Wednesday, October 29, 2008

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

PENGGUNA sudah tentu menyambut baik langkah pasar raya besar di negara ini menurunkan harga barangan keperluan mulai semalam.

Malah, premis-premis lain termasuk kedai runcit wajar mengikut jejak langkah tersebut memandangkan penurunan ketara harga minyak sekarang.

Jika ketika harga minyak melambung, para peniaga mudah menaikkan harga barangan, kini sudah sampai masanya mereka menurunkannya semula. Ini kerana sebarang kenaikan kos telahpun berkurangan semula ekoran penurunan harga minyak mentah dunia, yang memberi kesan langsung kepada harga runcit minyak di pasaran tempatan.

Adalah lebih wajar serta lebih berhemah jika para peniaga sendiri yang menurunkan harga jualan barangan tanpa perlu diasak terlebih dahulu oleh pelbagai pihak termasuk pengguna supaya berbuat demikian.

Langkah itu menjadi lebih penting memandangkan pemantauan kerajaan terhadap harga barang terhad kepada barang-barang kawalan sahaja.

Peranan pengeluar, pembekal dan persatuan pengguna juga penting dalam memastikan harga barangan sering mengambil kira kos pengeluaran semasa.


Awang – Masuk kedai terpilih.

Sumber: Utusan Malaysia (29 Oktober 2008)

Friday, October 24, 2008

Karpal Digantung Kerana Kurang Ajar Kepada Speaker


Dipetik dari: http://anginperubahan.blogspot.com/

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh (gambar) digantung selama dua hari bermula hari ini (23 Oktober 2008 )kerana menuduh dan mencabar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kononnya beliau `bersikap tidak serius dan main-main’ semasa persidangan. Karpal juga mempertikaikan semua keputusan yang dibuat Pandikar Amin selama ini dan akhirnya akur dengan keputusan itu dan dibawa keluar oleh Bentara kira-kira pukul 11.35 pagi tadi.

Biarpun Anwar Ibrahim (Ketua Pakatan Rakyat) mengusulkan agar pergantungan Karpal ditimbang semula, namun Pandikar Amin tetap dengan keputusannya mengikut Perkara 44 (3) kerana Karpal menggunakan perkataan kurang ajar kepada Speaker. Karpal memang selalu bersikap sebegitu. Sultan pernah dipertikaikan, malah PAS sendiri pernah dicabar agar melangkah mayat dulu sebelum buat negara Islam. Bagaimana PAS nak menegakkan daulah islamiyah kalau dapat rakan kongsi macam DAP ? . Macam mana hendak berjihad kalau dengan Karpal pun PAS tidak berani. Amat bertentangan sekali dengan lagu tema PAS ini (Sila Dengar).

Selangor dibidas kemiskinan naik 30%

SHAH ALAM 23 Okt. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo hari ini membidas tindakan kerajaan negeri menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dari RM731 kepada RM1,500.

Menurutnya, langkah berkenaan menyebabkan peningkatan kadar kemiskinan sebanyak 30 peratus di Selangor.

Mohd. Khir berkata, walaupun kenaikan PGK itu dilihat baik, ia tidak berlaku seperti mana yang diharapkan ekoran tiada usaha untuk menangani masalah kemiskinan dilakukan oleh kerajaan negeri.

"PGK naik, tetapi gaji tidak naik. Saya rasa ada pegawai Menteri Besar tergolong dalam kumpulan ini termasuklah guru-guru di Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang mana gaji mereka tidak dinaikkan," katanya.

Mohd. Khir (BN-Sungai Panjang) berkata demikian ketika membahaskan bajet pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Khir turut mempersoalkan bajet kerajaan negeri kali ini yang disifatkannya tidak memberi tumpuan menjaga kebajikan rakyat termasuk mengurangkan kemiskinan.

Menurutnya, bajet berkenaan menumpukan tidak sampai 10 peratus janji kepada rakyat seperti mana yang dinyatakan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Katanya, antara yang disentuh hanyalah Tabung Wawasan Anak Selangor (Tawas), bekalan air percuma 20 meter padu pertama, hadiah anak masuk ke universiti dan Tabung Mesra Usia Emas.

Bagaimanapun, lebih 20 janji lagi dalam manifesto yang dibuat pada pilihan raya umum lalu tidak dinyatakan dalam bajet kerajaan negeri.

Sumber: Utusan Malaysia (24 Oktober 2008)

******************************************

OH PKR! MANA JANJI-JANJI MANISMU?...APA DAH JADI DENGAN MANIFESTO PRU12 LALU?

Wednesday, October 22, 2008

Najib terima permohonan maaf Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata beliau berpuas hati dan menerima permohonan maaf Malaysiakini berhubung laporan palsu yang disiarkan portal itu yang mengaitkannya dengan satu manifesto untuk menerajui Umno.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, pagi ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat siapa 'kumpulan penyokong' yang dikatakan menyampaikan manifesto itu seperti yang dilaporkan.

"Tanda tanya yang masih berlegar ialah siapa pihak atau dalang disebalik laporan ini," katanya.

Sumber: Berita Harian (22 Oktober 2008)

*************************************
Citra Adora:

Jangan buat lagi. Inilah ingatan yang perlu diucapkan kepada portal Malaysiakini. Walaupun YAB TPM, Datuk Seri Najib telah menerima permohonan maaf mereka tanpa banyak bicara dan hanya menyerah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat siapakah dalang di sebalik cerita tersebut, diharap insiden ini tidak akan berulang lagi.

Malaysiakini perlu lebih berhati-hati dalam menyiarkan sesuatu berita yang sahih dan benar. Jangan ambil mudah dan memandang enteng dalam menyiarkan sesuatu berita. Siaran berita-berita palsu bukan hanya akan menjejaskan individu terbabit tetapi juga boleh memberi impak negatif yang besar kepada sesebuah masyarakat dan negara.

Tuesday, October 21, 2008

Pas gagal tadbir Kelantan


DYMM Tuanku Ismail Petra dalam Sidang Dewan Negeri Kelantan menegur kerajaan PAS di Kelantan kerana masih gagal mengurus kewangan dan membangunkan negeri meskipun sudah lama mentadbir Kelantan.

Tuanku Ismail Petra turut mengingatkan kerajaan PAS agar memartabatkan institusi masjid dan tidak menggunakannya untuk kepentingan tertentu. Teguran Sultan Kelantan ini menunjukkan bahawa kerajaan PAS di Kelantan telah menggunakan masjid sebagai medan percaturan politik mereka. Nampaknya PAS memang suka bercakap tak serupa bikin. Mereka sering bercakap bahawa institusi masjid adalah tempat untuk beribadah dan pusat untuk majlis ilmu tetapi mereka pula yang telah melakukan sebaliknya.

Sebenarnya banyak lagi kelemahan dan kepincangan kerajaan PAS Kelantan dalam mentadbir negeri. Kebajikan rakyat daripada segi kemudahan infrastruktur tidak diambil kira. Begitu juga daripada aspek keselamatan dan pembangunan.

Kerajaan negeri juga dilihat tidak pandai menjana pendapatan negeri kerana hanya bergantung kepada sumber hasil sedia ada. Mereka tidak kreatif dan produktif dalam meningkatkan sektor kewangan yang boleh memberikan hasil lumayan kepada kerajaan negeri Kelantan. Projek-projek yang dirancang dalam RMK-9 tidak dilaksanakan dengan progresif dan ada yang belum dimulakan. Juga masih banyak tanah-tanah terbiar yang tidak diusahakan.

Teguran Sultan Kelantan ini bukanlah sekadar main-main atau melepaskan batuk di tangga. Tuanku Sultan benar-benar mahu kerajaan PAS berubah sikap dan mampu berdaya saing demi kebaikan negeri dan rakyat jelata. Tidak malukah PAS dengan teguran-teguran ini? Ia jelas membuktikan bahawa PAS gagal mentadbir Kelantan.

Monday, October 20, 2008

Krisis kewangan perlu ditangani secara bijak - Raja Nazrin

IPOH 20 Okt. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, krisis dan kemelut kewangan yang berlaku sekarang perlu ditangani secara bijak dan berkesan bagi mengelakkan suasana ekonomi suram secara berpanjangan.

Titah baginda, ini kerana, jika tidak kemelut itu akan mengakibatkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

``Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi akan terjejas, pelaburan bukan sahaja tidak berkembang malah mungkin menguncup, peluang pekerjaan baru tidak dapat diwujudkan malah dibimbangkan akan berlaku pemberhentian pekerja,'' titah baginda di Persidangan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIP) Ke 163 di Kompleks Islam Perak di sini hari ini.

- Utusan

Jangan cuba buli UMNO

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama MCA dan Gerakan diberi amaran jangan cuba hendak membuli UMNO semata-mata mahu meraih kembali populariti di kalangan kaum masing-masing selepas pilihan raya umum lalu.

Beberapa pemimpin UMNO berkata, tindakan parti terbabit sengaja memainkan sentimen hak Melayu dan bumiputera yang telah termaktub dalam kontrak sosial amat tidak sihat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan pemimpin parti komponen itu yang terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang bahawa UMNO membuli mereka mampu menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata, persepsi bahawa UMNO membuli rakan komponen tidak boleh diterima sama sekali kerana parti terbesar kaum Melayu itu sering berkompromi mengenai hak-hak kaum lain dalam pelbagai hal.

''Kalau UMNO membuli parti lain, UMNO tidak akan memberi peluang kepada wakil rakyat dari parti komponen untuk bertanding dalam pilihan raya di kawasan yang majoritinya penduduk Melayu.

''Hakikat yang kita lihat, wakil rakyat Gerik (Datuk Tan Lian Hoe-Gerakan) merupakan wakil rakyat yang bukan dari UMNO dan beliau menang di situ," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Khairul Group of Associates di sini hari ini.

Sebelum itu beliau diminta mengulas kenyataan pakatan pembangkang yang mengatakan UMNO sebagai parti pembuli dalam BN.

Mohamed Khaled memberitahu, apa yang menyedihkan ialah persepsi sebegitu turut disuarakan oleh beberapa parti komponen BN yang secara jelas terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Menurutnya, dakyah yang disuarakan oleh pakatan pembangkang itu didorong oleh matlamat mereka untuk melemahkan BN selain tidak memahami sejarah perjuangan bapa-bapa kemerdekaan daripada UMNO, MCA dan MIC.

''Pakatan pembangkang sebenarnya tidak mempunyai dasar dan hanya memberikan reaksi terhadap pergerakan BN.

''Jika dikaji sejarah penubuhan Malaysia serta hak-hak dalam kontrak sosial, ia sebenarnya mencerminkan komposisi kaum di negara ini yang mana 60 hingga 70 peratus penduduknya adalah kaum Melayu dan bumiputera," tegasnya.

Dalam pada itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Idris Haron menyelar usul Pemuda MCA Perak yang mahukan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung kenyataannya mengenai kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

''Kenyataan Khairy bukan mahu menafikan hak biasiswa bukan Melayu sebaliknya beliau mahu kuota biasiswa bagi Melayu dan bumiputera tidak dikurangkan selari dengan pertambahan hak biasiswa bukan Melayu," katanya.

Gesaan tersebut, kata beliau, mencerminkan Pemuda MCA tidak mempunyai modal dalam usaha meraih kembali sokongan kaum Cina di negara ini selepas pilihan raya umum Mac lalu.

Menurutnya, Pemuda MCA Perak dan Pemuda MCA Kebangsaan perlu bermuhasabah diri dan jangan mengeksploitasi perkara-perkara yang tidak benar.

''Jika mereka (Pemuda MCA) berjaya memenangi kembali kerusi-kerusi yang dirampas oleh DAP di bandar-bandar besar, barulah suara mereka boleh diterima," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, gesaan Pemuda MCA itu mencerminkan kedangkalan pemikiran pemimpin pergerakan tersebut.

Menurutnya, suara pemimpin kecil itu yang mahu menjadi wira bagi kaum Tionghua tidak perlu diberikan perhatian.

''Ini merupakan contoh parti komponen yang mahu membuli UMNO terutama selepas pilihan raya 8 Mac lalu," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia (20 Oktober 2008)

*******************************************

Kenyataan tegas daripada pemimpin-pemimpin UMNO! Parti komponen BN seharusnya tidak mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Negara. Mengenai kekalahan teruk BN dalam PRU 12 pada 8 Mac lalu, semua pihak harus mengambil iktibar dan janganlah menyalahkan satu sama lain.

Paling utama sekarang ini ialah perkukuhkan dan kembalikan sokongan rakyat terhadap BN. Usah dibiarkan parti pembangkang (Pakatan Rakyat) ketawa besar melihat persengketaan dalam BN.

Thursday, October 16, 2008

Penduduk terkejut MBI naikkan cukai pintu 500%


IPOH 15 Okt. – Penduduk di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor di sini terkejut apabila menerima notis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bercadang menaikkan cukai pintu hartanah di kawasan itu 500 peratus bermula November ini.

Sambil melahirkan rasa marah dan kesal, mereka memberitahu, cadangan kenaikan cukai taksiran MBI itu tidak munasabah dan tidak masuk akal.

Seorang penduduk, Shahruzzaman Abd. Halim, berkata, beliau yang baru dua tahun mendiami rumah banglo yang dibelinya di Jalan Sri Klebang 3, Bandar Baru Sri Klebang selama ini hanya dikenakan cukai pintu sebanyak RM108.80 setahun semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) berkuasa di Perak.

Menurut beliau, kadar cukai tersebut naik mendadak pada tahun ini selepas MBI mengeluarkan notis mencadangkannya membayar cukai taksiran sebanyak RM691.20 setahun.

“Pada 15 September lalu, MBI telah menghantar notis kepada saya memaklumkan bahawa mereka akan meminda nilai tahunan harta atau cukai pintu ke atas rumah saya yang beralamat di Lot PT 186990, 13 Jalan Sri Klebang 3, Bandar Baru Sri Klebang, 31200 Chemor.

Sumber: Utusan Malaysia (16 Oktober 2008)

****************************************

Inilah konsep 'negeri berkebajikan' hadiah daripada Pakatan Rakyat kepada rakyat negeri Perak. Kadar cukai pintu naik begitu mendadak dan tidak munasabah. Keadaan ini adalah berbeza sama sekali ketika BN berkuasa di Perak. Nampaknya Pakatan Rakyat begitu rakus menindas para pengundinya sendiri. Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, October 15, 2008

Harga barang bila nak turun?



Bila harga minyak naik, peniaga-peniaga segera menaikkan harga barang kerana nak tampung kos bahan api yang meningkat. Tapi bila harga minyak turun, kali ini dah tiga kali turun, harga barang tetap mahal dan tidak pula diturunkan...

Utusan bertindak terhadap Teresa kerana memfitnah


KUALA LUMPUR 14 Okt. – Utusan Melayu (M) Bhd. hari ini menyerahkan surat tuntutan kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok supaya beliau membuat permohonan maaf dan menarik balik pernyataan fitnah yang didakwa dibuat terhadap akhbar Utusan Malaysia.

Menurut kenyataan syarikat itu, surat tuntutan tersebut telah diserahkan kepada Teresa melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co. yang mewakili Utusan Melayu.

Teresa dalam kenyataannya pada September lalu mendakwa Utusan Malaysia telah ‘memutar belitkan’ pernyataan-pernyataan beliau berkenaan makanan yang dihidangkan kepadanya semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pernyataan fitnah itu didakwa dibuat pada 22 September lalu ekoran daripada sidang akhbar Exco Selangor itu pada 19 September berkenaan perkara tersebut.

Berikutan itu, pernyataan-pernyataan Teresa telah diterbitkan oleh media-media tempatan dan menerusi blog beliau sendiri.

Utusan Melayu melalui surat tuntutan itu memohon perintah (relif) antara lain menarik balik pernyataan fitnah tersebut dan permohonan maaf sepenuhnya dan lengkap daripada Teresa.

Sumber: Utusan Malaysia (15 Oktober 2008)

****************************************

Teresa Kok perlu menarik balik pernyataan fitnah dan memohon maaf secara terbuka terhadap Utusan. Bukti-bukti yang ada cukup untuk membuktikan bahawa beliau memang memutar belitkan kenyataan berhubung makanan yang dihidang kepadanya semasa ditahan ISA.

Harga minyak turun lagi


Kerajaan menurunkan lagi harga bahan api sebanyak 15 sen bagi petrol dan 20 sen bagi diesel, iaitu penurunan kali ketiga dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.

Dengan penurunan harga minyak hari ini, bermakna dalam tempoh tidak sampai tiga bulan kerajaan telah menurunkan harga petrol sebanyak 40 sen seliter berbanding harga RM2.70 seliter pada Jun lalu.

Dalam tempoh yang sama, harga diesel pula telah mengalami penurunan 38 sen berbanding RM2.58 sen seliter ketika harga minyak dinaikkan Jun lalu.

Harga baru minyak petrol dan diesel berkuatkuasa pada hari ini.

Semoga harga minyak dunia akan turun ke paras USD72 setong bagi membolehkan rakyat menikmati kadar seperti dahulu iaitu RM1.92 seliter atau mungkin akan lebih kurang lagi. Apapun terima kasih kepada kerajaan yang prihatin ini.

Tuesday, October 14, 2008

UMNO tetap parti teras BN

Baru-baru ini Gerakan iaitu salah satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) telah membuat satu kenyataan bahawa semua parti komponen dalam BN perlu dibubarkan dan diganti dengan sebuah parti pelbagai kaum. Rasional cadangan mereka ini adalah kerana merasakan parti BN yang ada sekarang ini hanya tertumpu kepada satu kaum majoriti dalam satu-satu parti, maknanya bersifat perkauman.

Gerakan adalah sebuah parti yang keahliannya terdiri daripada berbilang kaum, majoriti ahlinya adalah kaum Cina. Hanya sedikit keahlian daripada kaum-kaum lain. Barisan peneraju utama parti ini adalah berbangsa Cina.

Kenyataan Gerakan berhubung pembubaran BN ini pastinya mengundang rasa jengkel dan tidak senang parti komponen BN lain khususnya UMNO yang telah lama wujud sebelum Malaysia mendapat kemerdekaan dan penubuhan parti Perikatan lagi (kini Barisan Nasional).

Umum mengakui dan menyedari bahawa BN dianggotai oleh UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti komponen lain adalah begitu mantap dan kukuh hasil daripada konsep perkongsian kuasa yang dipersetujui dan dimeterai bersama sejak dahulu lagi.

Cadangan Gerakan agar BN dibubarkan menjadi satu parti berbilang kaum (single and multi-racial party) adalah tidak munasabah dan relevan serta tidak mengambil kira survivor politik serta sensitiviti rakan komponen lain yang telah lama wujud sebelum Gerakan seperti UMNO, MCA dan MIC. Sudah pastilah parti-parti ini tidak ingin terkubur begitu sahaja setelah berhempas-pulas memastikan survival parti masing-masing untuk terus kukuh berdiri sejak zaman pramerdeka lagi. Masakan UMNO, MCA dan MIC senang-senang mahu dikuburkan begitu sahaja.

Saya selaku orang Melayu, ahli muda UMNO dan rakyat marhaen amat menyokong kenyataan Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek bahawa sebarang cadangan untuk mewujudkan BN sebagai satu parti pelbagai kaum adalah ibarat seperti membubarkan UMNO yang selama ini merupakan tunjang kepada kerajaan yang memerintah yakni BN.

Gerakan perlu sedar bahawa UMNO adalah parti dominan dalam BN yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan kerajaan BN selama 51 tahun memerintah Malaysia yang mana telah mengharungi pelbagai cabaran dan ujian namun tetap berjaya menangani segala onak dan duri untuk membangunkan Malaysia.

Gerakan melihat UMNO seolah-olah sebagai punca prestasi buruk BN dalam Pilihan raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu. Kononnya konflik dalaman UMNO telah menjejaskan keutuhan BN. Padahal hakikat sebenar ialah beberapa parti komponen BN yang lain termasuklah Gerakan telah kalah teruk dalam pilihan raya tersebut. Parti UMNOlah yang telah menyelamatkan maruah BN untuk terus menang dan mentadbir negara meskipun tidak mendapat dua pertiga majoriti undi. Lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Tsunami politik yang paling buruk melanda negara dan kerajaan BN. Jadi di mana silapnya berhubung perkara ini? Adakah parti komponen BN benar-benar bekerjasama dengan UMNO? Tepuk dada tanya selera. Gerakan perlu mengubah sikap dan tidak terus-terusan menuding jari kepada UMNO seolah-olah bersalah dan perlu bertanggungjawab atas kekalahan teruk dalam PRU 12.

UMNO meskipun merupakan parti dominan telah banyak memberi apa yang diinginkan oleh parti komponen lain. UMNO tidak membeza-bezakan keistimewaan antara parti-parti komponen. Semuanya dilayan sama rata, tiada bersifat perkauman. Konsep perkongsian kuasa dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, jujur, telus dan prihatin. Konsep kesepakatan dan perundingan yang diguna pakai diterima oleh semua pihak. UMNO juga tidak memperhambakan parti-parti komponen dalam BN tetapi UMNO memang perlu bertegas dalam membuat sesuatu keputusan berhubung beberapa perkara yang melibatkan ketuanan Melayu dan Perlembagaan Negara. Keistimewaan hak-hak orang Melayu tidak boleh disangkal dan diperkotak-katikkan kerana realitinya orang Melayu adalah kaum pribumi Malaysia.

Jika dibandingkan antara UMNO dan Gerakan, ia umpama langit dengan bumi. UMNO memiliki infrastruktur yang luas di mana keahliannya ada di merata-rata di seluruh pelosok tanah air baik di kampung-kampung mahupun di bandar-bandar. Manakala Gerakan hanya dianggotai oleh mereka yang tinggal di bandar. Sesungguhnya Gerakan belum layak untuk menentang UMNO jika mereka berhajat untuk berbuat demikian.

UMNO masih relevan dan tidak perlu dirombak, dibubar, diruntuh atau sebagainya. Jika UMNO hancur, maka akan hancurlah perjuangan politik orang Melayu di buminya sendiri. BN sekarang masih tetap utuh dan stabil untuk terus memperjuangkan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

Peranan UMNO sebagai parti teras dalam BN perlu dikekalkan bagi terus memimpin parti-parti komponen lain. UMNO adalah model terbaik sebuah parti yang berjaya menyatu-padukan masyarakat majmuk di Malaysia sekali gus memartabatkan Malaysia di persada dunia.

Monday, October 13, 2008

Anwar Ibrahim berangan lagi

Dipetik dari: http://anginperubahan.blogspot.com/


Anwar Ibrahim terus menerus berangan hendak menjadi Perdana Menteri lagi. Sesudah tiga kali ramalannya untuk menjadi PM tidak menjadi iaitu pada 16 September, 23 September dan 1 Oktober. Anwar menetapkan pula tarikh yang keempat iaitu pada 8 Disember 2008, iaitu sebelum Hari Raya Aidiladha untuk menjadi Perdana Menteri. Selepas ini akan ada tarikh yang lain pula kalau tidak jadi 8 Disember?

Anwar mengumumkan tarikh 8 Disember dalam satu ceramah Perdana Aidilfitri di Padang Perdana, Kota Bharu. Saksinya ialah Husam Musa dan Nik Aziz Nik Mat. Apa akan berlaku jika tarikh yang keempat ini juga tidak menjadi kenyataan? Apakah Anwar akan terus menerus menyalahkan pihak lain sebagai kegagalannya untuk menjadi PM?

Sehingga kini Anwar masih belum lagi menyahut cabaran PAS untuk mengemukakan senarai nama 31 orang ahli parlimen yang bakal melompat. Sampai bila orang orang PKR dan PAS akan terus mempercayai Anwar? Mengapa beriya iya benar Anwar hendak menjadi PM? Tidak bolehkah tunggu sehingga pilihan raya umum seterusnya? Seharusnya daripada terus berangan angan hendak menjadi PM, Anwar laksanakan dulu tanggungjawab sebagai ahli parlimen di Permatang Pauh.


AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

Tarikh baru pembangkang 'karut': Abdullah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menganggap tarikh baru pembangkang untuk membentuk kerajaan persekutuan menjelang awal Disember sebagai `karut’ dan `membuang masa’.

Perdana Menteri berkata beliau tidak nampak sebarang sebab untuk anggota Barisan Nasional (BN) meninggalkan gabungan itu dan menyertai Pakatan Rakyat.

“Barisan Nasional ialah pemenang dalam pilihan raya umum lalu dan kami ada kerja yang perlu dibuat. Mungkin ada perbezaan pendapat di antara kami dan sesetengahnya bukan mudah untuk diselesaikan tapi hakikatnya ialah kami sudah diberikan amanah oleh rakyat.

“Kami membentuk kerajaan yang kuat dan kami akan terus lakukan apa yang kami mampu untuk membangunkan negara. Ini adalah satu peluang bagi parti, jadi kenapa pula ada yang mahu meninggalkan parti?” kata Abdullah.

Perdana Menteri yang ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Rantau AS-Islamik Dunia di sini berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas tarikh baru yang ditetapkan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merampas kuasa daripada BN.

Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Mutakhir/20081013143159/Article

***********************************************

Letih nak melayan kerenah DSAI yang tak habis-habis nak jadi PM!

Shah Rukh Khan dapat gelaran 'datuk'


Saya sungguh tidak bersetuju dengan kerajaan negeri Melaka yang akan mengurniakan gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan. Saya pasti ramai lagi yang sekepala dengan saya. Apakah sumbangan yang telah diberikan oleh SRK kepada Malaysia? Kalau setakat beliau sering melancong ke Melaka dan telah membuat penggambaran filem One Two Ka Four hampir tujuh tahun lalu menjadi alasannya, pada saya ia tidak begitu realistik dan munasabah.

Memang tidak dinafikan saya sebenarnya minat 'giler' dengan SRK. Dialah aktor idola saya. Malah VCD/DVD filem-filem lakonan beliau banyak menjadi koleksi saya. Namun bila bercakap perihal pemberian 'Datuk' ini saya amat tidak sokong.

Kalau kita terlalu mudah memberi gelaran 'Datuk' atau apa-apa gelaran lagi kepada orang luar yang mana sumbangan atau jasanya terlalu sedikit atau sehalus kuman, pada saya seolah-olah kurniaan itu mudah untuk diberi dan murah kualitinya. Maknanya semua orang boleh dapat gelaran itu. Bagi saya gelaran itu nilainya terlalu besar dan perlu diperhalusi dengan memberi kepada orang yang benar-benar layak sahaja.

Sebenarnya masih ramai rakyat Malaysia yang layak dan telah memberi sumbangan yang jitu kepada negara dalam pelbagai bidang seperti sukan, pendidikan dan banyak lagi.

Najib bakal PM: Impian Anwar tumbangkan BN makin sukar


Para penganalisis politik tanah air berpendapat bahawa ketua pembangkang, DSAI akan menghadapi kesukaran untuk menumbangkan kerajaan BN jika Datuk Seri Najib Tun Razak dinobatkan sebagai Perdana Menteri.

Ini kerana sebaik sahaja Datuk Seri Najib mengambil alih, semakin tipis kemungkinan Ahli Parlimen dari BN akan melompat parti. Penganalis menyatakan bahawa pendirian Datuk Seri Najib adalah lebih tegas dan beliau semestinya mempunyai pelbagai strategi serta mekanisme yang akan diguna pakai apabila menjadi PM nanti.

Nampaknya impian DSAI untuk menuju ke Putrajaya hanya tinggal impian yang mana lama kelamaan cerita itu akan basi dan semakin tidak mendapat perhatian rakyat. Sebaliknya beliau hanya akan kekal sebagai ketua pembangkang di parlimen yang hanya akan menghentam dan sering tidak bersetuju dengan apa sahaja dasar yang dibawa oleh kerajaan BN selaku kerajaan yang mentadbir negara.

Friday, October 10, 2008

UMNO mesti berubah jika ingin kekalkan kuasa

KUALA TERENGGANU 9 Okt. - Pemimpin serta ahli-ahli UMNO mesti melakukan perubahan sesuai dengan persekitaran semasa sekiranya ingin terus berkuasa memegang tampuk pemerintahan negara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO perlu meniti arus perubahan itu jika parti berkenaan ingin terus menjadi sanjungan dan sentiasa berada di hati rakyat.

''Kita adalah sebuah parti yang begitu banyak jasanya. Kitalah yang memerdekakan bumi bertuah ini, kitalah parti yang menghapuskan komunis, kitalah yang mengisi kemerdekaan.

''Soalnya apakah jasa-jasa ini akan diambil kira oleh rakyat pada hari ini, tentu sekali kita perlu merenung secara lebih mendalam mengenai hal ini, kita perlu prihatin kepada aspirasi rakyat," katanya semasa berucap dalam Majlis Mesra Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya, kehendak rakyat adalah mudah iaitu mereka mahu ahli-ahli serta wakil rakyat UMNO mudah didekati sepanjang masa.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri mengakui walaupun prestasi UMNO dalam pilihan raya umum lalu tidak begitu memuaskan, namun parti itu masih menjadi kayu ukur dalam politik negara.

Beliau mengingatkan pemimpin dan ahli parti agar jangan semata-mata menumpukan soal dalaman parti termasuk pemilihan bahagian tetapi menjadi parti yang mencerminkan suara rakyat.

''Matlamat kita bukan semata-mata untuk jawatan, bukan hanya sekadar menang ketua bahagian, jangan fikir itu kesudahannya.

''Seperti di Kelantan, saya pernah ingatkan mereka jangan hanya mahu jadi ketua bahagian kerana selagi kita tidak pegang kuasa, tiada makna perjuangan," katanya.

Beliau menegaskan, pemimpin boleh datang dan pergi tetapi perjuangan parti untuk agama, bangsa dan negara tetap diteruskan dan lantaran itu apa-apa pertimbangan dan keputusan harus berpegang kepada keikhlasan terhadap perjuangan.

''Untuk ini saya mahukan semua pihak berpegang pada satu petua iaitu meletakkan kepentingan parti di atas segala-segala yang lain," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (10 Oktober 2008)

*******************************************

Para pejuang parti UMNO perlu mengambil perhatian serius mengenai kenyataan Datuk Seri Mohd Najib ini. Utamakan perjuangan parti dan bukan memperjuangkan kepentingan diri atau dalam kata lain 'ada agenda yang tersembunyi'. Berjuang dan berkhidmatlah dengan penuh ikhlas serta bertanggungjawab. Kembalikan kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO. Muhasabah diri, hiasi peribadi.

Thursday, October 9, 2008

Peralihan kuasa Mac 2009

Semalam (8 Oktober 2008), YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti UMNO Mac tahun hadapan sekaligus memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Ini bermakna proses peralihan kuasa ini telah dipercepatkan daripada Jun 2010 kepada Mac 2009. Keputusan Dato' Seri Abdullah ini adalah atas dasar sifat bertanggungjawab terhadap parti UMNO dan BN kerana beliau tidak mahu melihat UMNO/BN berpecah-belah. Pengunduran beliau ini juga adalah ekoran daripada prestasi buruk BN dalam PRU 12 yang lalu apabila BN kehilangan banyak kerusi kepada parti pembangkang termasuk lima negeri telah dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Walau bagaimanapun Dato' Seri Abdullah tetap komited untuk melaksanakan segala gagasannya sebelum berundur daripada tampuk pemerintahan negara bagi menjadikan Malaysia terus melangkah maju, memperbaiki daya saing dan menghadapi cabaran luaran. Antaranya ialah memperkukuhkan institusi negara dengan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Aduan Khas.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas segala sumbangan dan jasa Dato' Seri Abdullah selama 45 tahun berkhidmat untuk negara. Satu tempoh yang panjang di mana beliau telah melihat, melalui dan menghadapi pelbagai fasa dalam proses membangunkan Malaysia bersama-sama dengan pemimpin negara yang lain. Segala asam garam, pahit manis telah beliau rasai.

Peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib diharap mendapat sokongan daripada semua pihak dan seterusnya dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN.