Tuesday, June 2, 2009

Dekati masyarakat desa tarik pengundi Manek Urai

Tidur di rumah orang kampung, toreh getah cara raih undi

KOTA BHARU: Tidur di rumah orang kampung dan turut sama menjalani kehidupan harian dengan menoreh getah bersama masyarakat, adalah antara pendekatan yang akan digunakan jentera Penerangan Umno dalam usaha meraih keyakinan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata bagi memenangi hati masyarakat di peti undi DUN itu, jentera Barisan Nasional (BN) harus turut sama turun padang dan merasai sendiri sudah senang masyarakat setempat.

"Jentera Penerangan Umno yang dilancarkan secara rasmi hari ini akan mengguna pakai konsep dekat dengan masyarakat di Manek Urai iaitu tidur di rumah penduduk selain menjalankan kegiatan menoreh getah bersama mereka.

"Lebih 80 peratus pengundi DUN Manek Urai adalah penoreh getah dan untuk merapatkan serta mengajak mereka menyertai Umno dan BN, kita harus bersama mereka merasai kehidupan sebagai seorang penoreh getah. Saya akan bersama mereka pagi esok.

"Saya berjanji kepada masyarakat di DUN Manek Urai, bahawa tidak akan tinggal di hotel lima bintang, malah akan bermalam di rumah penduduk di situ," katanya ketika menutup seminar penceramah DUN Manek Urai, di Bangunan Umno negeri, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Penerangan Umno Kelantan, Dali Hussin.

Ahmad yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau yang dibesarkan daripada keluarga penoreh getah, sudah merasai rasa susah senang untuk mencari rezeki.

"Saya sudah mulakan langkah dengan tidur di rumah orang kampung di DUN berkenaan dan berharap akan menjadi ikutan oleh ahli Umno atau BN lain," katanya.

Ahmad yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, jentera BN akan berusaha untuk mendekatkan lebih 12,000 pengundi di DUN berkenaan dengan BN secara berkempen di lebih 3,000 rumah di kawasan itu atau mendekati mereka di surau atau tempat kerja.

"Ceramah akan diadakan sebagaimana biasa, namun kini pendekatan lebih kreatif dilakukan iaitu bertemu pengundi di kawasan berkenaan dengan cara lebih dekat iaitu berkunjung ke rumah walaupun hanya ada dua tiga orang di situ. Kaedah ini dapat menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan sekali gus mampu menarik mereka mendekati BN," katanya

"Kempen penerangan jentera BN akan lebih kreatif dengan memanfaatkan pelbagai teknologi terkini antaranya termasuk blog, SMS dan facebook," katanya.

-BH, 2 Jun 2009-

******************

Adora:

Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai nanti diharapkan berjaya memberi sinar baru kepada parti BN. Menang atau kalah merupakan adat bertanding tetapi apa yang ingin dilihat ialah sama ada BN mampu meraih peningkatan undi warga Manek Urai setelah agak lama berada di bawah tampuk pemerintahan PAS. BN pernah menerajui kerusi DUN ini pada PRU 2004. Pilihan raya kecil ini adalah masa yang sesuai untuk mengetahui dan menilai kemahuan rakyat di kawasan tersebut pada masa sekarang.

Keupayaan menarik lebih banyak sokongan pengundi kepada BN/UMNO adalah merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan kerana secara langsung ia akan mencerminkan pesona dan prestasi parti kerajaan pusat ini dalam menawan hati penduduk Manek Urai. Mungkinkah warga Manek Urai akan berubah demi untuk menikmati kehidupan yang lebih sempurna? Kita sama-sama nantikan.

No comments: