Isu kenaikan harga barang terutamanya beras begitu dirasai dan merisaukan orang ramai sejak kebelakangan ini. Kenaikan harga makanan ruji ini akan memberi kesan kepada kos kehidupan seharian. Walaupun Bernas mengumumkan kenaikan harga beras, para pengguna tiada pilihan lain, terpaksa juga membelinya kerana beras merupakan barangan keperluan harian. Namun begitu lain pula yang berlaku di sesetengah kawasan. Terdapat segelintir pekedai runcit yang menaikkan harga beras dengan tidak mengikut kadar yang telah ditetapkan.
Dengan erti kata lain, pekedai-pekedai ini ingin mengambil kesempatan di atas kesulitan pengguna. Sudahlah pengguna dibebani dengan pelbagai kenaikan harga barang-barang lain, pekedai dengan mudah pula menaikkan harga beras sesuka hati. Bagaimana nasib keluarga susah dan mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai pula. Sudah pasti akan menambahkan beban mereka. Jelas, secara tidak langsung ia akan memberi impak kepada kehidupan sosial masyarakat dan ekonomi negara.
Sukalah saya ingin menasihatkan golongan pekedai agar lebih bersifat toleransi dan mengambil kira masalah pengguna berhubung perkara ini. Janganlah terlalu mengejar keuntungan duniawi hingga hilang rasa perikemanusiaan. Masalah kekurangan bekalan beras ini adalah masalah global dan patuhilah saranan-saranan kerajaan demi kepentingan bersama. Biarkan kerajaan menjalankan tugasnya dalam menangani isu ini dan jangan ditambah-tambahkan lagi kemelut yang membelenggu jiwa rakyat dengan masalah sebegini.
No comments:
Post a Comment