Wednesday, April 22, 2009

SATU MALAYSIA: ‘RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN’: SATU LANGKAH PENTADBIRAN NEGARA

Oleh: ATH

Konsep Satu Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan kepada pemimpin-pemimpin Kerajaan untuk menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Pemimpin-pemimpin Kerajaan dibentuk supaya bekerja dan berusaha dengan lebih keras untuk memenangi hati rakyat kerana tanpa rakyat tiadalah barisan kepimpinan Kerajaan pada masa kini. Rakyat adalah raja dan penentu kepada tampuk pentadbiran negara. Rakyat yang menentukan jatuh bangun sesebuah Kerajaan itu sama ada untuk terus kekal atau sebaliknya.

Justeru pemimpin-pemimpin, baik politik atau Kerajaan, perlulah mengotakan segala janji dan melaksanakan segala dasar yang telah ditaburkan kepada rakyat. Pelaksanaannya pula hendaklah cepat, tepat, efisien dan tidak mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan. Jangan pula membiarkan janji hanya tinggal janji dan menjadi retorik politik semata-mata.

Kepada Pegawai-pegawai Awam, mereka juga juga tidak terkecuali dalam merealisasikan konsep Satu Malaysia ini. Pegawai-pegawai awam perlu mempunyai pemikiran yang inovatif, tatacara kerja yang efisien, sistematik dan mengamalkan budaya kerja yang cemerlang.

Melihat Satu Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan sejak dahulu lagi. Usaha-usaha dalam memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kemudian usaha-usaha dalam membangunkan rakyat dan negara disambung oleh Perdana-perdana Menteri yang seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan yang tersendiri namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara. Umpamanya semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau memperkenalkan konsep-konsep seperti Kepimpinan Melalui Tauladan, Dasar Pandang Ke Timur dan Sistem Punch Card. Mantan Perdana Menteri Ke-5, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pula menggagaskan konsep 10 Prinsip Islam Hadhari dalam memacu rakyat dan negara ke arah Satu Malaysia.

Dari sudut politik pula, Satu Malaysia menjurus kepada perpaduan rakyat dan integrasi wilayah tanpa sempadan. Ini bermaksud segala pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan akan dinikmati semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya di seluruh Malaysia. Penyatuan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa yang dikenali sebagai Bangsa Malaysia yang benar-benar mendokong Perlembagaan Negara mengikut lunas undang-undang negara. Bangsa Malaysia perlu memiliki semangat patriotisme yang kuat di dalam diri masing-masing.

Satu Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ gagasan Perdana Menteri Malaysia Ke-6, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ini adalah satu gagasan yang baik dan sangat bertepatan dalam suasana sekarang. Gagasan ini benar-benar menguji sikap kepimpinan para pemimpin negara agar lebih bertanggungjawab dalam menggalas amanah yang telah diberikan rakyat kepada mereka. Pemimpin-pemimpin Kerajaan perlu dekat di hati rakyat, lebih mesra rakyat, sanggup turun padang menyingsing lengan dan melakukan pelbagai perkara yang boleh mengukuhkan lagi kepercayaan serta keyakinan rakyat kepada Kerajaan.

Melihat kepada senario persekitaran politik Malaysia hari ini, rakyat semakin bijak berfikir dan melontarkan pendapat. Barisan kepimpinan Kerajaan mesti sanggup melakukan perubahan dan pembaharuan bersandarkan kepada kehendak rakyat. Satu Malaysia adalah jawapannya.

No comments: