Tuesday, December 2, 2008

Cuaca punca harga sayur, ikan naik

KUALA LUMPUR - Kenaikan harga sayur-sayuran terutamanya cili merah berpunca daripada perubahan cuaca, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Mokhtar Ismail.

Katanya, kebiasaan taburan hujan yang tinggi hujung tahun bermula Oktober hingga Januari menyebabkan gangguan pertumbuhan dan pengeluaran sayur-sayuran sekali gus mengakibatkan kekurangan bekalan.

“Antara sayur-sayuran yang meningkat harga ialah cili merah daripada RM5 kepada RM15 sekilogram. Di peringkat ladang, hujan lebat menyebabkan kemerosotan pengeluaran hampir 40 peratus dan harganya di peringkat runcit di Alor Star dijual RM15 sekilogram dan di Pasar Chow Kit RM17,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Antara peningkatan sayur-sayuran lain ialah daun bawang daripada RM2.50 kepada RM8 sekilogram, timun (80 sen kepada RM2.50), salad (RM3 kepada RM8), limau nipis (RM2 kepada RM5) dan cili padi (RM3 kepada RM9).

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah mengambil beberapa langkah meningkatkan bekalan dan mengurangkan harga pasaran melalui pengimportan cili merah dari China sebanyak 20 tan metrik yang dijangka berada di pasaran minggu ini.

Katanya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah meminta pembekal menambah bekalan import dari Thailand dan Indonesia bagi menstabilkan harga ikan.

“Usaha ini turut dijalankan bagi mengurangkan peningkatan harga di peringkat runcit melalui galakan pembelian terus pengguna di pasaran alternatif seperti pasar tani, pasar nelayan dan jualan ikan secara terus oleh LKIM di kompleks-kompleks pendaratan ikan yang mana harga runcitnya lebih rendah," katanya. -BERNAMA

***********************************

Faktor perubahan cuaca di musim tengkujuh ini merupakan antara punca kenaikan harga sayur dan ikan. Kerajaan melalui agensi-agensinya yang berkaitan telah melaksanakan beberapa alternatif bagi mengurangkan dan menstabilkan harga pasaran tempatan dengan mengimport ikan dan sayur-sayuran dari negara Thailand dan Indonesia.

Begitu jelas Kerajaan sangat peka dan komited dalam mengurangkan beban rakyat kerana sentiasa kreatif dalam mencari jalan penyelesaian untuk menangani sesuatu isu yang timbul.

No comments: