Tuesday, April 29, 2008

Tangani Krisis Kekurangan Bekalan Beras

Dunia kini berdepan dengan krisis makanan yang agak merunsingkan. Belum pun selesai isu peningkatan harga minyak mentah global, kini terpaksa menangani pula isu kekurangan bekalan makanan.

Krisis terbaru yang hebat dibincangkan di seluruh dunia pada hari ini ialah masalah kekurangan bekalan beras dunia yang mana sekali gus telah mengakibatkan peningkatan harganya. Vietnam, pengeksport terbesar beras selepas Thailand telah menggantung eksport beras akibat daripada pengeluaran padinya terjejas teruk kerana kemarau dan serangan serangga. Harga beras dunia kini semakin meningkat naik dan dijangka akan terus meningkat dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kesukaran memenuhi permintaan yang tinggi di samping untuk meningkatkan pengeluaran dalam masa yang singkat.

Pastinya tempias ini turut mengenai Malaysia. Sementelahan lagi Malaysia juga merupakan negara pengimport beras dari Vietnam dan Thailand. Sungguhpun Malaysia turut mengeluarkan hasil beras, namun ia tidak mencukupi untuk menampung bekalan keperluan bagi rakyat negara ini. Harga beras di pasaran tempatan telah meningkat lebih 20 peratus sejak minggu lepas terutama harga beras import. Kerajaan tidak dapat mengawal kenaikan harga beras import kerana harga beras ditentukan oleh negara pengeluar dan pasaran dunia. Kerajaan hanya berkuasa untuk mengawal harga beras tempatan yang mengandungi 15 peratus beras hancur.

Justeru, di sinilah peranan yang boleh atau patut dimainkan oleh rakyat Malaysia sendiri. Rakyat Malaysia atau pengguna perlulah menggunakan kebijaksanaan masing-masing dalam mengurus keperluan dan kegunaan barangan keperluan bersesuaian dengan keadaan penawaran yang agak terhad pada ketika ini. Pengguna perlu mengelakkan pembaziran dan membeli barangan makanan sekadar keperluan asas sahaja.

Rakyat juga disaran untuk berbakti kepada tanah dengan mengusahakan tanaman sayur-sayuran, buah-buahan atau menternak ayam itik di kawasan-kawasan tanah yang terbiar untuk kegunaan sendiri. Langkah ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebergantungan barangan keperluan di pasaran.

Cadangan kerajaan untuk menjadikan negeri Sarawak sebagai negeri jelapang padi selepas Kedah adalah satu kaedah yang amat bijak dalam menangani krisis kekurangan bekalan beras negara. Oleh yang demikian diharap kerajaan akan segera melaksanakan cadangan tersebut sebelum keadaan menjadi semakin meruncing sehingga menjejaskan bekalan beras keperluan rakyat Malaysia. Teknologi-teknologi terkini seperti jentera dan benih yang terbaik haruslah diguna pakai bagi mempercepatkan pengeluaran beras negara.




Isu Kenaikan Harga Beras

Isu kenaikan harga barang terutamanya beras begitu dirasai dan merisaukan orang ramai sejak kebelakangan ini. Kenaikan harga makanan ruji ini akan memberi kesan kepada kos kehidupan seharian. Walaupun Bernas mengumumkan kenaikan harga beras, para pengguna tiada pilihan lain, terpaksa juga membelinya kerana beras merupakan barangan keperluan harian. Namun begitu lain pula yang berlaku di sesetengah kawasan. Terdapat segelintir pekedai runcit yang menaikkan harga beras dengan tidak mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Dengan erti kata lain, pekedai-pekedai ini ingin mengambil kesempatan di atas kesulitan pengguna. Sudahlah pengguna dibebani dengan pelbagai kenaikan harga barang-barang lain, pekedai dengan mudah pula menaikkan harga beras sesuka hati. Bagaimana nasib keluarga susah dan mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai pula. Sudah pasti akan menambahkan beban mereka. Jelas, secara tidak langsung ia akan memberi impak kepada kehidupan sosial masyarakat dan ekonomi negara.

Sukalah saya ingin menasihatkan golongan pekedai agar lebih bersifat toleransi dan mengambil kira masalah pengguna berhubung perkara ini. Janganlah terlalu mengejar keuntungan duniawi hingga hilang rasa perikemanusiaan. Masalah kekurangan bekalan beras ini adalah masalah global dan patuhilah saranan-saranan kerajaan demi kepentingan bersama. Biarkan kerajaan menjalankan tugasnya dalam menangani isu ini dan jangan ditambah-tambahkan lagi kemelut yang membelenggu jiwa rakyat dengan masalah sebegini.








Monday, April 28, 2008

Suruhanjaya Pelantikan Hakim - Relevan

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim yang diumumkan kerajaan pada pertengahan April lalu diharap tidak dimanipulasi dan menjadi isu kepada pihak pembangkang. Keputusan ini adalah sejajar dengan janji-janji kerajaan dalam PRU 12 yang lalu iaitu untuk meningkatkan lagi imej dan fungsi institusi kehakiman negara.
Suruhanjaya Pelantikan Hakim ini berperanan untuk mencalonkan, melantik dan menaikkan pangkat hakim secara telus dan diwakili.
Pembentukan suruhanjaya ini merupakan satu langkah ke depan yang penting kerana pembaharuan atau perubahan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi itu adalah bermakna kerajaan sedar bahawa badan kehakiman negara mempunyai kewibawaan yang tinggi dan sistem kehakiman negara boleh bertindak dari segi membuat keputusan dengan cepat. Hakim-hakim kita pula sememangnya mempunyai kredibiliti dan kebolehan tinggi yang dilantik di pelbagai peringkat.
Suruhanjaya ini adalah berkapasiti sebagai penasihat. Ini kerana kuasa muktamad adalah terletak kepada Perdana Menteri untuk mengemukakan cadangan rasmi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Ini bermakna Perdana Menteri mempunyai sekumpulan orang yang amat bijaksana dan terbilang untuk memberikan pendapat mengenai kesesuaian melantik seseorang bagi memegang pelbagai jawatan dalam badan kehakiman negara.
Sesungguhnya fungsi suruhanjaya ini amat relevan dalam memastikan ketelusan memilih hakim berdasarkan latar belakang dan kredibiliti mereka melalui pandangan bijak pelbagai pihak sekaligus berupaya membersihkan nama dan meningkatkan lagi martabat institusi kehakiman negara.

Tuesday, April 22, 2008

BPR jadi suruhanjaya - Bagi meningkatkan keberkesanan, ketelusan perangi rasuah – PM

KUALA LUMPUR 21 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan distruktur semula bagi menjadikannya sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, penstrukturan semula institusi membanteras rasuah yang ditubuhkan pada tahun 1967 itu merupakan satu daripada empat inisiatif kerajaan untuk memerangi gejala rasuah di negara ini.
Tiga inisiatif lain ialah:
Menambah jumlah anggota dan pegawai penguat kuasa antirasuah daripada 2,000 orang sekarang kepada 5,000 dalam tempoh lima tahun;
Memperkenalkan undang-undang melindungi pemberi maklumat dan saksi;
Menambah baik sistem pemerolehan awam.
Abdullah berkata, penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia itu bertujuan meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam dalam usaha membanteras gejala rasuah di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, dari segi pendakwaan, suruhanjaya tersebut perlu merujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Peguam Negara sebelum membawa apa jua kes ke mahkamah kerana jabatan itu masih bertindak sebagai pihak pendakwa bagi suruhanjaya berkenaan.
Perdana Menteri mengumumkan pembaharuan kepada institusi BPR itu ketika menyampaikan ucaptama program Dialog Integriti ASEAN di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan; Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang merupakan Pengerusi IIM.
Dalam ucapannya, Abdullah melahirkan harapannya untuk melihat para pegawai BPR menjalankan tugas tanpa rasa takut dan berat sebelah.
“Saya selalu percaya dengan memberi lebih kebebasan kepada BPR, ia akan membolehkan agensi itu melaksanakan setiap tugas dengan lebih baik.
“Justeru, kesungguhan kerajaan menstrukturkan semula BPR (dengan menjadikannya sebuah suruhanjaya) diharap dapat meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam selain mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap agensi ini,’’ katanya.
Perdana Menteri menjangkakan proses penstrukturan semula BPR kepada suruhanjaya akan selesai sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata, sebuah lembaga penasihat akan ditubuhkan di bawah suruhanjaya tersebut yang dikenali sebagai Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah.
Ujarnya, semua anggota lembaga penasihat berkenaan akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
“Anggota lembaga ini bertanggungjawab memberi nasihat kepada suruhanjaya sama ada mengenai pentadbiran atau operasi. Mereka juga akan diberikan taklimat terutama yang melibatkan kes-kes berkepentingan awam.
“Dalam hal ini, mereka boleh mempersoalkan mengenai tindakan yang telah diambil oleh suruhanjaya dan boleh mencadangkan jenis tindakan yang seharusnya diambil,’’ ujar beliau.
Paling penting, kata Abdullah, lembaga itu akan bertindak meyakinkan orang ramai bahawa kes-kes yang berkepentingan awam ditangani dengan sewajarnya oleh suruhanjaya terbabit.
Selain mempunyai lembaga penasihat, Perdana Menteri menjelaskan, sebuah jawatankuasa Parlimen juga akan ditubuhkan dikenali sebagai Jawatankuasa Parlimen Mencegah Rasuah.
Beliau berkata, Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia bertanggungjawab membentangkan laporan tahunannya kepada jawatankuasa berkenaan.
“Anggota jawatankuasa ini juga ditugaskan untuk menyemak serta mendapatkan penjelasan terhadap segala yang terdapat dalam laporan tersebut,’’ katanya.
Sejajar dengan statusnya sebagai suruhanjaya, agensi membanteras rasuah dengan kuasa baru itu, kata Abdullah, akan mempunyai kebebasan untuk merekrut pegawai dan kakitangan termasuk menawarkan tangga gaji yang lebih menarik.

“Ini merupakan inisiatif kerajaan yang kedua (dalam membanteras rasuah).
“Tujuan kerajaan memberi kebebasan kepada suruhanjaya untuk mempunyai tangga gaji yang lebih menarik dan berbeza bertujuan menarik lebih ramai profesional menyertai agensi itu,’’ katanya.
Perdana Menteri yakin usaha terbaru kerajaan itu bakal meningkatkan taraf BPR pada kedudukan yang lebih baik.
Sumber: Utusan Malaysia
Langkah penambahbaikan Kerajaan dalam menstruktur semula fungsi BPR sebagai Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia bagi meningkatkan lagi integriti dan kredibiliti agensi ini pada satu tahap yang lebih baik untuk memerangi gejala rasuah secara habis-habisan. Penubuhan suruhanjaya ini juga secara tidak langsung telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan mengurangkan masalah pengangguran. Tawaran tangga gaji yang lebih menarik pastinya akan menarik minat golongan muda dan profesional untuk sama-sama menyertai suruhanjaya ini. Apapun paling utama, ini adalah merupakan inisiatif Kerajaan yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam membanteras jenayah rasuah daripada terus berleluasa dan akhirnya menjadi sebuah negara rasuah sifar sekali gus imej Kerajaan akan dipandang tinggi oleh rakyat.
Citra adora

Tuesday, April 15, 2008

LADANG BABI MEGA: HADIAH DARI PAKATAN RAKYAT?

Belum pun usai isu-isu berbangkit mengenai keputusan Pilihan raya Umum Ke-12 (PRU 12), kini negara kita kecoh pula dengan isu projek penternakan babi di negeri Selangor yang akan dilaksanakan secara besar-besaran atau dengan kata lain sebagai projek mega. Selangor, negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat dengan bangganya telah mengumumkan projek berkenaan akan dilaksanakan di Sepang, di sebuah kawasan ladang berskala besar sekali gus mungkin akan menjadi negeri pengeksport babi di Malaysia. Dikatakan bahawa projek itu amat mengambil kira kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Tiada diskriminasi berasaskan kaum di negeri Selangor. Inilah yang menjadi prinsip parti Pakatan Rakyat-gabungan PKR, PAS dan DAP dan itulah juga yang sering dilaung-laungkan dalam kempen pilihan raya yang lalu. Prinsip untuk mewujudkan sebuah negeri yang harmoni, semua rakyat bersatu hati dan hidup dalam keadaan yang ceria memanglah satu tujuan yang murni. Tetapi setiap perkara yang ingin dibuat atau dilaksana perlulah mengambil kira sensitiviti masyarakat atau rakyat yang dipayungi.
Projek ternakan babi secara mega itu mendapat bantahan dan tidak disenangi oleh banyak pihak khususnya penduduk Melayu di kawasan sekitar. Lokasi ladang yang akan diternak babi itu begitu dekat dengan perkampungan orang Melayu yang mana akan menjejaskan kehidupan mereka baik dari segi kesihatan mahupun sumber pendapatan. Rata-rata mereka bekerja kampung seperti bertani dan menangkap ikan. Dikhuatiri sisa kumbahan babi akan mengalir ke sungai-sungai dan menimbulkan bau yang busuk. Sungguhpun kerajaan negeri menguar-uarkan bahawa ladang babi itu akan diusahakan secara moden dan tidak akan mencemarkan alam sekitar, namun jaminan itu tidak mencukupi dan tidak mampu membendung kegelisahan penduduk. Ini kerana projek itu dilihat terlalu berisiko. Apa akan jadi jika ia tidak berjaya diternak secara moden? Atau sekadar hangat-hangat tahi ayam? Sudah pastilah penduduk sekitar yang akan menerima bahananya. Jika berlaku sedemikian, adakah kerajaan negeri akan bertindak dengan pantas untuk menyelesaikannya?
Mungkin inilah hadiah dari Pakatan Rakyat untuk para pengundinya di negeri Selangor. Mungkin inilah pembaharuan yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat. Dulu Melaka merupakan negeri terbesar menternak babi tapi kini status itu ingin direbut pula oleh negeri Selangor. Mungkin juga ia bertujuan untuk menjana pendapatan negerinya. Atau mungkin juga Menteri Besar Selangor dari PKR ini terpaksa rela bersetuju meluluskan projek tersebut kerana desakan rakan pakatannya, DAP? Mungkin ada banyak sebab lagi. Tunggu dan lihat sahajalah.

Tuesday, April 8, 2008

PAK LAH RUNGKAI PUNCA UNDI MEROSOT BN

Kini segalanya terungkai sudah. Khabar-khabar angin, berita-berita palsu tentang punca kejatuhan lima buah negeri ke tangan pembangkang pada Pilihan raya Umum Ke-12 (PRU 12) baru-baru ini telah dijawab oleh YAB Presiden BN merangkap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 6 April 2008 bertempat di PWTC, di hadapan kira-kira 3,000 hadirin termasuklah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, para perwakilan, pegawai penerangan UMNO dan beberapa agensi lain. Sebelum ini Dato' Seri Abdullah hanya mendiamkan diri apabila pelbagai hentaman dan kutukan dilemparkan terhadap BN dan UMNO khususnya mengenai kepimpinan beliau.
Penjelasan panjang lebar beliau mengenai punca kemerosotan prestasi BN dan UMNO pada pilihan raya lalu sesungguhnya amat mengejutkan. Punca utama prestasi buruk BN dalam PRU 12 ialah akibat perbuatan sabotaj oleh ahli UMNO sendiri. Perbuatan khianat yang tidak seharusnya diampun dan wajib dikenakan tindakan yang sewajarnya. Tidak disangka-sangka punca dalaman UMNO menjadi faktor utama BN kehilangan 14 kerusi Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kawasan yang sebelum ini diisytiharkan putih dan dijamin meraih kemenangan malangnya terlepas ke tangan pembangkang iaitu negeri Perak dan Kedah sekali gus memusnahkan impian untuk mendapat kemenangan majoriti dua pertiga seperti PRU 11, 2004. Perbuatan mensabotaj parti sendiri ini sungguh dikesali dan susulan tindakan disiplin akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat.
Faktor lain yang dikenalpasti ialah isu-isu yang sering dibangkitkan dalam kempen pilihan raya iaitu kenaikan harga minyak dan harga barang masih tidak difahami oleh rakyat meskipun banyak penjelasan telah dibuat di mana Kerajaan telah bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai kaedah bagi meringankan beban rakyat seperti memberi subsidi, memberi lesen niaga dan bantuan-bantuan lain. Isu agama, perkauman, HINDRAF dan DEB turut menjadi punca kepada kehilangan undi rakyat terhadap BN. Rakyat bukan berbangsa Melayu terutamanya Cina dan India merasakan bahawa Kerajaan telah mengabaikan mereka dan hanya mementingkan orang Melayu sekali gus kebencian berasaskan kaum serta agama semakin menjadi-jadi dalam kempen pilihan raya lalu. Sedangkan Kerajaan telah sedaya upaya memenuhi keperluan dan kehendak semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama secara adil dan saksama. Namun dakyah pembangkang telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat.
Sekarang, tibalah masanya untuk BN dan UMNO mengorak langkah yang lebih progresif dalam memperbaiki dan memulihkan parti. Segala janji kepada rakyat haruslah dikotakan. YAB Dato' Seri Abdullah dan barisan kepimpinan negara sedia ada perlu diberi ruang dan peluang untuk menjayakan semua perancangan yang telah diatur demi kebaikan rakyat dan negara. Pihak luar dialu-alukan untuk memberi nasihat dan pandangan bagi mempertingkatkan kredibiliti Kerajaan dalam mentadbir negara, namun janganlah keterlaluan dan bersifat menghentam kerana dikhuatiri ia akan memburukkan keadaan. UMNO pula perlu terus maju, dipelihara, dijaga dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa serta sentiasa relevan untuk bangsa Melayu.

Thursday, April 3, 2008

PERHIMPUNAN AMAN “BERSIH” – AMAN ATAU MENYUSAHKAN?

Nampaknya Perhimpunan jalanan BERSIH (Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil) pada 10 November 2007 yang lalu tidak begitu menarik perhatian umum untuk menyertainya. Jumlah yang hadir hanya seramai 4,000 orang sedangkan BERSIH mensasarkan bahawa 100,000 orang akan turut serta dalam kempen mengarut itu. Mereka yang hadir rata-rata berbaju kuning dan merah. Mereka tidak lain dan tidak bukan adalah merupakan penyokong parti PAS dan PKR sendiri. Ini bermakna misi pihak pembangkang yang didukungi oleh parti PAS, PKR dan DAP serta beberapa pertubuhan NGO ini tidak berjaya mencapai matlamat. Kononnya mereka ingin menarik seberapa banyak sokongan daripada rakyat untuk mengadakan demonstarasi jalanan yang menuntut satu pilihanraya yang telus dan adil. Padahal rakyat sedikitpun tidak berminat untuk bersama-sama mereka melaksanakan misi yang hanya membuang masa dan tenaga. Sebab apa rakyat tidak berminat??? Ini kerana rakyat Malaysia sendiri sudah sedia maklum bahawasanya Malaysia masih teguh memegang prinsip sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Sistem pilihanraya Malaysia tetap cekap, telus dan adil.

Apa yang BERSIH hendak sebenarnya? BERSIH menuar-uarkan kepada orang ramai kononnya ingin melakukan perubahan terhadap corak pentadbiran negara yang ditohmah sebagai lemah dan korup. Namun sebenarnya mereka mempunyai agenda tersendiri, tersurat dan tersirat iaitu hanya semata-mata bersandarkan agenda politik mereka. Biasalah… bila diri sudah dipandang sepi, tidak lagi mendapat perhatian, pelbagai kaedah dan kempen yang hendak dilaksanakan bagi meraih sokongan orang ramai lebih-lebih lagi pilihanraya umum akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Dengan erti kata lain, perjuangan untuk kepentingan diri sendiri.

Tindakan BERSIH mengadakan perhimpunan ini bukan hanya memberi impak yang negatif terhadap negara pada pandangan negara luar tetapi ia turut menyusahkan rakyat Malaysia sendiri. BERSIH tetap degil untuk melaksanakannya walaupun pihak polis tidak mengeluarkan permit. Perhimpunan yang dikatakan aman ini tidaklah aman kerana pengumpulan ramai orang telah menyebabkan rakyat merasa takut berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti rusuhan atau pertumpahan darah. Apatah lagi perasaan para pelancong. Pastinya mereka merasakan Malaysia sudah tidak aman damai dan tidak lagi sesuai dijadikan destinasi pelancongan. Tidakkah jua BERSIH terfikir bahawa hari Sabtu dan hujung minggu adalah hari untuk orang ramai bersiar-siar di bandaraya Kuala Lumpur dan membeli-belah bersama-sama keluarga? Akibatnya pada hari tersebut banyak jalan terpaksa ditutup dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Adakah ini satu tindakan aman? Atau menyusahkan? Kepada BERSIH dan penyokong BERSIH…ambillah iktibar daripada kejadian-kejadian yang berlaku di negara luar contohnya Lubnan, Pakistan…adakah anda mahu kehidupan anda, keluarga anda, masyarakat anda, hidup dalam keadaan kucar-kacir dan penuh persengketaan? Lupakan dan tinggalkan aje kerja-kerja yang tidak mendatangkan faedah ini.

APA TUJUAN HIDRAF NI!!!

HINDRAF (Hindu Rights Action Force) atau singkatan bagi Pasukan Tindakan Hak Asasi Hindu dengan berani telah melanggar perintah mahkamah untuk meneruskan perhimpunan mereka pada 25 November lalu. Beribu-ribu penyokong kumpulan itu telah berhimpun sejak 6.30 pagi berhampiran kompleks beli-belah Berjaya Times Square untuk berarak ke Suruhanjaya Tinggi British di Jalan Ampang untuk menyerahkan petisyen mengenai dakwaan kononnya masyarakat India di Malaysia telah dipinggirkan dari pelbagai bidang. Perhimpunan haram tanpa permit yang diketuai oleh beberapa orang peguam antaranya P.Uthayakumar dan S.Ganapathi Rao itu telah mengakibatkan beberapa rusuhan dan tindakan ganas para penyokong terhadap anggota polis hingga menyebabkan kecederaan serta kerosakan harta benda awam .

Malah ada pula yang bertindak membaling batu dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis yang meminta agar mereka bersurai demi keselamatan diri sendiri dan orang awam. Akibat kedegilan mereka, pihak polis terpaksa menggunakan sedikit kekerasan iaitu dengan melepaskan gas pemedih mata dan bom air, namun amaran tersebut tetap tidak diendahkan mereka. Tindakan mereka menganjurkan perhimpunan ini sedikitpun tidak mendapat sokongan rakyat. Ini kerana perjuangan sempit mereka tidak melalui saluran yang betul dan hanya menyebabkan keadaan menjadi huru-hara dan menimbulkan kebimbangan rakyat. Rakyat menjadi takut untuk keluar rumah kerana memikirkan faktor keselamatan. Banyak kompleks beli-belah dan kedai-kedai terpaksa ditutup pada hari tersebut dan menyebabkan kerugian yang bukan sedikit kepada para peniaga. Sekatan jalan raya pula telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk yang mengundang kemarahan dan keberangan orang ramai terhadap misi kotor HINDRAF yang cuba menimbulkan sentimen perkauman ini.

Pemimpin HINDRAF telah menggunakan sentimen agama dan perkauman iaitu menegaskan kaum India dan agama Hindu tertindas di negara ini dan mundur tanpa diberi hak sama rata dengan kaum-kaum lain. Kononnya juga telah berlaku pembersihan etnik kaum India di Malaysia! Pembohongan dan fitnah yang cukup besar! Ia bukan sahaja memburukkan nama dan imej Malaysia di luar negara malah telah menarik perhatian dan campur tangan negara-negara luar, khasnya India dalam hal ehwal dalaman Malaysia. Walau bagaimanapun Kerajaan Malaysia bijak menangani kemelut ini. Mereka yang bersalah telah ditangkap dan didakwa di mahkamah. Di samping itu, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga telah digunapakai demi menjaga keharmonian dan kestabilan negara.

RUSUHAN BUKAN BUDAYA MALAYSIA

Tragedi rusuhan yang dilakukan oleh penyokong parti PAS anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH) di Batu Burok dan Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada malam 8 September lalu wajar dikutuk dan dikecam oleh seluruh rakyat Malaysia. Imej Malaysia yang sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni kini telah tercalar dek kerana perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab dan bertindak tanpa kawalan perasaan. Pengikut parti pembangkang itu dengan berani telah merusuh dan bertindak agresif terhadap anggota polis setelah diarahkan bersurai daripada menghadiri perhimpunan politik secara haram tanpa permit. Perhimpunan yang dihadiri oleh kira-kira 500 orang itu telah menyaksikan seramai tujuh orang termasuk empat anggota polis telah tercedera akibat dipukul oleh perusuh dengan pelbagai objek tajam seperti besi, batu, kayu dan botol kaca. Malahan mereka turut melontarkan bom Molotov ke arah anggota keselamatan kerana enggan bersurai. Tindakan agresif penyokong parti tersebut telah menyebabkan pihak polis mengeluarkan senjata dan melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Perbuatan perusuh-perusuh berkenaan bukan hanya boleh mengakibatkan kecederaan kepada anggota keselamatan dan orang awam tetapi juga mereka turut mengambil kesempatan merosakkan harta benda awam dengan mencabut pokok-pokok hiasan, pasu bunga dan menumbangkan lampu isyarat. Lebih dahsyat lagi, ada yang telah membakar bendera Jalur Gemilang! Kelakuan yang sungguh biadap ini seakan-akan menghina negara sendiri. Perbuatan yang tidak bermaruah dan sungguh mengaibkan. Wajarlah mereka ditangkap dan diberi kaunseling agar lebih tahu berbudi, menghormati dan menyayangi tanahair sendiri. Perbuatan yang ditonjolkan perusuh-perusuh ini adalah merupakan tindakan yang tidak berbudaya. Walaupun ketika itu kemarahan mereka begitu meluap-luap namun mereka seharusnya bersikap lebih sabar dan tenang. Ini kerana terdapat saluran tertentu untuk dinyatakan pendapat dan perasaan mereka, bukannya dengan melakukan tindakan yang membabi-buta tanpa menghiraukan aspek-aspek keselamatan diri, orang awam dan memusnahkan harta benda awam yang melibatkan kerugian bukan sedikit.

Namun begitu, insiden ini telah menarik minat pembangkang untuk memprovokasi dan mensensasikan keadaan. Mereka mula menguar-uarkan bahawa Kerajaan bertanggungjawab terhadap insiden tersebut. Kononnya Kerajaan telah mengarahkan pihak polis untuk bertindak ganas sedangkan realitinya para penyokong mereka yang telah menghuru-harakan perhimpunan, bersikap degil dan keras kepala. Perintah bersurai diarahkan secara baik namun mereka masih tidak berganjak bahkan semakin bertindak agresif.

Walau apapun dakyah dan taktik yang dicanangkan oleh pihak pembangkang, Kerajaan masih tetap kukuh dan mampu memelihara rakyat daripada anasir-anasir jahat dan tidak diingini. Kredibiliti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam memerangani jenayah dan mewujudkan kestabilan serta keamanan juga masih disanjung tinggi dan dipercayai oleh seluruh lapisan rakyat. Waima rakyat Malaysia sendiri tidak sukakan keganasan dan mengutuk tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab dalam insiden tersebut. Ditegaskan di sini bahawa demonstrasi tidak aman seperti rusuhan bukanlah budaya rakyat Malaysia. Kita patut berbangga kerana terkenal di persada dunia sebagai sebuah bangsa yang berhemah tinggi dan baik budi pekerti.