Wednesday, December 3, 2008

Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno

KUALA LUMPUR: Berkuatkuasa serta merta, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan Kapten (B) Zahar Hashim pula digantung keanggotaannya selama tiga tahun kerana membuat beberapa kenyataan mengkritik parti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini malam tadi, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata tindakan yang dikenakan ke atas Zaid dibuat kerana Umno perlu konsisten dalam tindakannya dan memastikan tidak wujudnya pilih kasih dalam mengambil tindakan displin terhadap anggotanya yang didapati bersalah.

Mengikut perlembagaan parti, anggota yang telah dipecat tidak boleh membuat rayuan, katanya.

"Ada tindakan-tindakan Zaid yang dilihat sebagai perkara yang menyalahi (peraturan) parti," katanya.

Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam dan sehari sebelum itu beliau juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

Menyentuh mengenai isu sensitif yang ditimbulkan anggota parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang dan akan dibincangkan dalam suasana yang terkawal.

"Tidak timbul keresahan atau cuit (perasaan) golongan lain. Satu mekanisme penting akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang. Ada isu sensitif, perkara ini mestilah berhati-hati. Kalau isu sensitif banyak orang yang akan terasa," katanya.

Bagaimanapun beliau menasihatkan mereka yang hendak menimbulkan sesuatu perkara atau reaksi yang tidak disenangi oleh kaum lain, perlu bertanggungjawab di atas tindakan yang dibuat.

"Kita semua kena berhati-hati tanpa mengira kaum dan agama. Negara ini mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama. Jadi isu agama dan bangsa boleh menimbulkan reaksi tidak menyenangkan, perlu latih diri supaya dikawal.

"Tidak bawa apa-apa keuntungan dan kebaikan pada rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengenai pendirian Umno yang dikatakan terlalu bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan parti komponen BN yang lain, Abdullah berkata: "Itu bukan bermakna kita diam langsung. Kita juga cakap dengan pemimpin-pemimpin berkenaan."

Menyentuh isu Adun Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendakwa dirinya telah dipinggirkan oleh Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, Perdana Menteri berkata Arif Shah bertemu dengannya semalam dan menyatakan pendirian yang beliau akan tetap bersama Umno dan BN serta tidak berminat menyertai parti lain.

Arif Shah dilaporkan berkata telah menerima pelawaan daripada PKR untuk menyertai parti itu baru-baru ini.

Mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata MT masih belum memutuskan calon yang akan mewakili BN bagi mempertahankan kerusi itu yang kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Mengenai sama ada MT Umno akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan calon yang akan dipilih bagi mewakili BN beliau berkata: "Tidak semestinya MT yang akan membuat keputusan (mengenai calon). Jawatankuasa pengurusanpun boleh pilih calon dan memaklumkan kepada saya." - Bernama

Sumber: Berita Harian Online (3 Dis. 2008)

*******************************************

Keputusan MT UMNO dengan memecat keanggotaan Datuk Zaid Ibrahim dalam UMNO merupakan satu langkah telus dan bijak kerana tiada gunanya lagi untuk menerima atau menyimpan pemimpin/ahli yang tidak jujur kepada parti. Kehadiran beliau dalam kongres PKR baru-baru ini amat menunjukkan bahawa beliau memberi sokongan jitu terhadap perjuangan parti tersebut di samping memberi signal kepada umum bahawa beliau akan menyertai PKR.

Datuk Zaid juga sebelum ini telah banyak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian kerajaan khususnya mengenai meminda akta ISA. Dikhuatiri jika masih berada dalam UMNO beliau boleh menjadi seumpama api dalam sekam atau gunting dalam lipatan serta boleh mempengaruhi orang lain.


Pendapat peribadi saya menyatakan bahawa beliau pasti akan menyertai parti pembangkang tidak lama lagi sementelahan pula apabila telah digugurkan daripada UMNO beliau tidak boleh untuk berpatah balik kepada UMNO meskipun membuat rayuan.

No comments: