Ramai penduduk Muslim jadi sasaran kekejaman Tamil Eelam sepanjang 25 tahun perang saudara
KEMENANGAN tentera Sri Lanka mengalahkan kumpulan gerila Harimau Tamil Eelam (LTTE) Ahad lalu, tidak hanya menamatkan perang saudara yang berlanjutan lebih 25 tahun lamanya, tetapi turut mengakhiri trauma dan kesengsaraan penduduk Muslimnya.
Apa tidaknya, bumi kecil yang dihuni 20 juta penduduk dengan etnik Sinhala kumpulan majoriti sebanyak 74 peratus, Tamil (18 peratus) dan Muslim (8 peratus), perang saudara itu sebenarnya tidak hanya menyaksikan pertikaian antara kerajaan dengan LTTE atau penduduk Sinhala dengan Tamil, tetapi turut sama mengheret penduduk Muslimnya.
Malangnya, derita dan kesengsaraan kira-kira 1.5 juta penduduk Muslim yang sebahagian besar bertumpu di wilayah utara dan timur yang juga kawasan konflik, serta di selatan, tidak diketahui ramai.
Ketika media tempatan dan antarabangsa lebih banyak menghebahkan laporan dan gambar penduduk Tamil dan Sinhala menjadi pelarian dengan wajah sugul berjalan membawa beg atau sehelai sepinggang akibat konflik itu, sebaliknya tidak banyak kelibat penduduk Muslim dipaparkan sebagai subjek utama.
Jika masyarakat dunia masih belum dapat melupakan wajah mayat pemimpin LTTE, Vellupillai Prabhakaran yang mati dalam serangan beberapa hari lalu, hakikatnya tidak ramai yang mungkin dapat mengingati atau pun tahu mengenai ribuan jenazah penduduk Muslim yang terbujur kaku di dalam rumah, masjid, sekolah serta di kaki lima akibat kekejaman LTTE yang berlaku hampir sepanjang tahun.
Hakikatnya, LTTE bukan sekadar kumpulan pemisah biasa, sebaliknya berstatus kumpulan pemberontak profesional, mempunyai kerajaan dan bala tenteranya sendiri termasuk pasukan penyerang bunuh diri menggunakan lilitan bom. Ia turut menjadi kumpulan militan pertama menggunakan wanita dalam serangan mereka, selain dikenali kerana tindakan ‘gila’ pengikutnya yang memakai rantai kapsul racun sianida bagi membolehkan mereka membunuh diri serta-merta jika tertangkap.
Tidak hairanlah ia mampu melancarkan lebih 200 serangan bunuh diri dan mencetuskan perang saudara yang meragut lebih 70,000 nyawa. Operasi kejamnya turut melangkaui bumi Sri Lanka dan dikaitkan dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991.
Namun, mangsa sebenar dan berterusan kekejaman LTTE itu adalah penduduk Muslim yang disifatkan sebahagian usaha pembersihan etnik penduduk Islam di Sri Lanka. Kebencian yang bukan saja disebabkan perbezaan etnik dan agama, tetapi faktor perebutan wilayah di timur dan utara negara itu yang juga menjadi kubu kuat kumpulan gerila berkenaan sebelum ini.
Dari segi ekonomi, penduduk Muslim jauh lebih berjaya berbanding masyarakat Tamil, manakala aspek politik pula menyaksikan parti politik Muslim memegang status sebagai ‘broker’ kuasa dan penentu kerajaan yang memerintah Sri Lanka. Ini disebabkan biarpun minoriti, tetapi pecahan kerusi dimenangi parti Muslim berperanan sebagai penentu penguasaan parti politik utama di Parlimen.
Kejayaan dan kelebihan itulah yang disifatkan penganalisis sebagai ramuan yang menyebabkan kebencian LTTE terhadap Muslim meluap-luap. Kemuncak kekejaman LTTE terhadap penduduk Muslim ketara pada 1990-1991 dan terbukti berterusan hingga Mac lalu.
Tarikh 30 Oktober 1990 disifatkan detik hitam bagi masyarakat Muslim, apabila LTTE yang menguasai wilayah di utara, iaitu Semenanjung Jaffna, memberi kata dua kepada penduduk Muslim di situ - keluar dari kawasan itu atau dibunuh.
Lebih kejam lagi, arahan itu perlu dipatuhi dalam masa 24 hingga 48 jam, seperti dilaporkan media antarabangsa.
Namun hakikatnya, hampir 90,000 penduduk Muslim diusir dalam masa dua jam! Malah kejadian itu disifatkan penganalisis tempatan, AJC Mohideen, sebagai pembersihan etnik paling cepat dalam sejarah moden dunia kerana penduduk Muslim diusir dalam masa dua jam hanya atas alasan wilayah itu adalah tanah tumpah dan milik masyarakat Tamil.
Penulis sendiri yang pernah mengunjungi beberapa wilayah Sri Lanka, beberapa tahun lalu dalam lawatan anjuran kerajaan negara itu bagi melihat proses damai, berkesempatan menyelami perasaan hiba segelintir penduduk Muslim di Jaffna yang mengakui tempoh dua jam itu ibarat neraka dunia bagi mereka apabila dipaksa meninggalkan harta benda sambil kepala diacukan senjata api dan parang oleh anggota LTTE.
Imam Masjid Jamek Jaffna ketika itu, Abdullah Marlim, turut menitiskan air mata menceritakan bagaimana ramai keluarga Muslim terpisah, anak kecil menjadi yatim piatu dan wanita menjadi balu serta janda dalam sekelip mata.
“Masyarakat Islam dan Tamil dapat hidup aman damai di Jaffna sebelum ini. Tetapi kekejaman LTTE menghancurkan segala-galanya, keluarga porak peranda dan terpisah, masjid dimusnahkan dan harta benda kami dirampas.
“Selain sehelai sepinggang, kami cuma dibenarkan membawa kira-kira 75 rupee (RM3). Kami diberi kata dua - keluar atau dibunuh. Dengan berat hati, kami melangkah keluar untuk bergelar pelarian di tanah air sendiri,” katanya.
Selepas keadaan diberitakan selamat, beliau dan beberapa penduduk Muslim memberanikan diri kembali ke Jaffna beberapa bulan kemudian, tetapi disambut pandangan yang memilukan. Hanya satu daripada 13 masjid dapat digunakan akibat bedilan bom tentera LTTE dan daripada kira-kira 100,000 penduduk Muslim di Jaffna, jumlahnya cuma mencecah lebih 1,000 orang manakala lebih 50,000 masyarakat Muslim yang tidak berani kembali, terus mendiami kem pelarian sehingga ke hari ini.
Terbukti kekejaman itu tidak terhenti apabila sebulan selepas itu, LTTE meneruskan kekejaman melancarkan serangan di sebuah masjid di Kathankudy. Seramai 172 Muslim yang khusyuk bersolat ketika itu, maut serta merta. Gambar pembunuhan kejam itu dengan mayat, termasuk budak lelaki yang masih lengkap mengenakan kopiah serta sejadah dipenuhi darah, bergelimpangan kaku dan terpampang di dada akhbar antarabangsa.
Seperti lazimnya, reaksi masyarakat dunia hanyalah dalam bentuk kecaman yang diibaratkan ‘angin lalu’ tanpa meninggalkan kesan atau menghentikan kekejaman LTTE yang terus mengganas membunuh penduduk Muslim di kawasan jajahan mereka.
Pada 10 Mac lalu, LTTE yang tidak cukup menjadikan masjid di utara dan timur Sri Lanka sebagai sasaran utama, bertindak menyerang perarakan sempena Maulidur Rasul di Akuressa, di kawasan selatan, yang meragut 15 nyawa.
Jurugambar sempat merakam peristiwa tragik dan mengerikan itu apabila barisan penduduk Muslim, berpakaian serba putih, berlatar belakang percikan letupan bom di belakang mereka. Dalangnya sudah semestinya pihak LTTE dan hanya dua perkataan yang layak menggambarkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu - kejam dan zalim.
Kini selepas tumpasnya LTTE dan kematian Prabhakaran, mungkin ada yang menganggap doa masyarakat Muslim yang selama ini sengsara, sudah pun terjawab.
Namun apakah ini menjadi titik noktah kepada kesengsaraan penduduk Muslim ini? Apakah ada sinar bahagia bagi mereka dengan diberikan hak sepatutnya untuk hidup sama sama seperti bangsa Sinhala di Sri Lanka?
Apa yang pasti, setakat ini, sebahagian besar penduduk Muslim yang miskin ini masih bergelar pelarian dan hanya masa menentukan sama ada mereka dapat kembali ke rumah masing-masing dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Apakah mungkin peranan mereka sebagai penyumbang ekonomi dan penentu kuasa politik, mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada kerajaan pimpinan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse.
Namun lebih penting, masyarakat serta pertubuhan Islam antarabangsa perlu sama-sama menjadi pihak pemantau bagi memastikan penduduk Muslim Sri Lanka tidak lagi menjadi mangsa di tanah air sendiri selepas berkuburnya LTTE.
INFO: Muslim Sri Lanka
Mewakili tiga etnik iaitu Moors yang berketurunan pedagang Arab, kumpulan etnik Jawa dan Melayu yang berasal dari Indonesia dan Malaysia serta India Muslim.
Setiap kumpulan itu mempunyai sejarah dan tradisi masing-masing. Masyarakat Moor adalah asalnya pedagang Arab yang yang datang pada abad kelapan dan berkahwin dengan wanita tempatan, sambil menyebarkan Islam. Mereka mewakili kumpulan majoriti penduduk Muslim Sri Lanka.
Ketika penjajahan Belanda dan Inggeris, ramai penduduk Kepulauan Jawa dan Melayu dari Malaysia dihantar ke Sri Lanka dan penduduk kumpulan etnik ini mencecah kira-kira 50,000 orang ketika ini.
Kumpulan lain Muslim berasal dari India dan Pakistan yang datang mencari peluang pekerjaan. Sebahagian besar berasal dari Tamil Nadu dan Kerala di selatan India.
Sumber: Berita Harian (2 Jun 2009)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment