Tuesday, April 8, 2008

PAK LAH RUNGKAI PUNCA UNDI MEROSOT BN

Kini segalanya terungkai sudah. Khabar-khabar angin, berita-berita palsu tentang punca kejatuhan lima buah negeri ke tangan pembangkang pada Pilihan raya Umum Ke-12 (PRU 12) baru-baru ini telah dijawab oleh YAB Presiden BN merangkap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 6 April 2008 bertempat di PWTC, di hadapan kira-kira 3,000 hadirin termasuklah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, para perwakilan, pegawai penerangan UMNO dan beberapa agensi lain. Sebelum ini Dato' Seri Abdullah hanya mendiamkan diri apabila pelbagai hentaman dan kutukan dilemparkan terhadap BN dan UMNO khususnya mengenai kepimpinan beliau.
Penjelasan panjang lebar beliau mengenai punca kemerosotan prestasi BN dan UMNO pada pilihan raya lalu sesungguhnya amat mengejutkan. Punca utama prestasi buruk BN dalam PRU 12 ialah akibat perbuatan sabotaj oleh ahli UMNO sendiri. Perbuatan khianat yang tidak seharusnya diampun dan wajib dikenakan tindakan yang sewajarnya. Tidak disangka-sangka punca dalaman UMNO menjadi faktor utama BN kehilangan 14 kerusi Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kawasan yang sebelum ini diisytiharkan putih dan dijamin meraih kemenangan malangnya terlepas ke tangan pembangkang iaitu negeri Perak dan Kedah sekali gus memusnahkan impian untuk mendapat kemenangan majoriti dua pertiga seperti PRU 11, 2004. Perbuatan mensabotaj parti sendiri ini sungguh dikesali dan susulan tindakan disiplin akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat.
Faktor lain yang dikenalpasti ialah isu-isu yang sering dibangkitkan dalam kempen pilihan raya iaitu kenaikan harga minyak dan harga barang masih tidak difahami oleh rakyat meskipun banyak penjelasan telah dibuat di mana Kerajaan telah bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai kaedah bagi meringankan beban rakyat seperti memberi subsidi, memberi lesen niaga dan bantuan-bantuan lain. Isu agama, perkauman, HINDRAF dan DEB turut menjadi punca kepada kehilangan undi rakyat terhadap BN. Rakyat bukan berbangsa Melayu terutamanya Cina dan India merasakan bahawa Kerajaan telah mengabaikan mereka dan hanya mementingkan orang Melayu sekali gus kebencian berasaskan kaum serta agama semakin menjadi-jadi dalam kempen pilihan raya lalu. Sedangkan Kerajaan telah sedaya upaya memenuhi keperluan dan kehendak semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama secara adil dan saksama. Namun dakyah pembangkang telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat.
Sekarang, tibalah masanya untuk BN dan UMNO mengorak langkah yang lebih progresif dalam memperbaiki dan memulihkan parti. Segala janji kepada rakyat haruslah dikotakan. YAB Dato' Seri Abdullah dan barisan kepimpinan negara sedia ada perlu diberi ruang dan peluang untuk menjayakan semua perancangan yang telah diatur demi kebaikan rakyat dan negara. Pihak luar dialu-alukan untuk memberi nasihat dan pandangan bagi mempertingkatkan kredibiliti Kerajaan dalam mentadbir negara, namun janganlah keterlaluan dan bersifat menghentam kerana dikhuatiri ia akan memburukkan keadaan. UMNO pula perlu terus maju, dipelihara, dijaga dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa serta sentiasa relevan untuk bangsa Melayu.

No comments: