Thursday, September 25, 2008

Petrol, diesel turun 10 sen

Pelarasan ringankan beban rakyat: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan harga runcit petrol dan diesel diturunkan 10 sen seliter, berkuat kuasa hari ini bagi meringankan beban rakyat terutama untuk menyambut Aidilfitri, minggu depan.

Dengan penurunan harga bahan api itu yang kedua sejak 23 Ogos lalu, petrol RON97 kini RM2.45 seliter, RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40). Dalam kenyataannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata Kabinet memutuskan pelarasan harga bahan api itu pada mesyuarat semalam kerana ia adalah mesyuarat terakhir jemaah Menteri untuk bulan ini dan sebelum hari raya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga maklum orang ramai akan pulang ke kampung bagi menyambut lebaran mulai hujung minggu ini.

"Justeru, menjadi harapan kerajaan agar pelarasan harga ini dapat meringankan beban orang ramai, terutama dalam menyambut Aidilfitri," katanya.

Pelarasan terbaru harga petrol dan diesel itu adalah yang kedua dilakukan kerajaan sejak yang pertama pada 23 Ogos lalu.
Dalam pelarasan pertama itu, harga runcit petrol RON97 diturunkan 15 sen seliter daripada RM2.70 kepada RM2.55; RON92 pula dikurangkan 22 sen seliter daripada RM2.62 kepada RM2.40 dan diesel diturunkan 8 sen seliter daripada RM2.58 kepada RM2.50.

Abdullah berkata, penurunan sebanyak 10 sen itu adalah nilai pengurangan maksimum yang dapat diberikan kerajaan selepas mengambil kira pelbagai aspek dalam formula penetapan harga.

Perdana Menteri menjelaskan walaupun dalam tempoh sebulan terakhir ini harga minyak dunia mengalami turun naik yang ketara, secara purata ia hanya berkurangan sedikit berbanding tempoh sebelum ini.

"Namun begitu, nilai ringgit berbanding dolar Amerika pula menyusut sepanjang tempoh yang sama. Oleh itu, mengaplikasikan formula yang diguna pakai kerajaan dalam menentukan harga runcit sebelum ini, pengurangan 10 sen ini adalah nilai pengurangan maksimum yang dapat diberi kerajaan," katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berbuka puasa Perdana Menteri bersama rakyat di Tanjung Karang, Selangor, Abdullah membayangkan harga minyak mungkin diturunkan lagi bulan depan tertakluk kepada harga semasa minyak dunia.

"Dalam masa dua bulan, dulu (harga minyak turun) 15 sen, hari ini 10 sen, jadi dah jadi 25 sen. Maka, tengoklah pula bulan depan apa yang akan berlaku.

"Apa juga yang mampu diberikan kepada rakyat untuk mengurangkan beban mereka, tentu sekali kerajaan akan melaksanakannya. Ini janji kerajaan kepada rakyat," katanya.

Abdullah berkata, rakyat menghadapi pelbagai masalah berkaitan kehidupan harian dalam bulan ini, termasuk kenaikan harga barang tetapi dengan kesabaran dan kemampuan untuk membuat perubahan cara hidup, rakyat masih mampu hidup bahagia.

Sumber: Berita Harian (25 September 2008)

****************************************************************

Syukur, ini adalah hadiah Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih kepada kerajaan kerana mengotakan janji kepada rakyat untuk sentiasa membuat pelarasan harga minyak berdasarkan situasi semasa pasaran minyak global.

Wednesday, September 17, 2008

PM-jawat Menteri Pertahanan, TPM-jawat Menteri Kewangan 1

Abdullah serah jawatan Menteri Kewangan 1 kepada Najib
17/09/2008 2:32pm



PUTRAJAYA 17 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyerahkan jawatan Menteri Kewangan 1 yang disandangnya kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak berkuat kuasa serta merta - Bernama


************************************************************************

Abdullah ambil alih jawatan Menteri Pertahanan
17/09/2008 2:42pm


PUTRAJAYA 17 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berkuat kuasa serta merta. - Bernama

Sumber: Utusan Malaysia

Anwar masih berdolak-dalik tubuh kerajaan baru

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan ura-ura pembentukan kerajaan baru oleh parti pembangkang hanyalah mainan politik Anwar Ibrahim untuk mencetuskan suasana yang tidak baik kepada rakyat bagi menampakkan negara seolah-olah tiada kestabilan politik. Rakyat tidak seharusnya terus membincangkan perkara tersebut kerana dijamin Kerajaan BN yang memerintah sejak dahulu lagi adalah masih kekal, utuh dan berkuasa dalam menerajui negara. Apa yang menjadi keutamaan, rakyat perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaan, perniagaan dan tanggungjawab masing-masing.

Dalam sidang media semalam, Anwar Ibrahim (DSAI) menyatakan bahawa beliau telah ada senarai nama 31 orang ahli Parlimen BN yang ingin menyertai Pakatan Rakyat dengan kata lain ingin melompat parti. Kononnya jaminan persetujuan mereka itu adalah secara lisan dan bertulis.

Namun sehingga hari ini Anwar masih tidak mahu mendedahkan senarai tersebut. Jika perkara ini benar, mengapa beliau tidak menubuhkan kerajaan baru seperti yang dicanang-canangkan. Mengapa pula tarikhnya boleh dipinda-pinda.

Terbaru, Anwar telah menetapkan empat syarat kononnya bagi memastikan proses peralihan kuasa berjalan secara aman. Satu lagi taktik Pakatan Rakyat dalam mempengaruhi minda masyarakat bahawa mereka benar-benar akan menubuhkan kerajaan baru sekali gus menjadi alasan penangguhan omongan kosong mereka.

Sungguh jelas, Anwar Ibrahim berangan-angan seperti Mat Jenin. Juga sanggup berbohong demi mempopularkan dirinya.

Monday, September 15, 2008

Rakyat usah terpedaya alasan Anwar

Anwar Ibrahim (DSAI) bermain helah lagi mengenai isu 16 September. Kali ini tarikhnya telah diganjak dan ditangguhkan kononnya atas beberapa sebab iaitu ketika ini parlimen tidak bersidang, penahanan Teresa Kok (MP Seputeh) mengikut ISA dan ahli Parlimen BN ke Taiwan. Musykil sungguh saya. Nak bentuk kerajaan baru pun boleh macam main 'ba ba cak' ke? Gimik politik ini memang sengaja diada-adakan untuk mengelirukan rakyat. Hentikanlah taktik kotor ini DSAI.

Jika DSAI benar-benar ikhlas ingin menerajui tampuk kepimpinan negara dan melaksanakan perubahan baru demi kebajikan rakyat dan negara, tunggulah sehingga pilihan raya ke-13 akan datang. Datuk Seri masuk bertandinglah pada masa itu.

Buat masa ini biarlah YAB Dato' Seri Abdullah dan barisan pemimpin kerajaan yang sedia ada dapat melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa sebarang gangguan. Jika mereka asyik dikacau, diadu-domba, dikecam, bagaimana mungkin mereka berupaya merealisasikan segala janji-janji mereka jika ada sahaja muncul isu baru yang boleh mengelirukan minda dan psikologi rakyat.

Thursday, September 11, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin

Umat Islam di Malaysia dijangka berpuasa genap 30 hari dan akan menyambut 1 Syawal 1429H pada 1 Oktober ini.

Anak bulan Syawal dijangka tidak kelihatan pada petang tarikh melihat anak bulan Syawal pada 29 September bersamaan 29 Ramadan. Ini kerana bulan terbenam lebih awal daripada matahari.

"Bulan pada hari itu dijangka terbenam kira-kira jam 6.55 petang manakala matahari terbenam lewat kira-kira lima minit iaitu pada jam 7 malam".(Ahmad Taufan Abdul Rasyid, Pen. Pegawai Tadbir Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UDM).

Sumber: Berita Harian (11 September 2008)

Tuesday, September 9, 2008

Kerajaan Masih Kukuh - PM

PUTRAJAYA 8 Sept. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini memberi jaminan kepada duta-duta asing di kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bahawa kerajaan masih kukuh meskipun ketika ini dibelenggu pelbagai sentimen politik semasa.

Perdana Menteri turut menegaskan negara ini masih selamat untuk para pelabur dan kerajaan akan terus melakukan pembaharuan dalam pelbagai bidang seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum Mac lalu.

''Saya tetap berpegang dengan janji-janji untuk melaksanakan pembaharuan, itu saya tidak pernah lupa sebagaimana yang kita lakukan kepada syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC), bidang pendidikan dan juga pasukan polis.

Pelabur''Apa sahaja yang berlaku, negara ini tetap selamat untuk pelabur dan pelancong untuk datang," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa dengan duta besar dan perwakilan negara-negara OIC di Wisma Putra di sini.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa.

Menurut Perdana Menteri, banyak pihak bercakap bahawa ada sesuatu yang menarik pada masa ini untuk melawat Malaysia selain disebabkan beberapa perkara yang berlaku sekarang.

''Segelintir menyatakan mereka berasa gembira datang ke sini daripada bertanya tentang apa yang sedang berlaku sekarang.

''Ada juga yang memberikan reaksi tentang keputusan pilihan raya umum lalu dan pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya.

Dalam hal ini, beliau menegaskan, pihaknya amat menyedari mesej yang telah diberikan oleh rakyat ekoran pilihan raya lalu dan juga pandangan mereka pada kerajaan dan parti.

''Saya menyedarinya, jika pada tahun 2004, kami menang dengan keputusan terbaik dalam sejarah tetapi dalam masa yang singkat (Mac lalu) kami mendapat keputusan yang terburuk.

''Pada tahun 2004, kita membuat janji terhadap pelbagai perkara tetapi tidak semua perkara boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (9 September 2008)

***************************************************************************

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan masih kukuh dan stabil. Warga Malaysia, pelabur asing dan pelancong tidak perlu takut dan bimbang dengan perang psikologi pihak pembangkang yang kononnya akan berlaku perubahan kepimpinan kerajaan baru pada 16 September ini. Yang jelas hajat Pakatan Rakyat ini hanyalah omongan kosong dan pastinya tidak akan berjaya serta menjadi realiti.

Monday, September 8, 2008

'MB akan terima kesan 5 tahun lagi'

SHAH ALAM 7 Sept. - Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam marah dan kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggap lawatan untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di Klang dan Kapar sebagai membuang masa dan membazirkan wang.

Ahli Parlimen PKR itu memberi amaran bahawa Abdul Khalid bakal menerima kesan pada pilihan raya umum lima tahun akan datang ekoran kenyataannya yang menyinggung hati ramai penduduk kampung terlibat.

"Saya puji tindakan pantas UMNO apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib turun dengan cepat melawat mangsa bencana alam ini dan menghulurkan bantuan.

"Mana pemimpin kerajaan negeri? Sebagai Ahli Parlimen Kapar, saya sungguh kecewa apabila tidak ada yang tunjuk muka. Saya tidak takut jika pucuk pimpinan parti mahu mengambil apa- apa tindakan terhadap saya kerana saya berpendirian tegas dalam hal ini.

"Saya terima banyak aduan, ramai yang pelik dan tidak suka dengan kenyataan Menteri Besar, kenapa dia cakap macam itu, memang peliklah dengan cara dia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan tindakannya tidak turun padang untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di Klang dan Kapar dengan menganggap perbuatan tersebut sebagai membuang masa dan membazir wang.

Menurut Menteri Besar itu, walaupun pakatan pembangkang sering melaung-laungkan konsep negara berkebajikan, ia tidak bermakna beliau perlu menunjukkan muka kepada rakyat ketika mereka berdepan kesusahan seperti bencana alam.

Dalam kejadian pukul 3 petang pada 1 September lalu, lebih 1,000 keluarga dari beberapa kampung seperti Kampung Sungai Udang serta Kampung Sungai Bertek di Teluk Pulai dan Kampung Rantau Panjang di Kapar menjadi mangsa ribut.

Sebelum ini, Manikavasagam mendakwa Abdul Khalid seolah-olah tidak mengambil berat dengan nasib mangsa ribut apabila tidak menghantar bantuan segera kepada mangsa yang menghadapi pelbagai kesusahan.

Kritikan itu dibuat selepas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib melawat mangsa dan menyerahkan bantuan RM300 kepada 340 keluarga yang rumah mereka rosak teruk sehari selepas kejadian.

Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) turut menyumbangkan RM100,000 untuk membeli dan menggantikan atap rumah yang rosak.

Mengulas lanjut, Manikavasagam memberitahu, beliau boleh menerima jika hanya berlaku bencana kecil seperti kebakaran membabitkan 10 rumah tetapi kejadian ribut yang berlaku Isnin lalu boleh dianggap sebagai bencana negara.

Menurutnya, sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid perlu meninggalkan mentaliti dunia korporat apabila menganggap tindakan sedemikian hanya membuang masa tanpa mengambil kira kesan ekoran kenyataan seperti itu.

Selain itu, ekoran tindakannya mengkritik Abdul Khalid sebelum ini, beliau menerima banyak ugutan daripada beberapa pihak yang tidak menyenangi kelantangannya bersuara sehingga terpaksa membuat laporan polis.

Sumber: Utusan Malaysia

*******************************************************************

Apa dah jadi dengan manifesto PKR dalam pilihan raya umum lalu? Kononnya ingin menerapkan konsep negara berkebajikan tetapi apabila rakyat di negeri yang ditakluk ditimpa musibah bencana alam, pemimpinnya tidak pula menunjuk muka dan menghulurkan bantuan.

Kenyataan Menteri Besar Selangor dari PKR ini (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) wajar diselar dan dikecam. Beliau ibarat kacang lupakan kulit. Semasa pilihan raya dahulu, pelbagai janji manis yang ditaburkan demi meraih sokongan undi rakyat. Namun kini apabila sudah berjaya mencapai misi peribadinya, kepentingan dan kebajikan rakyat hanya dipandang sebelah mata. Sanggup pula beliau bersuara lantang dengan menganggap melawat mangsa dan kawasan musibah membazirkan masa dan wang. Inikah pemimpin yang anda pilih wahai penduduk Selangor?

Setinggi terima kasih dan penghargaan terhadap kepimpinan kerajaan pusat yang telah turun menghulurkan sumbangan. Juga kepada Kelab Penyokong BN yang turut membantu. Walaupun negeri Selangor di bawah taklukan parti pembangkang, namun kerajaan pusat tetap prihatin dengan membantu mangsa ribut di kawasan berkenaan. Tiada istilah pilih kasih. Layanan kepada rakyat seluruh Malaysia adalah sama rata.

Ahli Parlimen Kapar (PKR) sendiri menyelar dengan perasaan marah dan kecewa sikap MB Selangor ini kerana langsung tidak menunjukkan muka melawat mangsa-mangsa. Jelas kelihatan, walau bernaung di bawah satu parti namun mereka tidak sehati sejiwa.

Insiden ini diharap dapat membuka mata dan minda penyokong-penyokong PKR khususnya pembangkang yang telah tertipu dengan dakyah-dakyah palsu mereka. Tebuslah kesilapan
anda pada pilihan raya umum ke-13 yang akan menyusul empat atau lima tahun lagi.

Cerita dongeng 16 September

DSAI dan partinya (PKR) masih lagi bermimpi di siang hari. Kononnya PKR akan menubuhkan sebuah kerajaan persekutuan baru pada 16 September ini dengan menumbangkan kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Angan-angan tanpa sedar beliau ini telah diuar-uarkan ke seluruh negara bahkan juga ke negara jiran.

PKR dan DSAI perlu berpijak di bumi yang nyata. Bukan sebegitu mudah untuk membentuk sebuah kerajaan baru tanpa proses pilihan raya dan melalui undian rakyat. DSAI tidak habis-habis menyatakan bahawa ramai pemimpin BN akan lompat parti bagi mencukupkan korum PKR membentuk kerajaan sekali gus beliau dapat menobatkan dirinya sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 16 September 2008.

Walhal para pemimpin BN telah menyatakan rasa sokongan teguh yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Pak Lah dan sama sekali mereka tidak akan melompat parti, membuat sesuatu yang tidak bermoral seperti itu.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang juga menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dan menentang pemimpin-pemimpin BN yang ingin melompat parti demi kerana wang dan kuasa. Jelas kelihatan parti gabungan Pakatan Rakyat ini sendiri tidak redha jika DSAI menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan baru.

Terbukti dakwaan DSAI ini merupakan satu pembohongan kepada rakyat kerana ingin menutup cerita perbicaraan kes peribadinya yang akan didengar semula pada hari lusa
(10 Sept.). Cerita dongeng 16 September ini digembar-gemburkan jelas sebagai helah menutup isu tersebut.

Friday, September 5, 2008

35% guru Sains, Matematik lemah BI

KUALA TERENGGANU 4 Sept. - Kira- kira 35 peratus guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik di seluruh negara dikenal pasti tidak menguasai bahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, masalah itu dikesan melalui satu kajian yang dijalankan oleh pihak kementerian di beberapa sekolah terpilih baru-baru ini.

Beliau berkata, murid-murid mempunyai potensi untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi sesetengah guru pula menghadapi masalah untuk menguasai bahasa itu dengan baik.

"Ia akan memberi kesan negatif kepada murid yang memerlukan bimbingan untuk menguasai bahasa Inggeris,'' katanya pada majlis kesyukuran dan berbuka puasa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini semalam.

Razali berkata, berdasarkan kajian, guru yang terlibat kurang menunjukkan dedikasi dan keupayaan yang tinggi dalam meningkatkan kecekapan berbahasa Inggeris.

"Walaupun mereka mendapat Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk membeli buku rujukan atau menghadiri tuisyen bahasa Inggeris tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya," ujar beliau.

Sebaliknya, katanya, ramai guru Sains dan Matematik dikesan menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain sekali gus mengakibatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka tidak meningkat.

Beliau menegaskan, guru terbabit perlu menunjukkan dedikasi tinggi di samping melakukan pengorbanan untuk memastikan murid mendapat manfaat yang sewajarnya.

"Kementerian sentiasa mengadakan kursus intensif kepada guru terlibat dan turut menghantar mereka berkursus di luar negara dalam membantu mereka meningkatkan kecekapan berbahasa Inggeris," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia
**************************************************************************

Berita yang agak kurang sedap untuk didengari. Semoga para guru yang mengajar subjek Matematik dan Sains dapat meningkatkan kemahiran dalam menguasai Bahasa Inggeris. Kerajaan telah memberi pelbagai insentif seperti elaun khas dan BISP untuk memahirkan para guru, jadi gunalah imbuhan tersebut dengan sewajarnya dan janganlah dipersiakan harapan murid-murid yang dahagakan ilmu pengetahuan.

Wednesday, September 3, 2008

Bonus kakitangan awam: Jangan Naik Harga Barang

Pembentangan Bajet 2009 begitu menarik rasa lega dan gembira para kakitangan sektor awam. YAB Perdana Menteri mengumumkan kakitangan awam akan menikmati bonus sebulan gaji atau minima RM1,000 di mana pembayarannya akan dibuat dua kali iaitu pada bulan September dan Disember 2008.

Terima kasih di atas keprihatinan kerajaan di saat-saat yang amat memerlukan ini. Pemberian bonus berkenaan akan dapat membantu menampung perbelanjaan sambutan hari raya aidilfitri yang dijangka pada 1 Oktober dan juga dapat membantu para ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak pada sesi buka sekolah tahun hadapan.

Namun begitu di sebalik berita gembira ini, diharap para peniaga tidak menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya. Janganlah dijadikan alasan agihan bonus kepada kakitangan kerajaan ini sebagai penyebab untuk menaikkan harga barang. Apatah lagi sebelum ini peniaga-peniaga telah begitu ghairah meletakkan harga barang di paras yang begitu tinggi ekoran daripada kenaikan harga minyak global. Janganlah menangguk di air keruh sekali lagi.

Kini kerajaan telah mengurangkan harga minyak petrol dan diesel pasaran tempatan, tetapi harga barang tidak pula diturunkan. Mengapa para peniaga tidak pula menurunkan harga barang? Semuanya kerana ingin mengaut keuntungan yang berlipat ganda.

Kenaikan harga barang yang melampau perlu dielakkan kerana ia hanya akan membebankan pengguna. Beban tersebut bukan hanya ditanggung oleh pengguna yang terdiri daripada kakitangan awam yang menerima bonus ini, bahkan kepada semua rakyat Malaysia. Semua orang akan merasa tempiasnya.

Peniaga perlu ingat dan sedar bahawa rakyat Malaysia bekerja di pelbagai sektor dan ada yang berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah. Kenaikan harga barang akan mempengaruhi sosio ekonomi kesemua golongan.