Monday, July 7, 2008

Protes Pakatan Rakyat Tidak Menjadi

Niat Pakatan Rakyat (PR) untuk menarik penyertaan orang ramai menghadiri perhimpunan "Protes Sejuta Rakyat" di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya secara besar-besaran semalam tidak membuahkan hasil sebaliknya hanya memalukan mereka sahaja. Apa tidaknya sebelum ini mereka beria-ia menguar-uarkan mengenai program berkenaan dengan mencetuskan pelbagai publisiti dan kontroversi namun tidak mendapat sambutan ramai.
Matlamat mereka untuk menjadikannya sebagai perhimpunan terbesar rakyat untuk menyuarakan bantahan terhadap Kerajaan tidak kesampaian kerana bilangan yang hadir hanyalah kira-kira 5,000 orang sahaja pada sebelah siang.
Perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) yang didalangi oleh PR ini turut mendapat tamparan hebat apabila 700 anggota Unit Amal PAS yang ditugaskan untuk mengawal majlis berkenaan turut menarik diri kerana tidak bersetuju dengan tindakan penganjur menyelitkan unsur hiburan lucah.
Aksi kumpulan kugiran yang menyampaikan lagu berirama Punk sambil menunjukkan isyarat lucah dengan melondehkan seluar turut membangkitkan kemarahan orang ramai sehingga ada yang membaling botol.
Perhimpunan berkenaan dilihat bukanlah ingin memberi cadangan atau buah fikiran kepada Kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga minyak global tetapi sebenarnya ia hanya bertujuan untuk menghentam dan meletakkan kesalahan terhadap pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional. Kononnya Barisan Nasional punca kepada kemelut kenaikan harga minyak di Malaysia.
Jelaslah di sini bahawa Pakatan Rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersekongkol dengan parti tersebut masih buta hati dengan isu-isu yang melanda dunia tetapi hanya bijak mengkritik tanpa lontaran idea-idea yang bernas untuk memulihkan keadaan bak kata orang, cakap tidak serupa bikin.

1 comment:

Udenikov said...

Ini yang dikatakan hangat-hangat tahi ayam... gah je lebih...

JASA TEBRAU


ALIF ARIF