Friday, October 10, 2008

UMNO mesti berubah jika ingin kekalkan kuasa

KUALA TERENGGANU 9 Okt. - Pemimpin serta ahli-ahli UMNO mesti melakukan perubahan sesuai dengan persekitaran semasa sekiranya ingin terus berkuasa memegang tampuk pemerintahan negara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO perlu meniti arus perubahan itu jika parti berkenaan ingin terus menjadi sanjungan dan sentiasa berada di hati rakyat.

''Kita adalah sebuah parti yang begitu banyak jasanya. Kitalah yang memerdekakan bumi bertuah ini, kitalah parti yang menghapuskan komunis, kitalah yang mengisi kemerdekaan.

''Soalnya apakah jasa-jasa ini akan diambil kira oleh rakyat pada hari ini, tentu sekali kita perlu merenung secara lebih mendalam mengenai hal ini, kita perlu prihatin kepada aspirasi rakyat," katanya semasa berucap dalam Majlis Mesra Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya, kehendak rakyat adalah mudah iaitu mereka mahu ahli-ahli serta wakil rakyat UMNO mudah didekati sepanjang masa.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri mengakui walaupun prestasi UMNO dalam pilihan raya umum lalu tidak begitu memuaskan, namun parti itu masih menjadi kayu ukur dalam politik negara.

Beliau mengingatkan pemimpin dan ahli parti agar jangan semata-mata menumpukan soal dalaman parti termasuk pemilihan bahagian tetapi menjadi parti yang mencerminkan suara rakyat.

''Matlamat kita bukan semata-mata untuk jawatan, bukan hanya sekadar menang ketua bahagian, jangan fikir itu kesudahannya.

''Seperti di Kelantan, saya pernah ingatkan mereka jangan hanya mahu jadi ketua bahagian kerana selagi kita tidak pegang kuasa, tiada makna perjuangan," katanya.

Beliau menegaskan, pemimpin boleh datang dan pergi tetapi perjuangan parti untuk agama, bangsa dan negara tetap diteruskan dan lantaran itu apa-apa pertimbangan dan keputusan harus berpegang kepada keikhlasan terhadap perjuangan.

''Untuk ini saya mahukan semua pihak berpegang pada satu petua iaitu meletakkan kepentingan parti di atas segala-segala yang lain," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (10 Oktober 2008)

*******************************************

Para pejuang parti UMNO perlu mengambil perhatian serius mengenai kenyataan Datuk Seri Mohd Najib ini. Utamakan perjuangan parti dan bukan memperjuangkan kepentingan diri atau dalam kata lain 'ada agenda yang tersembunyi'. Berjuang dan berkhidmatlah dengan penuh ikhlas serta bertanggungjawab. Kembalikan kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO. Muhasabah diri, hiasi peribadi.

1 comment:

sumandak bayu said...

Kesedaran memeprjuankan bangsa, agama dan pati perlu demi memastikan KITA masih lagi RELEVEN sebagai rakyat MALAYSIA