Tuesday, April 29, 2008

Tangani Krisis Kekurangan Bekalan Beras

Dunia kini berdepan dengan krisis makanan yang agak merunsingkan. Belum pun selesai isu peningkatan harga minyak mentah global, kini terpaksa menangani pula isu kekurangan bekalan makanan.

Krisis terbaru yang hebat dibincangkan di seluruh dunia pada hari ini ialah masalah kekurangan bekalan beras dunia yang mana sekali gus telah mengakibatkan peningkatan harganya. Vietnam, pengeksport terbesar beras selepas Thailand telah menggantung eksport beras akibat daripada pengeluaran padinya terjejas teruk kerana kemarau dan serangan serangga. Harga beras dunia kini semakin meningkat naik dan dijangka akan terus meningkat dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kesukaran memenuhi permintaan yang tinggi di samping untuk meningkatkan pengeluaran dalam masa yang singkat.

Pastinya tempias ini turut mengenai Malaysia. Sementelahan lagi Malaysia juga merupakan negara pengimport beras dari Vietnam dan Thailand. Sungguhpun Malaysia turut mengeluarkan hasil beras, namun ia tidak mencukupi untuk menampung bekalan keperluan bagi rakyat negara ini. Harga beras di pasaran tempatan telah meningkat lebih 20 peratus sejak minggu lepas terutama harga beras import. Kerajaan tidak dapat mengawal kenaikan harga beras import kerana harga beras ditentukan oleh negara pengeluar dan pasaran dunia. Kerajaan hanya berkuasa untuk mengawal harga beras tempatan yang mengandungi 15 peratus beras hancur.

Justeru, di sinilah peranan yang boleh atau patut dimainkan oleh rakyat Malaysia sendiri. Rakyat Malaysia atau pengguna perlulah menggunakan kebijaksanaan masing-masing dalam mengurus keperluan dan kegunaan barangan keperluan bersesuaian dengan keadaan penawaran yang agak terhad pada ketika ini. Pengguna perlu mengelakkan pembaziran dan membeli barangan makanan sekadar keperluan asas sahaja.

Rakyat juga disaran untuk berbakti kepada tanah dengan mengusahakan tanaman sayur-sayuran, buah-buahan atau menternak ayam itik di kawasan-kawasan tanah yang terbiar untuk kegunaan sendiri. Langkah ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebergantungan barangan keperluan di pasaran.

Cadangan kerajaan untuk menjadikan negeri Sarawak sebagai negeri jelapang padi selepas Kedah adalah satu kaedah yang amat bijak dalam menangani krisis kekurangan bekalan beras negara. Oleh yang demikian diharap kerajaan akan segera melaksanakan cadangan tersebut sebelum keadaan menjadi semakin meruncing sehingga menjejaskan bekalan beras keperluan rakyat Malaysia. Teknologi-teknologi terkini seperti jentera dan benih yang terbaik haruslah diguna pakai bagi mempercepatkan pengeluaran beras negara.




No comments: