Belum pun usai isu-isu berbangkit mengenai keputusan Pilihan raya Umum Ke-12 (PRU 12), kini negara kita kecoh pula dengan isu projek penternakan babi di negeri Selangor yang akan dilaksanakan secara besar-besaran atau dengan kata lain sebagai projek mega. Selangor, negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat dengan bangganya telah mengumumkan projek berkenaan akan dilaksanakan di Sepang, di sebuah kawasan ladang berskala besar sekali gus mungkin akan menjadi negeri pengeksport babi di Malaysia. Dikatakan bahawa projek itu amat mengambil kira kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Tiada diskriminasi berasaskan kaum di negeri Selangor. Inilah yang menjadi prinsip parti Pakatan Rakyat-gabungan PKR, PAS dan DAP dan itulah juga yang sering dilaung-laungkan dalam kempen pilihan raya yang lalu. Prinsip untuk mewujudkan sebuah negeri yang harmoni, semua rakyat bersatu hati dan hidup dalam keadaan yang ceria memanglah satu tujuan yang murni. Tetapi setiap perkara yang ingin dibuat atau dilaksana perlulah mengambil kira sensitiviti masyarakat atau rakyat yang dipayungi.
Projek ternakan babi secara mega itu mendapat bantahan dan tidak disenangi oleh banyak pihak khususnya penduduk Melayu di kawasan sekitar. Lokasi ladang yang akan diternak babi itu begitu dekat dengan perkampungan orang Melayu yang mana akan menjejaskan kehidupan mereka baik dari segi kesihatan mahupun sumber pendapatan. Rata-rata mereka bekerja kampung seperti bertani dan menangkap ikan. Dikhuatiri sisa kumbahan babi akan mengalir ke sungai-sungai dan menimbulkan bau yang busuk. Sungguhpun kerajaan negeri menguar-uarkan bahawa ladang babi itu akan diusahakan secara moden dan tidak akan mencemarkan alam sekitar, namun jaminan itu tidak mencukupi dan tidak mampu membendung kegelisahan penduduk. Ini kerana projek itu dilihat terlalu berisiko. Apa akan jadi jika ia tidak berjaya diternak secara moden? Atau sekadar hangat-hangat tahi ayam? Sudah pastilah penduduk sekitar yang akan menerima bahananya. Jika berlaku sedemikian, adakah kerajaan negeri akan bertindak dengan pantas untuk menyelesaikannya?
Mungkin inilah hadiah dari Pakatan Rakyat untuk para pengundinya di negeri Selangor. Mungkin inilah pembaharuan yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat. Dulu Melaka merupakan negeri terbesar menternak babi tapi kini status itu ingin direbut pula oleh negeri Selangor. Mungkin juga ia bertujuan untuk menjana pendapatan negerinya. Atau mungkin juga Menteri Besar Selangor dari PKR ini terpaksa rela bersetuju meluluskan projek tersebut kerana desakan rakan pakatannya, DAP? Mungkin ada banyak sebab lagi. Tunggu dan lihat sahajalah.
No comments:
Post a Comment