SHAH ALAM 7 Sept. - Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam marah dan kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggap lawatan untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di Klang dan Kapar sebagai membuang masa dan membazirkan wang.
Ahli Parlimen PKR itu memberi amaran bahawa Abdul Khalid bakal menerima kesan pada pilihan raya umum lima tahun akan datang ekoran kenyataannya yang menyinggung hati ramai penduduk kampung terlibat.
"Saya puji tindakan pantas UMNO apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib turun dengan cepat melawat mangsa bencana alam ini dan menghulurkan bantuan.
"Mana pemimpin kerajaan negeri? Sebagai Ahli Parlimen Kapar, saya sungguh kecewa apabila tidak ada yang tunjuk muka. Saya tidak takut jika pucuk pimpinan parti mahu mengambil apa- apa tindakan terhadap saya kerana saya berpendirian tegas dalam hal ini.
"Saya terima banyak aduan, ramai yang pelik dan tidak suka dengan kenyataan Menteri Besar, kenapa dia cakap macam itu, memang peliklah dengan cara dia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan tindakannya tidak turun padang untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di Klang dan Kapar dengan menganggap perbuatan tersebut sebagai membuang masa dan membazir wang.
Menurut Menteri Besar itu, walaupun pakatan pembangkang sering melaung-laungkan konsep negara berkebajikan, ia tidak bermakna beliau perlu menunjukkan muka kepada rakyat ketika mereka berdepan kesusahan seperti bencana alam.
Dalam kejadian pukul 3 petang pada 1 September lalu, lebih 1,000 keluarga dari beberapa kampung seperti Kampung Sungai Udang serta Kampung Sungai Bertek di Teluk Pulai dan Kampung Rantau Panjang di Kapar menjadi mangsa ribut.
Sebelum ini, Manikavasagam mendakwa Abdul Khalid seolah-olah tidak mengambil berat dengan nasib mangsa ribut apabila tidak menghantar bantuan segera kepada mangsa yang menghadapi pelbagai kesusahan.
Kritikan itu dibuat selepas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib melawat mangsa dan menyerahkan bantuan RM300 kepada 340 keluarga yang rumah mereka rosak teruk sehari selepas kejadian.
Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) turut menyumbangkan RM100,000 untuk membeli dan menggantikan atap rumah yang rosak.
Mengulas lanjut, Manikavasagam memberitahu, beliau boleh menerima jika hanya berlaku bencana kecil seperti kebakaran membabitkan 10 rumah tetapi kejadian ribut yang berlaku Isnin lalu boleh dianggap sebagai bencana negara.
Menurutnya, sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid perlu meninggalkan mentaliti dunia korporat apabila menganggap tindakan sedemikian hanya membuang masa tanpa mengambil kira kesan ekoran kenyataan seperti itu.
Selain itu, ekoran tindakannya mengkritik Abdul Khalid sebelum ini, beliau menerima banyak ugutan daripada beberapa pihak yang tidak menyenangi kelantangannya bersuara sehingga terpaksa membuat laporan polis.
Sumber: Utusan Malaysia
*******************************************************************
Apa dah jadi dengan manifesto PKR dalam pilihan raya umum lalu? Kononnya ingin menerapkan konsep negara berkebajikan tetapi apabila rakyat di negeri yang ditakluk ditimpa musibah bencana alam, pemimpinnya tidak pula menunjuk muka dan menghulurkan bantuan.
Kenyataan Menteri Besar Selangor dari PKR ini (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) wajar diselar dan dikecam. Beliau ibarat kacang lupakan kulit. Semasa pilihan raya dahulu, pelbagai janji manis yang ditaburkan demi meraih sokongan undi rakyat. Namun kini apabila sudah berjaya mencapai misi peribadinya, kepentingan dan kebajikan rakyat hanya dipandang sebelah mata. Sanggup pula beliau bersuara lantang dengan menganggap melawat mangsa dan kawasan musibah membazirkan masa dan wang. Inikah pemimpin yang anda pilih wahai penduduk Selangor?
Setinggi terima kasih dan penghargaan terhadap kepimpinan kerajaan pusat yang telah turun menghulurkan sumbangan. Juga kepada Kelab Penyokong BN yang turut membantu. Walaupun negeri Selangor di bawah taklukan parti pembangkang, namun kerajaan pusat tetap prihatin dengan membantu mangsa ribut di kawasan berkenaan. Tiada istilah pilih kasih. Layanan kepada rakyat seluruh Malaysia adalah sama rata.
Ahli Parlimen Kapar (PKR) sendiri menyelar dengan perasaan marah dan kecewa sikap MB Selangor ini kerana langsung tidak menunjukkan muka melawat mangsa-mangsa. Jelas kelihatan, walau bernaung di bawah satu parti namun mereka tidak sehati sejiwa.
Insiden ini diharap dapat membuka mata dan minda penyokong-penyokong PKR khususnya pembangkang yang telah tertipu dengan dakyah-dakyah palsu mereka. Tebuslah kesilapan
anda pada pilihan raya umum ke-13 yang akan menyusul empat atau lima tahun lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment