Thursday, April 3, 2008

PERHIMPUNAN AMAN “BERSIH” – AMAN ATAU MENYUSAHKAN?

Nampaknya Perhimpunan jalanan BERSIH (Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil) pada 10 November 2007 yang lalu tidak begitu menarik perhatian umum untuk menyertainya. Jumlah yang hadir hanya seramai 4,000 orang sedangkan BERSIH mensasarkan bahawa 100,000 orang akan turut serta dalam kempen mengarut itu. Mereka yang hadir rata-rata berbaju kuning dan merah. Mereka tidak lain dan tidak bukan adalah merupakan penyokong parti PAS dan PKR sendiri. Ini bermakna misi pihak pembangkang yang didukungi oleh parti PAS, PKR dan DAP serta beberapa pertubuhan NGO ini tidak berjaya mencapai matlamat. Kononnya mereka ingin menarik seberapa banyak sokongan daripada rakyat untuk mengadakan demonstarasi jalanan yang menuntut satu pilihanraya yang telus dan adil. Padahal rakyat sedikitpun tidak berminat untuk bersama-sama mereka melaksanakan misi yang hanya membuang masa dan tenaga. Sebab apa rakyat tidak berminat??? Ini kerana rakyat Malaysia sendiri sudah sedia maklum bahawasanya Malaysia masih teguh memegang prinsip sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Sistem pilihanraya Malaysia tetap cekap, telus dan adil.

Apa yang BERSIH hendak sebenarnya? BERSIH menuar-uarkan kepada orang ramai kononnya ingin melakukan perubahan terhadap corak pentadbiran negara yang ditohmah sebagai lemah dan korup. Namun sebenarnya mereka mempunyai agenda tersendiri, tersurat dan tersirat iaitu hanya semata-mata bersandarkan agenda politik mereka. Biasalah… bila diri sudah dipandang sepi, tidak lagi mendapat perhatian, pelbagai kaedah dan kempen yang hendak dilaksanakan bagi meraih sokongan orang ramai lebih-lebih lagi pilihanraya umum akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Dengan erti kata lain, perjuangan untuk kepentingan diri sendiri.

Tindakan BERSIH mengadakan perhimpunan ini bukan hanya memberi impak yang negatif terhadap negara pada pandangan negara luar tetapi ia turut menyusahkan rakyat Malaysia sendiri. BERSIH tetap degil untuk melaksanakannya walaupun pihak polis tidak mengeluarkan permit. Perhimpunan yang dikatakan aman ini tidaklah aman kerana pengumpulan ramai orang telah menyebabkan rakyat merasa takut berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti rusuhan atau pertumpahan darah. Apatah lagi perasaan para pelancong. Pastinya mereka merasakan Malaysia sudah tidak aman damai dan tidak lagi sesuai dijadikan destinasi pelancongan. Tidakkah jua BERSIH terfikir bahawa hari Sabtu dan hujung minggu adalah hari untuk orang ramai bersiar-siar di bandaraya Kuala Lumpur dan membeli-belah bersama-sama keluarga? Akibatnya pada hari tersebut banyak jalan terpaksa ditutup dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Adakah ini satu tindakan aman? Atau menyusahkan? Kepada BERSIH dan penyokong BERSIH…ambillah iktibar daripada kejadian-kejadian yang berlaku di negara luar contohnya Lubnan, Pakistan…adakah anda mahu kehidupan anda, keluarga anda, masyarakat anda, hidup dalam keadaan kucar-kacir dan penuh persengketaan? Lupakan dan tinggalkan aje kerja-kerja yang tidak mendatangkan faedah ini.

No comments: