Monday, April 28, 2008

Suruhanjaya Pelantikan Hakim - Relevan

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim yang diumumkan kerajaan pada pertengahan April lalu diharap tidak dimanipulasi dan menjadi isu kepada pihak pembangkang. Keputusan ini adalah sejajar dengan janji-janji kerajaan dalam PRU 12 yang lalu iaitu untuk meningkatkan lagi imej dan fungsi institusi kehakiman negara.
Suruhanjaya Pelantikan Hakim ini berperanan untuk mencalonkan, melantik dan menaikkan pangkat hakim secara telus dan diwakili.
Pembentukan suruhanjaya ini merupakan satu langkah ke depan yang penting kerana pembaharuan atau perubahan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi itu adalah bermakna kerajaan sedar bahawa badan kehakiman negara mempunyai kewibawaan yang tinggi dan sistem kehakiman negara boleh bertindak dari segi membuat keputusan dengan cepat. Hakim-hakim kita pula sememangnya mempunyai kredibiliti dan kebolehan tinggi yang dilantik di pelbagai peringkat.
Suruhanjaya ini adalah berkapasiti sebagai penasihat. Ini kerana kuasa muktamad adalah terletak kepada Perdana Menteri untuk mengemukakan cadangan rasmi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Ini bermakna Perdana Menteri mempunyai sekumpulan orang yang amat bijaksana dan terbilang untuk memberikan pendapat mengenai kesesuaian melantik seseorang bagi memegang pelbagai jawatan dalam badan kehakiman negara.
Sesungguhnya fungsi suruhanjaya ini amat relevan dalam memastikan ketelusan memilih hakim berdasarkan latar belakang dan kredibiliti mereka melalui pandangan bijak pelbagai pihak sekaligus berupaya membersihkan nama dan meningkatkan lagi martabat institusi kehakiman negara.

No comments: