Monday, June 15, 2009

Pas kuda tunggangan DAP, PKR


Dato' Nik Aziz merenung jauh memikirkan masa depan PAS sebagai kuda Pakatan Rakyat tetapi beliau tidak bersetuju dengan cadangan Presiden PAS untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO.

***********************************************

KLANG 14 Jun - Pas sukar untuk menjadi peneraju dalam pakatan pembangkang menyebabkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, perkembangan sekarang menyaksikan Pas hanya menjadi kuda tunggangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun parti itu mempunyai pengaruh lebih besar berbanding kedua-dua rakan dalam pakatan itu.

Tambahnya, Pas sedar jika keadaan tersebut dibiarkan pemimpin dari parti itu tidak akan dilantik sebagai Perdana Menteri jika pakatan tersebut memenangi pilihan raya umum akan datang.

''Kedudukan Pas hanya boleh jadi nombor dua atau tiga dalam pakatan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menyatakan demikian kepada pemberita selepas menutup program Merakyatkan Seni Budaya dan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Meru di sini hari ini.

Namun katanya, UMNO dan Pas perlu meneruskan rundingan berhubung penubuhan kerajaan perpaduan kerana persamaan wujud antara kedua-dua parti.

-Utusan Malaysia, 15 Jun 2009-

******************************

Kasihan PAS. Sudah terang lagi bersuluh kedudukannya tidak dipedulikan oleh parti gabungannya sendiri, Pakatan Rakyat. Jelas Pakatan Rakyat hanya didominasi oleh PKR dan DAP. Hanya suara-suara dalam PKR dan DAP yang didengari dan diikuti.

Hasrat murni Presiden PAS, Datuk Haji Hadi Awang untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO ditentang habis-habisan oleh kedua-dua parti itu. Tujuan suci PAS dan UMNO untuk menyatu padukan umat Melayu ditolak mentah-mentah oleh mereka. Hina sangatkah PAS di mata PKR dan DAP?

Melihat kepada senario ini PAS sepatutnya perlu bertindak lebih peka dan agresif. PAS patut keluar dari Pakatan Rakyat. PAS tidak perlu rasa takut dengan PKR dan DAP. Lebih-lebih lagi penyokong PAS sebenarnya adalah lebih ramai berbanding PKR dan DAP.


Ayuh PAS, sedarlah dari lena yang panjang ini. Bersatulah dengan UMNO demi masa depan umat Islam dan orang Melayu. Saya pasti orang-orang UMNO dan rakyat Malaysia umumnya gembira dan menyambut baik cadangan anda untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

No comments: