Tuesday, September 9, 2008

Kerajaan Masih Kukuh - PM

PUTRAJAYA 8 Sept. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini memberi jaminan kepada duta-duta asing di kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bahawa kerajaan masih kukuh meskipun ketika ini dibelenggu pelbagai sentimen politik semasa.

Perdana Menteri turut menegaskan negara ini masih selamat untuk para pelabur dan kerajaan akan terus melakukan pembaharuan dalam pelbagai bidang seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum Mac lalu.

''Saya tetap berpegang dengan janji-janji untuk melaksanakan pembaharuan, itu saya tidak pernah lupa sebagaimana yang kita lakukan kepada syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC), bidang pendidikan dan juga pasukan polis.

Pelabur''Apa sahaja yang berlaku, negara ini tetap selamat untuk pelabur dan pelancong untuk datang," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa dengan duta besar dan perwakilan negara-negara OIC di Wisma Putra di sini.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa.

Menurut Perdana Menteri, banyak pihak bercakap bahawa ada sesuatu yang menarik pada masa ini untuk melawat Malaysia selain disebabkan beberapa perkara yang berlaku sekarang.

''Segelintir menyatakan mereka berasa gembira datang ke sini daripada bertanya tentang apa yang sedang berlaku sekarang.

''Ada juga yang memberikan reaksi tentang keputusan pilihan raya umum lalu dan pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya.

Dalam hal ini, beliau menegaskan, pihaknya amat menyedari mesej yang telah diberikan oleh rakyat ekoran pilihan raya lalu dan juga pandangan mereka pada kerajaan dan parti.

''Saya menyedarinya, jika pada tahun 2004, kami menang dengan keputusan terbaik dalam sejarah tetapi dalam masa yang singkat (Mac lalu) kami mendapat keputusan yang terburuk.

''Pada tahun 2004, kita membuat janji terhadap pelbagai perkara tetapi tidak semua perkara boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (9 September 2008)

***************************************************************************

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan masih kukuh dan stabil. Warga Malaysia, pelabur asing dan pelancong tidak perlu takut dan bimbang dengan perang psikologi pihak pembangkang yang kononnya akan berlaku perubahan kepimpinan kerajaan baru pada 16 September ini. Yang jelas hajat Pakatan Rakyat ini hanyalah omongan kosong dan pastinya tidak akan berjaya serta menjadi realiti.

No comments: