Friday, September 5, 2008

35% guru Sains, Matematik lemah BI

KUALA TERENGGANU 4 Sept. - Kira- kira 35 peratus guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik di seluruh negara dikenal pasti tidak menguasai bahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, masalah itu dikesan melalui satu kajian yang dijalankan oleh pihak kementerian di beberapa sekolah terpilih baru-baru ini.

Beliau berkata, murid-murid mempunyai potensi untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi sesetengah guru pula menghadapi masalah untuk menguasai bahasa itu dengan baik.

"Ia akan memberi kesan negatif kepada murid yang memerlukan bimbingan untuk menguasai bahasa Inggeris,'' katanya pada majlis kesyukuran dan berbuka puasa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini semalam.

Razali berkata, berdasarkan kajian, guru yang terlibat kurang menunjukkan dedikasi dan keupayaan yang tinggi dalam meningkatkan kecekapan berbahasa Inggeris.

"Walaupun mereka mendapat Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk membeli buku rujukan atau menghadiri tuisyen bahasa Inggeris tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya," ujar beliau.

Sebaliknya, katanya, ramai guru Sains dan Matematik dikesan menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain sekali gus mengakibatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka tidak meningkat.

Beliau menegaskan, guru terbabit perlu menunjukkan dedikasi tinggi di samping melakukan pengorbanan untuk memastikan murid mendapat manfaat yang sewajarnya.

"Kementerian sentiasa mengadakan kursus intensif kepada guru terlibat dan turut menghantar mereka berkursus di luar negara dalam membantu mereka meningkatkan kecekapan berbahasa Inggeris," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia
**************************************************************************

Berita yang agak kurang sedap untuk didengari. Semoga para guru yang mengajar subjek Matematik dan Sains dapat meningkatkan kemahiran dalam menguasai Bahasa Inggeris. Kerajaan telah memberi pelbagai insentif seperti elaun khas dan BISP untuk memahirkan para guru, jadi gunalah imbuhan tersebut dengan sewajarnya dan janganlah dipersiakan harapan murid-murid yang dahagakan ilmu pengetahuan.

2 comments:

taipingmali said...

Kerajaan bagi insentif kepada guru PPSMI ialah supaya mereka menggunakan wang 10% daripada gaji tersebut untuk membaiki BI.dengan membeli buku-buku atau pergi ke kelas bahasa. Mereka sebalinya menggunakan wang tersebut untuk bayar ansuran kereta.

sumandak bayu said...

Kalo setakat harapkan elaun 10% takkan ke mana kalo tak diikuti dengan kesungguhan guru-guru ni nak baiki mutu pelajaran mereka. Tapi ape pun jangan je jadi adat ketam risau generasi muda kita akan lebih keliru lagi.

Ape pun guru engkau adalah insan yang cukup istimewa kerana tanpa dirimu sumandak takkan sampai ke tahap blog ni