Pakatan pembangkang yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan tetapi dalam masa sama bersedia bertemu Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun isu itu pernah ditimbulkan dalam muktamar Pas tahun lalu dan disebut kembali dalam muktamar tahun ini, pakatan pembangkang mendakwa idea penubuhan kerajaan tersebut sebagai fitnah, tohmahan jahat dan tindakan terdesak UMNO.

''Majlis pimpinan pakatan pembangkang menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO/BN yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan pakatan pembangkang yang semakin mendapat dukungan rakyat," katanya di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen di sini.

Beliau bercakap pada sidang akhbar yang turut disertai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; dan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta barisan pemimpin lain daripada ketiga-tiga parti berkenaan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari pertama Muktamar Pas ke-55 pada 5 Jun lalu mempertahankan ideanya mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah negara.

Bagaimanapun katanya, gagasan itu perlu melalui proses perbincangan secara terperinci oleh pelbagai pihak dan tidak perlu dilaksanakan secara tergopoh-gapah kerana ia suatu yang baru bagi rakyat.

Sungguhpun begitu, idea dan cadangan yang dicetuskan oleh Abdul Hadi telah ditentang oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berulang kali menyatakan sikap terbuka UMNO ke arah penubuhan kerajaan perpaduan itu dan dalam masa sama melahirkan keyakinan terhadap keikhlasan Pas berhubung cadangan tersebut.

-Utusan Malaysia (23 Jun 2009)

No comments: