Thursday, October 9, 2008

Peralihan kuasa Mac 2009

Semalam (8 Oktober 2008), YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti UMNO Mac tahun hadapan sekaligus memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Ini bermakna proses peralihan kuasa ini telah dipercepatkan daripada Jun 2010 kepada Mac 2009. Keputusan Dato' Seri Abdullah ini adalah atas dasar sifat bertanggungjawab terhadap parti UMNO dan BN kerana beliau tidak mahu melihat UMNO/BN berpecah-belah. Pengunduran beliau ini juga adalah ekoran daripada prestasi buruk BN dalam PRU 12 yang lalu apabila BN kehilangan banyak kerusi kepada parti pembangkang termasuk lima negeri telah dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Walau bagaimanapun Dato' Seri Abdullah tetap komited untuk melaksanakan segala gagasannya sebelum berundur daripada tampuk pemerintahan negara bagi menjadikan Malaysia terus melangkah maju, memperbaiki daya saing dan menghadapi cabaran luaran. Antaranya ialah memperkukuhkan institusi negara dengan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Aduan Khas.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas segala sumbangan dan jasa Dato' Seri Abdullah selama 45 tahun berkhidmat untuk negara. Satu tempoh yang panjang di mana beliau telah melihat, melalui dan menghadapi pelbagai fasa dalam proses membangunkan Malaysia bersama-sama dengan pemimpin negara yang lain. Segala asam garam, pahit manis telah beliau rasai.

Peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib diharap mendapat sokongan daripada semua pihak dan seterusnya dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN.

1 comment:

sumandak bayu said...

Kita doakan bersama demi NEGARA, BANGSA dan AGAMA