Monday, December 15, 2008

Buta sejarah lemahkan perpaduan kaum

SEMPORNA - Masalah buta sejarah di kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, jika tidak dibendung dari awal boleh melemahkan perpaduan kaum dan mengganggu keharmonian hidup rakyat di negara ini, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sehubungan itu, beliau berkata, penekanan pembelajaran sejarah terutama di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi membimbing pelajar untuk mengetahui sejarah negara sendiri secara jelas amat sesuai dilaksanakan seawal yang boleh.

“Langkah Kementerian Pelajaran untuk mewajibkan subjek Sejarah di peringkat sekolah rendah amat tepat pada masanya bagi memberi pengetahuan tentang Sejarah negara lebih awal kepada pelajar,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk mewajibkan mata pelajaran sejarah di peringkat sekolah rendah.

Beliau berkata demikian selepas menutup Karnival Rukun Tetangga sempena kempen ‘Jiranku Keluargaku’ peringkat negeri Sabah di sini, kelmarin.

Menurut Shafie, melalui kefahaman yang mendalam mengenai sejarah negara sendiri, pelajar yang merupakan pelapis kepada kepimpinan masa depan negara tidak akan terkeliru dan sewenang-wenang melakukan sesuatu perkara yang boleh menggugat perpaduan kaum.

Shafie berkata, di negara maju seperti Britain, mata pelajaran Sejarah diberi penekanan sehingga pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan tidak hanya terhad di sekolah malah di media-media elektronik negara itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shafie mengajak semua lapisan rakyat supaya terus mengukuhkan perpaduan dan bersama-sama dengan kerajaan untuk menghadapi krisis kewangan global yang sedang melanda dunia. -BERNAMA

**************************

Keputusan Kementerian Pelajaran untuk mewajibkan subjek Sejarah diajar di peringkat sekolah rendah lagi merupakan suatu langkah bijak dan amat tepat pada masanya. Sekarang ini ramai pihak yang mempertikaikan mengenai isu ketuanan Melayu yang mana akan mengganggu-gugat perpaduan antara kaum di Malaysia ini.

Penekanan dan pemahaman yang sejelas-jelasnya perlu diketahui oleh semua kaum di negara kita kerana mengikut Perlembagaan Negara ada makna khusus antara penduduk orang Melayu - peribumi (indigenous), orang asli - penduduk asli/asal (origin) dan golongan pendatang seperti kaum Cina dan India yang diberi taraf kerakyatan sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

No comments: