Monday, December 15, 2008

Trend harga pasaran dunia terus jatuh

BAYAN BARU - Harga runcit petrol dijangka turun lagi dalam tempoh terdekat berikutan trend harga yang menurun di pasaran dunia ketika ini.

Ketika mengesahkan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, ia memang boleh diturunkan lagi tanpa menyebut kadarnya.

“Kajian semula harga bahan api kebiasaannya dilakukan pada awal dan pertengahan bulan dan kini tempohnya semakin hampir untuk semakan semula,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga. Barang Keperluan Harian anjuran Kumpulan Pasar Raya Sunshine di Sunshine Square di sini, semalam.

Kali terakhir harga bahan api diturunkan iaitu kali keenam ialah pada 3 Disember lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan harga petrol RON 97 diturunkan 10 sen daripada RM2 kepada RM1.90 manakala diesel RON 92 daripada RM1.90 kepada RM1.80.

Beliau berkata, kerajaan akan memberi subsidi petrol kepada pengguna apabila harganya melebihi RM1.90 seliter.

Menurutnya, apabila harga petrol berada pada RM1.90 atau di bawah paras itu, pengguna akan membayar mengikut harga pam dan tidak melibatkan subsidi.

Beliau berkata, pengguna tidak boleh mengharapkan subsidi petrol yang berterusan daripada kerajaan kerana ia bukanlah suatu yang kekal.

“Jika harga petrol berada pada paras AS$82 setong atau lebih rendah di pasaran dunia, harga runcit ialah RM1.90 seliter walaupun pada perkiraan sesetengah pihak ia lebih rendah.

“Apabila tidak memberi subsidi 30 sen, kerajaan akan menggunakan sebahagiannya sebagai hasil melalui cukai manakala bakinya diberi sebagai ‘wang saku’ kepada pengguna.

“Kerajaan tidak ambil semua wang subsidi itu sebaliknya memberi kepada pengguna dalam pelbagai bentuk,” katanya.

Menurutnya, rebat kepada pengguna kenderaan yang diperkenalkan pada 1 April 2008 iaitu RM625 kepada kereta dan motosikal (RM150) berakhir pada 31 Mac 2009.

Sumber: Sinar Harian Online (15 Dis. 2008)

*****************

Semoga harga minyak petrol dan diesel dapat diturunkan lagi berdasarkan trend semasa pasaran minyak global yang semakin jatuh.

Namun rakyat jua harus faham bahawa sekiranya harga minyak petrol di bawah RM1.90 seliter, kerajaan tidak lagi memberi subsidi tetapi sebaliknya peruntukan subsidi itu akan digunakan untuk pembangunan lain yang turut memberi manfaat kepada rakyat.

No comments: