Monday, April 27, 2009

Pas pentingkan diri sendiri

KUALA LUMPUR 26 April - Tindakan Pas menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), membuktikan perjuangan parti itu hanya untuk kepentingan diri sahaja.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, tindakan Pas itu lebih menjurus kepada kepentingan politik sekali gus mengetepikan masa depan umat Islam dan Melayu di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ia juga membuktikan Pas selama ini hanya berpura-pura untuk menawan hati rakyat.

''Kita nampak keputusan itu mengutamakan politik mereka sahaja. Tidak ada bayangan yang menunjukkan semangat mahu melihat umat Islam dan orang Melayu bersatu padu,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara parti itu dengan UMNO dan BN berikutan pertukaran pucuk pimpinan negara.

Abdul Hadi berkata, partinya sedang mengkaji semula cadangan tersebut dan memantau secara dekat pelaksanaan dasar kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas isu yang sama, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berpendapat tindakan Pas disifatkan tidak selari langsung dengan perjuangan Islam yang dihebahkan kepada rakyat.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Pas seharusnya berusaha untuk bersatu atas nama Islam, namun sanggup menarik balik cadangan baik yang boleh membawa perubahan positif kepada negara.

''Kita tidak faham kenapa Pas buat begitu kerana selama ini semua sudah jelas perlu berusaha demi kemakmuran negara.

''Tidak patut mereka menarik balik keputusan untuk membentuk kerajaan perpaduan. Tidak ada masyarakat Islam di dunia ini yang mahu perpecahan kerana kepentingan diri atau politik semata-mata,'' ujarnya.

Seorang lagi ahli MT UMNO, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, tindakan Pas membuktikan parti itu hanya mementingkan diri semata-mata daripada kebaikan umat Islam negara ini.

''Pas mementingkan keuntungan politik dan sanggup mempergunakan agama untuk mencapai hasrat mereka.

''Mungkin mereka nampak tiada keuntungan jika bersama UMNO dan BN di dalam kerajaan perpaduan, jadi mereka memberi pelbagai alasan,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia (27 April 2009)

***************************************

Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang telah membuktikan bahawa PAS memang gemar bercakap tak serba bikin demi meraih perhatian masyarakat terutamanya kepada orang Islam. Kononnya dahulu beliau ingin berbaik-baik dengan UMNO demi untuk kesepakatan dan kebajikan orang Melayu/Islam. Tapi kini lain pula omongannya. Jika PAS benar-benar ikhlas ingin mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan dengan UMNO/BN perkara mengenai perubahan pucuk pimpinan parti Kerajaan BN bukanlah sesuatu yang patut dijadikan isu.

Jelas PAS mempergunakan agama demi kepentingan politik dan mencapai hasrat mereka. Atau mungkin juga Haji Hadi risau dengan kemunculan tim erdogan dalam parti PAS yang pasti akan menggugat kepimpinan beliau?

No comments: