Friday, November 28, 2008

Arak: Dewan Ulama Pas kecewa keputusan Selangor

KOTA BHARU 27 Nov. – Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamed Daud hairan dengan Kerajaan Selangor yang terlalu sukar untuk menerima cadangan parti itu berhubung peraturan membataskan jualan minuman beralkohol di negeri tersebut.

Beliau berkata, cadangan peraturan tersebut hanya melibatkan umat Islam dan tidak timbul masalah dengan masyarakat beragama lain kerana mereka masih bebas mengamalkan cara hidup sendiri.

“Pas tidak mempunyai kuasa ke atas DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun kita sama-sama berada dalam pakatan pembangkang, jadi kita hanya mampu memberikan cadangan dan terpulang kepada kerajaan yang memerintah untuk menerimanya.

“Keputusan berhubung peraturan penjualan minuman keras dan mengurangkan premis judi di lima buah negeri pakatan pembangkang dibuat ketika muktamar tahunan parti Pas baru-baru ini, dan ia memang menjadi hasrat parti untuk melihat negeri-negeri di bawah pakatan untuk melaksanakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan campuran Selangor di bawah pimpinan PKR yang menolak usaha Pas Selangor untuk memperkenalkan peraturan membataskan jualan arak berkuat kuasa Januari depan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan alasan keputusan itu terpaksa dibuat kerana penduduk di negeri itu terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disebut sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang meluluskan usul berkenaan yang bakal berkuat kuasa Januari depan.

Bagaimanapun, usaha murni itu dikecam DAP apabila ketua publisitinya, Tony Pua menyifatkan Pas sebagai bongkak dan sukar bekerjasama kerana tidak merujuk terlebih dahulu dengan parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.

Sumber: Utusan Malaysia (28 Nov. 2008)
****************************************

Jelas Pakatan Rakyat tidak ada kesepakatan dalam membuat dan melaksanakan sesuatu keputusan. PAS, PKR dan DAP sudah acap kali bertelagah. Wajarlah parti gabungan mereka ini ditukar kepada PTS (Pakatan Tidak Sepakat) atau nama-nama lain yang lebih sesuai. PAS dilihat ingin melaksanakan dasar-dasar dan syariat Islam dalam pentadbirannya tetapi PKR pula (walaupun ketuanya adalah orang Melayu dan beragama Islam) lebih sekular kononnya bersikap toleransi dan mengambil kira kepentingan serta kemahuan kaum/agama lain.

PKR sebenarnya umpama 'lembu yang dicucuk hidung' oleh DAP. PKR lebih gemar mengikut kata DAP dan lebih suka menjaga hati parti gabungan Pakatan Rakyat yang satu ini berbanding untuk bekerjasama dengan parti PAS. PAS pula umpama 'anak tiri' yang dikesampingkan...

Apa itu Yoga?

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

YOGA, satu istilah yang sinonim dengan gaya senaman tersendiri mutakhir ini. Jika dulu ia terbatas kepada kaum tertentu, kini pelbagai pihak cuba mengamalkannya kerana dikatakan mendapat ketenangan melalui senaman itu.

Faktor kesihatan dan ketenangan yang diperoleh melalui senaman yoga menyebabkan masyarakat berbilang agama termasuk umat Islam tertarik dan melakukan aktiviti terbabit. Tetapi apa sebenarnya yoga?

Kamus Dewan (Edisi Keempat) menyatakan yoga ialah sistem falsafah Hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran (seperti dengan bertafakur) melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran.

Ia juga membawa maksud senaman pelbagai cara untuk menenangkan fikiran, seperti bertafakur, terutama satu siri senaman gerak badan yang bertujuan mewujudkan keadaan badan dan fikiran yang sihat.

Menurut sebuah ensiklopedia, yoga merujuk kepada disiplin tradisional berkaitan fizikal dan mental yang berasal dari India; matlamat yang dicapai melalui disiplin ini; dan satu dari enam fahaman ortodoks (astika) dalam falsafah Hindu.

Istilah yoga dalam bahasa Sanskrit, berasal dari kata yuj, memberikan banyak makna seperti mengawal, menggalas dan menyatukan. Terjemahannya termasuk bergabung, bersatu, kesatuan, penghubung, jalan atau cara.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa, berkata Yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa kerana percaya yoga boleh menyatukan mereka dengan tuhan.

Yoga dikatakan mempunyai beberapa cabang, antaranya Raja Yoga, Karma Yoga, Jnana Yoga, Bhakti Yoga dan Hatha Yoga.

Raja Yoga disusun dalam Sutra Yoga Patanjali dan dikenali sebagai yoga dalam konteks falsafah Hindu adalah sebahagian tradisi Samkhya.

Banyak teks Hindu membincangkan aspek yoga, termasuk Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, Hatha Yoga Pradipika, Shiva Samhita dan pelbagai Tantra.

Di luar India, istilah yoga sering disamakan dengan Hatha Yoga dan gaya posisi tubuh (asana) atau suatu bentuk senaman. Seorang pengamal Yoga dipanggil Yogi (uniseks) atau Yogini (perempuan).

Senaman yoga yang diperkenalkan sekitar 3,300 Sebelum Masihi dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Bagaimanapun, kebanyakan pergerakannya berdasarkan unsur dalam agama Hindu, dikhuatiri boleh memesongkan akidah bagi mereka beragama Islam yang mengamalkannya.

“Mengapa kita perlu mencari alternatif lain untuk bersenam dan ketenangan? Jika silap cara, yoga boleh memesongkan akidah kerana pergerakannya mengikut gaya dan tradisi agama Hindu,” kata Zakaria.

Ketika kebanyakan amalan mistik kuno secara samar-samar diisyaratkan dalam Veda, amalan pertapaan dirujuk dalam Brahmaas.

Rig Veda, teks Hindu paling awal menyatakan amalan terbabit. Pengawalan minda dan pernafasan dipercayai diamal sejak zaman Vedic (zaman Vedic ialah zaman dalam sejarah India sepanjang Veda, teks Hindu yang paling lama digubah).

Penulis popular mengenai yoga, Georg Feuerstein mempercayai yoga menjadi asas kepada upacara Vedic, khususnya untuk ratib zikir suci.

Dalam Upanishad, rujukan yang awal terhadap meditasi dibuat dalam Brihadaranyaka Upanishad, satu daripada Upanishad yang terawal.

Sumber naskhah utama bagi mengembangkan konsep yoga adalah pertengahan Upanishad, Mahabharata, termasuk Bhagavad Gita dan Sutra Yoga Patanjali.

Beberapa pengesahan ditemui di kawasan Peradaban Lembah Indus memaparkan gambaran dalam yoga atau meditasi seperti gaya posisi tubuh, ‘satu bentuk disiplin ritual, yang mencadangkan yoga’ iaitu titik kepada pemujaan Harappan kepada ‘disiplin ritual dan konsentrasi’, menurut ahli arkeologi Gregory Possehl.

Bhagavad Gita (Nyanyian Tuhan), menggunakan terma yoga dengan meluas dalam pelbagai cara. Sebagai sesuatu yang ditambah kepada seluruh bab (ch 6) mendedikasikan kepada amalan yoga tradisional, termasuk meditasi, ia memperkenalkan tiga jenis yoga yang menonjol, iaitu Karma yoga (yoga tindakan/aksi), Bhakti yoga (yoga pemujaan) dan Jnana yoga (yoga pengetahuan).

Madhusudana Sarasvati, seorang ahli falsafah India dalam tradisi Advaita Vedanta (aliran falsafah Hindu) membahagikan Gita kepada tiga seksyen, dengan enam bab pertama berkaitan Karma yoga, enam pertengahannya dengan Bhakti yoga dan enam yang terakhir dengan Jnana.

Pengkritik lain menyifatkan yoga yang berbeza pada setiap bab, dengan menggariskan lapan belas yoga berbeza.

Hatha Yoga adalah sistem yoga khusus digambarkan oleh Yogi Swatmarama, penyusun Hatha Yoga Pradipika pada kurun ke-15 India.

Hatha Yoga berbeza dari yoga Raja Patanjali kerana ia memfokus terhadap shatkarma (merujuk kepada amalan yoga membabitkan penyucian tubuh badan) penyucian fizikal badan sebagai peneraju kepada penyucian minda (ha) dan pernafasan (prana) atau tenaga yang penting (tha).

Dibandingkan dengan gaya posisi tubuh yang duduk atau berdiri, yoga Raja Patanjali, ia menandakan pembangunan gaya posisi tubuh sebagai gaya sepenuh badan yang kini menjadi popular.

Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut, ketika mengkritik persoalan ini membabitkan umat Islam, berkata senaman yoga perlu diharamkan kerana bercanggah dengan akidah, syariat serta akhlak Islam dan wajib ditinggalkan individu yang sudah mengamalkannya.

Bahkan menurutnya, mereka yang terbabit dengan aktiviti itu perlu segera bertaubat kepada Allah kerana sudah melakukan perkara yang salah di sisi Islam.

“Bukan saja pengamal yoga, malah pengusaha pusat kecergasan yang beragama Islam juga perlu menghentikan perkhidmatan senaman ini kerana ia bercanggah dengan Islam dan boleh memesongkan akidah.

“Keputusan mengharamkan senaman ini juga tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia bertujuan menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam,” katanya.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ada mengeluarkan fatwa mengenai yoga, dengan mengklasifikasikannya sebagai perkara bidaah yang menyesatkan.

“Yoga adalah antara perkara bidaah yang digolongkan ke dalam bidaah dhalalah. la mengandungi unsur agama Hindu.

Segala perkara yang mengandungi unsur syirik dan boleh merosakkan kepercayaan (iktikad) seperti yang menganjurkan kepada persemadian kepada yang bukan mengingati Allah adalah dilarang dan hukumnya haram.”

Bagi Malaysia, fatwa rasmi mengenainya akan diumumkan Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini.

Sumber: Harian Metro (28 Nov. 2008)

*************************************

Fatwa rasmi mengenai hukum amalan Yoga di Malaysia akan diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada hari ini apabila mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Hari Raya Haji 8 Dis

KUALA LUMPUR - Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah semalam mengisytiharkan Hari Raya Aidiladha bagi seluruh Malaysia ditetapkan Isnin, 8Disember ini.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja- Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijjah 1429 Hijrah ialah pada 29November 2008 Masihi.

"Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijjah) bagi seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 8 Disember," menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. - Bernama

************************

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA KEPADA UMAT ISLAM SELURUH DUNIA. KEPADA UMAT ISLAM YANG PERGI MENGERJAKAN IBADAT HAJI DI MEKAH DIDOAKAN SEMOGA MENDAPAT HAJI YANG MABRUR. SELAMAT PERGI DAN SELAMAT KEMBALI KE TANAH AIR.

Thursday, November 27, 2008

'Ikan rakyat biasa' mahal


KUALA LUMPUR - Sudahlah kalangan peniaga begitu liat menururnkan harga barangan walaupun harga minyak telah lima kali turun, perangai yang sama juga 'dicontohi' peniaga ikan.

Malah tinjauan Kosmo! mendapati harga ikan-ikan tertentu terutama yang membabitkan 'ikan-ikan yang dimakan rakyat biasa'seperti cencaru, selar dan kembung melambung harganya.

Jika dahulu alasan yang diberikan kerana harga minyak naik, namun kini mereka mencari alasan lain pula termasuk faktor bulan mengambang menyebabkan tangkapan berkurangan.

Bukan mahu menakutkan mana-mana pihak, namun itu realitinya. Tinjauan di beberapa pasar utama di seluruh negara mendapati rata-rata ikan mengalami kenaikan harga dan sesetengahnya sehingga 50 peratus.

Malah jangan harap pelanggan akan membeli ikan kembung berharga RM6 sekilogram seperti yang dapat dinikmati setahun lalu sebaliknya kini telah melambung sehingga RM12 sekilogram.

Peniaga ikan menuding jari kepada pemborong kerana didakwa meletakkan harga yang tinggi manakala pemborong pula menyalahkan pembekal.

Pembekal pula menyalahkan nelayan dan nelayan mendakwa faktor bulan mengambang punca bekalan semakin susut sejak kebelakangan ini.

Apa pun, kenaikan harga ikan ini didakwa terburuk berlaku sepanjang 10 tahun kebelakangan ini dan akibatnya permintaan terhadapnya semakin menurun mendadak termasuk di kalangan peniaga kedai makan.

Sumber: Kosmo Online (27 November 2008)

***************************************

Inilah karenah-karenah peniaga-peniaga yang terlalu tamakkan keuntungan. Mereka masih lagi liat untuk menurunkan harga barang meskipun harga minyak petrol dan diesel telah lima kali mengalami penurunan. Pelbagai alasan diberi dan saling menyalahkan antara pihak yang lain.

Beban rakyat dalam menghadapi kemelut krisis ekonomi tidak diambil peduli. Sewajarnya pihak atau agensi-agensi yang berkenaan meningkatkan pemantauan dan menguatkuasakan undang-undang yang lebih khusus perihal isu ini.

Fahami inti pati fatwa

KUALA LUMPUR 26 Nov. — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak memahami intipati fatwa yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan amalan yoga dan tidak memutarbelitkan fakta sehingga membuat rakyat terkeliru.

Perdana Menteri berkata, bagi umat Islam yang mengamalkan senaman yoga tetapi tidak menggunakan sebarang bentuk mantera, mereka boleh meneruskan aktiviti tersebut kerana ia adalah untuk kebaikan kesihatan mereka.

“Saya ingin tegaskan bahawa amalan fizikal tanpa sebarang unsur-unsur pemujaan boleh diteruskan, ertinya tidak diharamkan. Saya percaya umat Islam tidak mudah untuk disyirikkan,” katanya kepada Bernama apabila dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pelbagai pandangan dan kekeliruan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan yoga untuk umat Islam kerana ia melibatkan unsur mantera dan pemujaan.

Perdana Menteri berkata, masyarakat bukan Islam tidak perlu berkecil hati mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu kerana ia adalah berkaitan dengan masyarakat Islam semata-mata.

“Apa yang saya fahami daripada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu adalah untuk memberi penjelasan kepada umat Islam yang terlibat dalam senaman yoga, “ katanya.

Abdullah berkata, beliau turut memahami bahawa keputusan untuk melaksanakan fatwa itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Pengumuman mengenai pengharaman yoga untuk umat Islam itu dibuat oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin pada Sabtu lepas.

– Bernama

***************************

YAB PM DATO' SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI MENYATAKAN BAHAWA SENAMAN YOGA YANG MELIBATKAN UNSUR-UNSUR MANTERA DAN PEMUJAAN ADALAH HARAM UNTUK DIIKUTI OLEH UMAT ISLAM. TETAPI SENAMAN/AMALAN FIZIKAL TANPA UNSUR-UNSUR SEDEMIKIAN BOLEH DILAKUKAN KERANA IA ADALAH UNTUK MENJAGA KESIHATAN DAN MENINGKATKAN KECERGASAN TUBUH BADAN.

Wednesday, November 26, 2008

Atasi isu pekerja asing

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Seorang Ahli Parlimen hari ini melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih gagal menyelesaikan isu kebanjiran pekerja asing yang sudah bertahun-tahun membelenggu negara ini.

Malah dengan nada berang, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut menempelak Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad kerana memberikan jawapan terlalu panjang dan berjela-jela berhubung isu itu.

‘‘Jawapan panjang tetapi tidak sampai ke lubuk hati. Saya tak nak berlakon dalam perkara ini.

‘‘Sebagai rakyat Malaysia, kita mahu satu penyelesaian dicari terhadap tanggapan bahawa negara ini adalah syurga bagi warganegara asing untuk mencari nafkah tetapi neraka bagi rakyat kita sendiri,” katanya semasa mencelah pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamad, sudah bertahun-tahun kementerian itu memaklumkan akan menyelesaikan isu kehadiran ramai pekerja asing tetapi sehingga kini tiada tindakan konkrit dibuat.

Beliau yang sudah 18 tahun menjadi wakil rakyat termasuk sembilan tahun sebagai Ahli Parlimen juga kesal kerana sehingga kini tiada sebarang langkah tegas diambil bagi memastikan pekerja rakyat tempatan mendapat gaji munasabah iaitu lebih tinggi berbanding golongan miskin tegar.

Tindakan Mohamad yang berkali-kali meninggikan suara kepada Noraini itu ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mahukan sikap sedemikian dihentikan.

Dalam pada itu, Noraini yang menjawab soalan asal Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) menjelaskan, pendapatan purata asas setiap pekerja di negara ini adalah berbeza mengikut sektor dan ia juga berdasarkan proses rundingan antara persatuan majikan dan kesatuan sekerja.

Katanya, pendapatan purata asas adalah sebanyak RM573 sebulan bagi pekerja kedai kopi, RM628 sebulan (pertanian), RM697 sebulan (perhotelan), RM853 sebulan (pasar raya) dan RM952 sebulan (pembinaan).

Sementara itu, sesi soal jawab bertukar suasana kepada ceria apabila Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) yang bangun untuk mengemukakan soalan seterusnya, memaklumkan bahawa hari ini adalah tarikh lahirnya.

Sumber: Utusan Malaysia (26 Nov. 2008)

**************************************

Sewajarnya kadar gaji pekerja-pekerja rakyat tempatan disemak atau dikaji semula sejajar dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini dan mereka perlu diberi sejumlah pendapatan yang berpatutan. Kajian mengenai perkara ini pula janganlah mengambil masa yang lama. Dalam hal ini isu rakyat tempatan yang dikatakan kononnya memilih pekerjaan yang 'senang-senang' dan bergaji mahal tidak harus dibangkitkan lagi kerana kita sendiri sedia maklum ramai graduan universiti yang masih tidak mendapat kerja yang bersesuaian dengan kelulusan ijazah mereka namun tetap juga bekerja di syarikat-syarikat yang menawarkan gaji yang kecil. Begitu juga dengan mereka yang berkelulusan SPM, STPM dan sebagainya. Semuanya ingin mencari pekerjaan yang boleh menampung kehidupan diri serta keluarga.

Isu kebanjiran pendatang/pekerja asing juga perlu diberi perhatian kerana kedatangan mereka hanya menyempitkan peluang dan ruang untuk rakyat kita mencari rezeki di tanah airnya sendiri. Di samping itu kewujudan mereka yang terlalu ramai di bandar-bandar utama khususnya Kuala Lumpur begitu menakutkan kerana mengundang risiko pelbagai kes jenayah.

Mahasiswa Lelaki Semakin Pupus?

MP Rembau pada hari ini di Dewan Rakyat mengulangi soalan berkisar ketidakseimbangan jumlah mahasiswa (pelajar lelaki) berbanding mahasiswi (pelajar perempuan) di IPTA. Soalan beliau diperjelaskan oleh MP Tangga Batu (Tim. Menteri Pengajian Tinggi).

MP Tangga Batu memaklumkan bahawa statistik mahasiswa lelaki dan perempuan di IPTA adalah kompetitif. Ini adalah kerana laluan bagi memasuki IPTA adalah terhad bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Bilangan mahasiswi adalah sebanyak 61% manakala pelajar lelaki hanya sebanyak 39%. Jurang ini adalah disebabkan pelajar perempuan lebih menunjukkan kecemerlangan ketika di sekolah menengah. Justeru itu, bilangan pelajar perempuan mengatasi bilangan pelajar lelaki di IPTA dalam kursus pengajian ijazah sarjana muda.

Walau bagaimanapun bagi kursus pengajian PHD, pelajar lelaki lebih mendominasi IPTA. Begitu juga di Politeknik dan di kolej-kolej komuniti. Pelajar lelaki lebih mendapat tempat kerana mereka lebih berminat dalam bidang-bidang kemahiran dan amali.

MP Tangga Batu turut menegaskan bahawa bilangan pelajar perempuan yang ramai di IPTA bagaimanapun tidak akan menjejaskan peluang pelajar lelaki untuk menceburi kerjaya di peringkat profesional.

Pada saya, topik berkaitan gender ini memang menarik untuk diperdebatkan kerana ia secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa kaum wanita di Malaysia semakin maju dan berdaya saing. Ramai wanita yang telah berjaya dan mengecap kejayaan lebih daripada kaum lelaki. Tidak dinafikan golongan perempuan memang sejak dari zaman dahulu lagi memiliki otak yang pintar namun disebabkan oleh beberapa kekangan dan faktor keluarga, mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi pada masa itu.

Apapun senario bilangan pelajar perempuan melebihi lelaki di pusat pengajian tinggi merupakan fenomena global dan biasa kerana kajian jumlah penduduk dunia menunjukkan bilangan wanita adalah lebih ramai daripada lelaki.

Don't see it as an insult, says Dr M

KUALA LUMPUR: The recent fatwa banning Muslims from practising yoga should not be seen as an insult to other religions, said former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad yesterday.

He viewed the fuss over the fatwa as an "unfortunate" event for others who perceived it as a slur of their religions. "We don't eat pork. That doesn't mean I am insulting the Chinese. When Muslims cannot do yoga, it is not because we are insulting the Hindus.

"It is just they (Muslims) should not do it. Whether the Malays follow it is their business. Other devotees should not turn it into a religious issue.

"I myself don't care whether you stand on your head or you stand on your feet. Perhaps by standing on one's head the blood will go there more and you will think more. It is up to you what you think."

Source: NST Online (26 NOv. 2008)

*********************************

Penjelasan yang tegas oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berhubung isu pengharaman senaman yoga menurut hukum agama Islam. Penganut atau pengamal agama lain khususnya Hindu perlu faham dengan sebenar-benarnya sebab-musabab yoga diharamkan untuk umat Islam.

Ia bukan bermaksud menghina atau mencerca amalan agama berkenaan. Fatwa pengharaman yoga adalah bertujuan supaya umat Islam tidak mengamalkan perbuatan yang dilarang agama Islam. Fatwa yang dikeluarkan adalah sebagai panduan kepada penganut Muslim.

Isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan lagi oleh mana-mana pihak. Noktah.

Majlis anugerah Datuk Shah Rukh Khan ditunda


MELAKA: Majlis penganugerahan darjah kebesaran Melaka sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob yang ke-70 kepada aktor Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan yang dijadualkan di Seri Negeri pada Sabtu ini, ditunda pada 6 Disember.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Berita Harian, menerusi Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Daud Awang petang semalam, menyatakan perubahan itu dibuat kerana tarikh yang ditetapkan itu tidak membolehkan aktor berkenaan menghadirinya.

"Artis popular Bollywood, Shah Rukh Khan memberi persetujuan datang ke Melaka pada Sabtu, 6 Disember untuk menerima darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Datuk Kehormat. Sejak awal lagi, beliau memberi persetujuan datang ke negeri ini dengan memberikan beberapa tarikh sesuai.

"Bagaimanapun tarikh itu tidak bersesuaian dengan kerajaan negeri," katanya yang sebelum ini dilantik kerajaan negeri bagi mempengerusikan jawatankuasa majlis penganugerahan berkenaan.

Sumber: Berita Harian (25 Nov. 2008)

**************************************

Semoga SRK datang ke Melaka untuk menerima anugerah Dato' Kehormat ini. Pastinya kedatangan beliau sangat ditunggu-tunggu oleh jutaan peminatnya. Mungkin juga beribu-ribu peminat akan menunggu SRK di KLIA. Dikhabarkan SRK akan memakai Baju Melayu lengkap bersongkok dan bersamping. Satu penghormatan kepadanya untuk memakai pakaian tradisi Melayu di mana seluruh dunia akan menyaksikannya. Sungguh teruja!

Wednesday, November 19, 2008

Berita Gembira Untuk Penduduk Kapit

Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah (KPLB) akan melaksanakan projek-projek infrastruktur asas iaitu pembinaan jalan luar bandar, bekalan air bersih dan elektrik seperti yang diluluskan dalam Kajian Separuh Penggal RMK9 di Kapit, Sarawak.

Berita ini pastinya akan menggembirakan penduduk di kawasan Kapit yang selama ini begitu ternanti-nanti untuk turut sama menikmati arus kemajuan negara di samping meningkatkan taraf sosial kehidupan mereka.

Sebanyak tiga projek jalan luar bandar diluluskan yang mana pembinaannya akan melibatkan jalan sepanjang 18.20 kilometer berjumlah RM50.60 juta. Pada masa ini proses perolehan sedang dilaksanakan dan dijangka kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan pada bulan Februari 2009.

Bagi projek bekalan air bersih luar bandar pula, projek pembinaan Loji Air Kapit dijangka akan bermula pada tahun 2009.

KPLB juga sedang melaksanakan sembilan projek bekalan elektrik luar bandar bernilai RM1.29 juta yang mana ia akan memberi manfaat kepada 255 buah rumah.

Empat bahagian Wanita UMNO Sabah beralih sokong Shahrizat

KOTA KINABALU 19 Nov. – Empat bahagian Pergerakan Wanita UMNO yang mencalonkan Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pada persidangan baru-baru ini, kini mengalih sokongan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Berikutan keputusan itu, sehingga hari ini sebanyak 18 daripada 25 bahagian di Sabah memutuskan menyokong agar Shahrizat diberi peluang bagi mengambil alih jawatan Ketua Wanita pada pemilihan Mac depan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin berkata, keempat-empat bahagian tersebut ialah Keningau, Kimanis, Tuaran dan Semporna.

``Sebelum ini pada persidangan Wanita di seluruh Sabah, sebanyak 14 bahagian mencalonkan Shahrizat sebagai Ketua Wanita yang secara jelas menggambarkan mereka tidak setuju dengan peralihan jawatan pada Jun.

``Hari ini, kita menerima pendirian empat bahagian Wanita yang sebelum ini mencalonkan Rafidah dan mereka kini melahirkan sokongan terbuka kepada Shahrizat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Armani berkata, Ketua Pergerakan Wanita bahagian yang menyatakan komitmen ialah Amelia Anjun (Keningau), Maznah Ghani (Kimanis), Jamaliah Antaup (Tuaran) dan Manis Muka Mohd. Dara (Semporna).

Menurutnya, sokongan itu bukan bermakna Wanita Sabah ingin melihat pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita tetapi sekadar melahirkan hasrat supaya peralihan dapat dilaksanakan sama dengan peralihan kepimpinan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. - Utusan

********************************

Sama-samalah kita mendoakan agar keputusan yang terbaik dapat dicapai dan semoga persaingan berlaku secara sihat.

Paling penting pemimpin yang ingin dipilih itu benar-benar berkaliber dan mampu memimpin parti serta tanah air dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab.

Media Indonesia anggap kerajaan Malaysia responsif

Jakarta 19 Nov. – Sebuah akhbar perdana tempatan menyifatkan kerajaan Malaysia cukup responsif kerana menurunkan harga minyak sebanyak lima kali dalam tempoh empat bulan.

Berita utama Media Indonesia melaporkan penurunan harga runcit bahan bakar itu berikutan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia merosot di bawah paras AS$60setong.

Akhbar itu menyatakan tindakan pemerintah Indonesia untuk menurunkan harga bahan bakar agak "lamban" atau perlahan.

Indonesia mengumumkan untuk menurunkan harga minyak petrol sebanyak 500 rupiah atau kira-kira 18 sen berkuat kuasa 1 Disember depan. – Utusan.

*****************************************

Respon dari akhbar Indonesia ini telah meningkatkan imej kerajaan Malaysia sebagai sebuah pentadbir yang baik dan popular. Penurunan harga minyak sebanyak lima kali dalam tempoh empat bulan menunjukkan kerajaan begitu peka dalam membantu menangani beban rakyat.

Bagi saya inilah rentak sebuah kerajaan yang popular di mata rakyatnya. Bijak mengendali sebarang krisis yang timbul dan begitu mengambil kira kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi. Setiap kata dikota dan bukannya janji hanya tinggal janji seperti janji-janji manis pihak pembangkang di negeri-negeri yang telah ditawannya. Lihatlah, hingga kini 'gula-gula' yang ingin diberi ketika berkempen untuk PRU 12 masih tiada apa-apa. Bak kata orang, habuk pun tarak...

Tuesday, November 18, 2008

Turun 15 sen lagi

PUTRAJAYA 17 Nov. – Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga minyak sebanyak 15 sen berkuat kuasa esok, kali kelima sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga bahan api itu di pasaran dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan penurunan itu berkata, petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Serentak itu, beliau meminta para peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak supaya orang ramai mendapat manfaat sepenuhnya.

‘‘Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi harga runcit petrol dan diesel sejajar dengan penurunan harga minyak dunia yang berterusan.

‘‘Ini merupakan penurunan yang kelima sejak Ogos 2008, sebagaimana janji kerajaan untuk menurunkan harga jika ada penurunan dalam pasaran dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$55.85 (RM195).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut berharap para pengguna akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walaupun harga bahan bakar itu telah turun.

‘‘Ini selaras dengan hasrat kita memastikan penggunaan tenaga yang efisien,” katanya.

Harga minyak petrol dan diesel telah mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Bagaimanapun, dua bulan kemudian iaitu pada 23 Ogos, kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen menjadikannya RM2.55 seliter, ketika kadar inflasi bagi bulan Ogos meningkat kepada 8.5 peratus, manakala diesel sebanyak lapan sen menjadikannya RM2.50 seliter.

Pada 24 September lalu, kerajaan sekali lagi mengumumkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 dikurangkan 10 sen iaitu masing-masing daripada RM2.55 seliter kepada RM2.45 seliter dan RM2.40 seliter kepada RM2.30 seliter.

Pada 14 Oktober pula, kerajaan menurunkan harga runcit petrol sebanyak 15 sen dan 20 sen bagi diesel ketika harga minyak mentah dunia berlegar sekitar AS$77 setong.

Terakhir, kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak 15 sen pada hujung bulan lalu, menjadikan harga runcit dua bahan api itu masing-masing pada kadar RM2.15 dan RM2.05 seliter.

Sumber: Utusan Malaysia (18 Nov. 2008)

Monday, November 17, 2008

Langkah Menangani Masalah Pengemis

Masalah kegiatan mengemis di kalangan rakyat tempatan dan asing semakin meningkat dewasa ini tetapi masih terkawal. Dalam menangani masalah ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melaksanakan operasi menyelamat pengemis dari semasa ke semasa berdasarkan Akta Orang Papa 1977 (Akta 183). Operasi ini diadakan secara kerjasama padu di antara agensi penguatkuasa seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri/Daerah.

Melalui operasi menyelamat yang dijalankan, pengemis dan kutu rayau akan ditahan sementara selama sebulan mengikut seksyen 3(2), Akta Orang Papa 1977 bagi menjalankan siasatan serta menyediakan laporan sosial. Sekiranya terbukti seseorang itu adalah pengemis atau kutu rayau, maka majistret boleh mengeluarkan perintah masuk ke pusat pemulihan selama 3 tahun untuk pemulihan di Desa Bina Diri, Jerantut, Pahang (lelaki) atau Desa Bina Diri Mersing, Johor (lelaki dan wanita) mengikut seksyen 3(4) Akta Orang Papa 1977.

Manakala bagi pengemis warga asing, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Thursday, November 13, 2008

Faktor Melayu masih mundur

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)

TIADA apa yang menghairankan daripada hasil kajian Jabatan Perangkaan Malaysia yang mendedahkan bahawa sebanyak 301,000 isi rumah orang Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

Pendedahan berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) itu hanyalah penegasan berulang bahawa orang Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini sememangnya jauh ketinggalan daripada sudut ekonomi dengan kaum minoriti lain.

Hakikatnya orang Melayu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar serta segelintir mereka yang menetap di bandar besar, masih ramai tergolong dalam kumpulan di bawah paras kemiskinan.

Malah, bukanlah sesuatu yang janggal juga jika dikatakan terdapat orang Melayu yang tidak mempunyai pendapatan tetap, serta hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dengan pendapatan yang tidak seberapa, kemampuan untuk menyediakan sebuah kehidupan yang berkualiti kepada seluruh isi keluarga juga pastinya sangat terhad. Dalam serba kekurangan, ia memberikan lebih cabaran terutamanya bagi keluarga besar, lebih-lebih lagi yang tinggal di bandar serta kawasan-kawasan pinggiran bandar.

Daripada soal makanan, tempat tinggal, pakaian, kesihatan, pendidikan dan pelbagai keperluan asas lain, semuanya terpaksa ditempuh seadanya.

Paling menyedihkan apabila masa depan pendidikan anak-anak juga terpaksa diperjudikan, sementelah ketika ini terdapat pula syarat untuk ibu bapa mencarum bagi pendidikan anak-anak mereka sebelum boleh diberikan pinjaman pendidikan pada masa depan.

Dalam keadaan sudah terbeban untuk meneruskan kehidupan seharian, bagaimana pula untuk ibu bapa ini mencarum bagi masa depan pendidikan anak mereka? Tanpa pendidikan sempurna, maka jalur kemiskinan itu akan beterusan dan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Di sebalik kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti yang berlaku ketika ini, keadaan sosioekonomi yang lemah tidak boleh mengelak daripada dikaitkan dengan pelbagai isu sosial di kalangan orang Melayu.

Amalan rasuah, merempit di kalangan anak muda, bekerja di lorong-lorong gelap dan pusat hiburan misalnya, adalah senario kehidupan yang boleh dikaitkan dengan desakan kehidupan yang dihimpit oleh kemiskinan.

Tanpa pembangunan ekonomi yang mampan, kelibat orang Melayu di sebalik rencam masalah sosial itu tidak mungkin dapat dihapuskan. Hakikat ini juga meletakkan agenda pembangunan ekonomi Melayu di tempat paling teratas di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu.

Kita pastinya berterima kasih daripada apa yang telah diberikan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam kedudukan ekonomi orang Melayu ketika ini. Namun sesuatu yang pasti, masih terlalu banyak yang perlu digerakkan dan diperluaskan oleh dasar seperti ini dalam memastikan kuasa ekonomi orang Melayu berada pada kedudukan yang sama pentingnya dengan kuasa politik yang kita miliki ketika ini.

Ironinya, perbincangan mengenai kemelut orang Melayu bukanlah perkara baru, sebaliknya kekayaan kaum bumiputera dengan kaum-kaum lain ini sudah dibuat perbandingan sejak lama dahulu.

Penting

Antara hakikat yang perlu diakui meskipun agak pahit untuk ditelan ialah orang Melayu tidak berada dalam kelas ekonomi yang penting menyebabkan agak sukar untuk mereka menentukan perjalanan ekonomi yang lebih besar.

Mengambil contoh dalam piramid jawatan di sesebuah syarikat misalnya, meskipun kuota 30 peratus yang diperuntukkan kepada bumiputera dipenuhi, namun kedudukan orang Melayu itu perlu diteliti.

Hakikatnya, dalam senarai jawatan pengurusan tertinggi sesebuah syarikat korporat, kehadiran orang Melayu sangat kecil. Sebaliknya, orang Melayu lebih banyak berada pada kedudukan jawatan yang lebih rendah. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh modal insan orang Melayu sendiri yang tidak cukup kuat untuk bersaing dengan kaum lain.

Tambahan pula untuk melangkah jauh dalam sektor korporat, orang Melayu perlu menepati kriteria yang sangat tinggi, termasuk latar belakang pendidikan yang cemerlang serta menguasai bahasa Inggeris.

Barangkali disinilah kelemahan kebanyakan tenaga pekerja Melayu, yang meskipun merupakan golongan terpelajar dan lepasan pengajian tinggi, namun tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik sehingga menyempitkan peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.

Kenyataan itu sebenarnya hanyalah sebahagian daripada dilema penguasaan ekonomi orang Melayu, kerana hakikatnya, masih banyak isu yang membelenggu keadaan itu. Antaranya peluang-peluang pekerjaan yang lebih didominasi oleh pekerja asing di sebalik tingginya kadar pengangguran di kalangan orang Melayu.

Begitu juga dengan sikap segelintir industri yang meletakkan kriteria tertentu yang tidak memungkinkan orang Melayu untuk bekerja, selain diskriminasi gaji yang menolak kepada keinginan orang Melayu untuk menceburinya.

Dalam membincangkan tentang agenda pembangunan ekonomi Melayu juga, pelbagai saranan diajukan supaya kek ekonomi negara dapat terbahagi secara sama rata dan tidak hanya dimonopoli oleh kaum tertentu semata-mata.

Antaranya ialah dengan menggalakkan orang Melayu menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Tidak dinafikan, cabang perniagaan mampu menjana pendapatan yang lumayan. Malah, ia juga digalakkan dalam Islam yang meletakkannya sebagai sembilan daripada sepuluh pintu rezeki.

Bagaimanapun, dunia perniagaan bukanlah sektor yang boleh diceburi oleh semua orang, sementelah senario ketika ini sangat jelas memperlihatkan dominasi atau monopoli kumpulan tertentu sehingga sukar untuk orang Melayu bersaing. Melainkan perniagaan makanan seperti membuka restoran, gerai-gerai kecil atau warung, sukar untuk melihat kelibat orang Melayu sebagai tauke atau bos dalam cabang perniagaan lain.

Sama ada pasar raya, kedai runcit, bengkel kereta, kedai elektrik, kedai perabot dan sektor perniagaan berpotensi lainnya, semuanya dikuasai oleh kaum selain Melayu.

Tanpa ada rangkaian dan jalinan perniagaan yang kukuh, orang Melayu yang cuba merebut peluang perniagaan ini ibarat sengaja mencari musibah, dan tidak mustahil akan gulung tikar dengan cepat.

Barangkali di sinilah pentingnya peranan pertubuhan dan badan ekonomi Melayu dalam memastikan kelangsungan usahawan Melayu dalam cabang perniagaan. Antara yang perlu diberi penekanan ialah mengenalpasti cabang ekonomi yang mampu dikuasai oleh orang Melayu dan memperluaskannya supaya mampu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.

Badan ekonomi Melayu juga perlu menjadi tunjang kekuatan kepada usahawan Melayu sama ada dari segi modal, program menambah nilai keusahawan atau sokongan logistik lainnya.

Namun, seperti yang dijelaskan oleh Dekan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Dr. Mohamed Yusoff Ismail, harapan yang disandarkan kepada pertubuhan atau badan ekonomi Melayu itu boleh menjadi sia-sia sekiranya ia tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh politik.

Campur tangan politik sehingga mewujudkan amalan korupsi katanya, hanya akan memberikan kekayaan kepada kroni atau sekutu individu yang mempunyai kepentingan politik tertentu, sekali gus menutup rezeki mereka yang sepatutnya lebih layak.

''Amalan pemberian projek kepada kroni dan ketirisan dalam pembahagian kekayaan ini membunuh ekonomi orang Melayu kerana ia hanya akan lebih mengkayakan orang yang sudah sedia kaya, dan yang miskin pula akan kekal miskin,'' katanya.

Kerajaan dalam memberi peluang kepada peningkatan ekonomi orang Melayu turut tampil dengan pelbagai projek mega seperti pembanguan lima wilayah ekonomi atau koridor yang meliputi hampir seluruh negeri.

Koridor itu ialah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC), kesemua dengan nilai pelaburan berjumlah hampir RM840 bilion.

Bagaimanapun, perlu dipastikan pembangunan koridor itu juga bebas daripada ketirisan dan amalan ali baba supaya salah satu matlamatnya iaitu untuk mengukuhkan kuasa ekonomi orang Melayu benar-benar tercapai.

Namun, kuasa itu hanya berada di kalangan pemimpin Melayu, dan sebagaimana kejayaan dan kemajuan orang Melayu dalam lapangan lainnya terletak di tangan mereka, begitulah juga dalam soal memperkasakan kekuatan ekonomi orang Melayu.

Sumber: Utusan Malaysia (13 Nov. 2008)

Nazri : Enam hakim kanan `memang dipecat’

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan lima hakim kanan yang lain `sememangnya’ dipecat.

Menurutnya, beliau kesal dengan kesilapannya semasa menjawab satu soalan mengenai pembayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan lima hakim kanan yang lain, di Parlimen baru-baru ini.

Katanya, kenyataan beliau mengenai kemungkinan kesemua hakim tersebut telah dipecat 20 tahun lalu adalah tidak benar, sebaliknya sememangnya mereka telah dipecat namun mereka masih menerima bayaran pencen atas dasar ganti rugi sejak itu.

"Saya telah menemui surat daripada Yang Dipertuan Agong ketika itu yang menulis kepada Ketua Setiausaha Negara masa itu meminta dibayar pencen kepada mereka walau dipecat.

``Surat ini tiada siapa yang tahu. Tetapi saya kesal dengan kenyataan saya di Parlimen... saya tidak ada fakta mencukupi ketika menjawabnya, saya kata 'mereka mungkin dipecat'.

"Itu tidak benar. Saya mahu katakan memang mereka dipecat tetapi mereka masih terima pencen," katanya di lobi Parlimen hari ini. - Utusan.

********************************

Citra Adora:

Kenyataan yang cukup jelas dan berfakta sahih daripada Datuk Seri Mohamed Nazri mengenai pembayaran pencen kepada enam hakim kanan yang dipecat suatu waktu dulu.

Jangan ada lagi pihak yang mempertikaikan isu ini. Kerajaan telah menimbang tara dari pelbagai sudut dengan membuat keputusan untuk membayar ex-gratia ganti rugi kepada mereka. Keputusan yang menyenangkan semua pihak.

Tuesday, November 11, 2008

Roti canai, teh tarik turun 10 sen, nasi turun 20 sen

KUALA LUMPUR: Dua persatuan pengusaha restoran yang mempunyai 4,500 ahli di seluruh negara bersetuju menurunkan harga roti canai dan teh tarik sebanyak 10 sen, manakala set hidangan nasi kandar dikurangkan 20 sen.

Setakat ini, 200 ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) di Lembah Klang sudah menurunkan harga makanan dan minuman itu mulai semalam.

Serentak itu, persatuan berkenaan melancarkan kempen menggalakkan ahlinya di seluruh negara menurunkan harga barangan makanan dan minuman itu.

Kempen itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad di Restoran Syed Bistro, Bangsar di sini, semalam.

Presiden Presma, Jamarulkhan Kadir, berkata penurunan harga tiga menu itu dibuat bagi menyahut seruan kerajaan.

“Ini tidak ada kaitan dengan penurunan harga minyak, sebaliknya lebih bersifat keprihatinan pengusaha,” katanya.

Timbalan Presiden Primas, T Muthusamy, pula berkata penurunan harga itu diharap dapat membantu mengurangkan beban orang ramai berikutan keadaan ekonomi tidak menentu.

Sumber: Berita Harian (11 Nov. 2008)

**************************************

Citra Adora:

Berita yang agak menggembirakan. Namun lebih banyak mendukacitakan kerana penurunan harga barang makanan ini tidaklah menyeluruh. Bukan semua restoran atau pengusaha-pengusaha yang bertindak seperti ini.

Seruan dan kempen kerajaan agar peniaga menurunkan harga barang dan perkhidmatan masih kurang mendapat sambutan daripada ramai peniaga meskipun harga minyak petrol dan diesel telah empat kali mengalami penurunan.

Dilihat para peniaga hanya cepat bertindak untuk menaikkan harga barang apabila harga minyak naik tetapi apabila keadaan bertukar sebaliknya mereka lebih suka mendiamkan diri. Keluh-kesah orang ramai perihal harga barang tidak diturunkan tidak mendapat respon positif daripada mereka.

Rata-rata menyatakan mereka tidak dapat menurunkan harga barang kerana stok-stok lama yang dibeli ketika harga minyak mahal masih ada dan ini akan merugikan perniagaan mereka. Jawapan yang sukar untuk diterima pakai kerana harga minyak telah banyak kali turun beberapa bulan kebelakangan ini tetapi mengapa pula harga barang sedikit pun tidak pernah turun walaupun sedikit amaunnya?

Para peniaga perlu mempunyai sifat keprihatinan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat Malaysia. Jangan terlalu mementingkan keuntungan dan kekayaan duniawi semata-mata.

Peralihan Kuasa Wanita UMNO Kekal Jun 2009

Mesyuarat Exco Wanita Umno memutuskan bahawa pelan peralihan kuasa kepemimpinan pergerakan itu kekal pada Jun 2009. Manakala jawatan ketua dan naibnya tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti pada Mac depan.

Ketika mengumumkannya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat empat jam itu, Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz menjelaskan, keputusan berkenaan dicapai selepas perbincangan mendalam demi perpaduan serta menguatkan parti dan Presiden kerana Wanita menjadi tulang belakang Umno.

Ini bermakna Tan Sri Rafidah Aziz akan menyerahkan tampuk pimpinan Wanita Umno kepada penolongnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009 bagi meneruskan kesinambungan perjuangan Wanita Umno dan moga-moga Datuk Seri Shahrizat berjaya mengangkat serta mengukuhkan kedudukan parti ke tahap yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Friday, November 7, 2008

Caruman KWSP dikurang 3% Jan.

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus akan dibuat secara automatik mulai gaji Januari depan.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, potongan gaji secara automatik yang dikurangkan daripada 11 peratus kepada lapan peratus itu dilaksanakan selama dua tahun.

‘‘Langkah itu bagi memudahkan ahli dan melancarkan pelaksanaan pengurangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selasa lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 bagi Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Rakyat mengumumkan kerajaan akan membenarkan para pekerja mengurangkan kadar caruman KWSP mereka sebanyak tiga peratus mulai Januari depan.

Menurut Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri, langkah itu bertujuan menambah pendapatan boleh guna pekerja.

Ketika ini, caruman majikan kepada KWSP adalah sebanyak 12 peratus manakala caruman pekerja pula 11 peratus.

Nik Affendi menjelaskan, ahli yang ingin mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang KWSP 17A (AHL).

Jelasnya, borang yang telah lengkap diisi perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada KWSP.

Sehubungan itu, katanya, KWSP akan mengeluarkan jadual caruman bulanan yang baru kepada pencarum.

‘‘Ahli dan majikan boleh mendapatkan jadual caruman baru itu dan Borang KWSP 17A (AHL) dari mana-mana cawangan KWSP.

‘‘Kaedah lain, mereka boleh memuat turun daripada laman web myEPF di www.kswp.gov.my mulai 1 Disember ini,’’ katanya.

Sementara itu, menurut sumber pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pendapatan daripada pengurangan caruman tiga peratus itu tidak akan dikenakan potongan cukai.

Sumber: Utusan Malaysia (7 NOv. 2008)

****************************************

Citra Adora:

Salah satu langkah kerajaan dalam melaksanakan pakej rangsangan ekonomi negara dan mendepani masalah kegawatan ekonomi global. Pengurangan caruman KWSP sebanyak 3% ini diharap dapat menggalakkan sektor peruncitan dan pelancongan (pendapatan boleh guna) rakyat bagi merancakkan sektor-sektor berkenaan sekali gus memberi pulangan kepada kebaikan kewangan negara jua.

Wednesday, November 5, 2008

Kerajaan Suntik RM7 Bilion Rangsang Ekonomi Negara

Sumber Rajah: Berita Harian (5 Nov. 2008)



YAB Datuk Sri Najib Tun Razak dalam sidang Parlimen 4 Nov. 2008 mengumumkan pelbagai langkah tambahan dalam Bajet 2009, termasuk suntikan perbelanjaan RM7 bilion untuk mengukuhkan daya tahan serta mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.

Keputusan kerajaan ini merupakan satu langkah bijak dalam merangsang ekonomi negara lebih-lebih lagi di kala senario ekonomi global mengalami kemerosotan. Suntikan dana RM7 bilion yang diperoleh hasil daripada penjimatan subsidi minyak membuktikan kebijaksanaan kerajaan dalam mengurus hal ehwal kewangan negara di mana keuntungannya tetap akan dinikmati oleh rakyat.

Pada Jun lalu apabila berlaku krisis kenaikan harga minyak dunia, kerajaan turut mengambil langkah drastik menaikkan harga minyak pasaran tempatan mencecah RM2.70 seliter. Tindakan ini mengundang provokasi dan tohmahan barisan pembangkang yang mendakwa keputusan kerajaan itu adalah tidak bijak serta menyeksa rakyat walaupun kerajaan tetap memberi subsidi harga minyak sebanyak 30 sen. Kini harga minyak global telah turun dan harga minyak tempatan telah mengalami penurunan sebanyak empat kali (terkini harga minyak petrol RM2.15 seliter). Dilihat kerajaan benar-benar mengotakan janjinya terhadap rakyat. Penyelarasan harga minyak yang dibuat sebulan sekali ini sama sekali tidak akan membebankan rakyat.

Perbelanjaan tambahan hasil penjimatan subsidi minyak itu pula akan dibelanjakan untuk 15 bidang meliputi perumahan, pendidikan, pengangkutan serta insentif bagi menggalakkan kegiatan pelaburan dan perniagaan, sekali gus untuk kebaikan dan manfaat rakyat.

Inilah bukti sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya.

Monday, November 3, 2008

Kempen Budi Bahasa Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kempen Budi Bahasa akan diperhebatkan dalam kalangan anggota Parlimen kerana mereka adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

“Anggota Parlimen selalu menjadi perhatian rakyat, apa yang mereka katakan adalah menjadi tanggapan rakyat dan sudah semestinya mereka juga terikat dengan sikap berbudi bahasa.
“Mereka merupakan ahli Yang Berhormat yang mempunyai pengaruh yang begitu kuat bukan hanya di kawasan masing-masing malahan juga di peringkat kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita 2008 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa pendekatan yang sesuai untuk kegunaan Anggota Parlimen dan ahli Yang Berhormat seperti penyebaran risalah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amalan mencampuradukkan Bahasa Malaysia dengan Bahasa Inggeris semasa perbualan harian dalam kalangan rakyat negara ini, menunjukkan mereka mengalami kecamukan budaya.

Beliau berkata, amalan sedemikian bukan sahaja menyebabkan seseorang individu tidak dapat menguasai kedua-dua bahasa berkenaan dengan baik, malah menjejaskan kelancaran berkomunikasi.

“Kalau cakap Bahasa Malaysia cakaplah dengan penggunaan yang betul, kalau cakap bahasa Inggeris pun, cakaplah dengan betul,” katanya semasa merasmikan Penubuhan Majlis Alumni Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia.

Rais berkata, kuasa yang diberi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membetulkan penyalahgunaan Bahasa Malaysia dalam penerbitan dan papan tanda tidak mendatangkan kesan yang positif.

“Masalah penggunaan bahasa adalah lantaran kelemahan dalam penegasan dan penguatkuasaannya, hingga ada pihak yang ambil kesempatan dan memperkecilkan akta Bahasa Kebangsaan,” katanya.


– Bernama

*************************************************
Citra Adora:

Satu anjakan baru yang sangat bernas khusus untuk ahli Parlimen Malaysia. Kempen Budi Bahasa ini wajar dipraktikkan oleh ahli Parlimen Malaysia terutamanya barisan ahli parlimen pembangkang yang kita sendiri sedia faham dan maklum bahawa mereka gemar mengeluarkan bahasa yang kesat serta tidak wajar didengar dan ditonton oleh masyarakat.

Semoga ahli-ahli parlimen ini dapat menyahut seruan kerajaan menjadi penutur yang berbudi bahasa dan berhemah mulia.

Pertahan matrikulasi langkah bijak

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Keputusan kerajaan untuk tidak memansuhkan program matrikulasi merupakan satu langkah bijak dalam memastikan modal insan negara dapat diseimbangi secara berterusan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah berkata, kebaikan daripada keputusan itu juga bersifat menyeluruh iaitu meliputi kecemerlangan akademik dan sosial di kalangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera.

Menurutnya, ia selaras dengan kehendak kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan apabila tiada halangan untuk mereka mengembangkan lagi kegiatan kemasyarakatan di kolej matrikulasi.

''Saya sokong keputusan kerajaan kerana banyak manfaat yang diperoleh daripada tindakan tersebut terutama bilangan pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) menunjukkan peningkatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengumumkan kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan program matrikulasi kerana berjaya mengimbangi bilangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPT.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohammad berkata, berita itu amat menggembirakan semua pihak kerana keprihatinan kerajaan dalam memastikan lebih ramai golongan berpendidikan di negara ini.
Katanya, ini terutama dalam memastikan bilangan kolej matrikulasi bertambah dan penambahbaikan infrastruktur bagi memastikan pelajar mendapat keselesaan semasa proses pembelajaran.

''Kita sangat gembira dengan keputusan kerajaan ini terutama mengenai pembinaan tiga lagi kolej matrikulasi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)," ujarnya.
Pendapat itu turut disokong oleh Koordinator Gerakan Mahasiswa Mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Zulzaidi Mahmood yang menyifatkan kerajaan sentiasa menambah baik program matrikulasi agar setanding luar negara.

Beliau berkata, program yang sudah dilaksanakan lebih 30 tahun itu hampir tiada bezanya dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana ia diurus secara profesional dan ditadbir oleh kerajaan.

''Kita juga berharap pelajar lepasan kolej matrikulasi yang memasuki IPT dapat memberi sumbangan kepada negara sebagai membalas jasa kerajaan," ujarnya.


Sumber: Utusan Malaysia (3 November 2008)

*************************************************

Citra Adora:

Program matrikulasi wajar dipertahankan kerana ia berjaya mengimbangi bilangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPT. Tindakan bijak kerajaan ini berupaya meningkatkan lagi jumlah rakyat yang berpendidikan di negara kita. Rakyat dapat menimba ilmu pengetahuan dengan sama rata, setinggi yang boleh. Lulusan matrikulasi ini mampu bersaing dan beroleh kejayaan yang cemerlang setelah menyambung pendidikan di IPTA.

Oleh yang demikian matlamat kerajaan untuk melahirkan modal insan negara dapat dilaksanakan secara berterusan.

Kerajaan sentiasa prihatin nasib pekerja-pekerja Malaysia

MP Parit Sulong (Timbalan Menteri Sumber Manusia) berjaya menjawab soalan bertubi-tubi daripada MP Kuala Langat (PKR)dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. MP Kuala Langat bertanya mengenai keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan dan masa depan pekerja-pekerja swasta.

MP Parit Sulong dengan tenang dan tangkas menjawab bahawa kerajaan memang sangat prihatin berhubung nasib pekerja-pekerja swasta iaitu kerajaan sentiasa memastikan faedah penamatan kerja adalah mengikut kontrak perkhidmatan yang terkandung dalam Akta Kerja 1965.

Di samping itu juga Kementerian Sumber Manusia telah menggariskan beberapa pendekatan baru iaitu menubuhkan tim pemantau pemberhentian pekerja-pekerja di negeri-negeri, membantu pekerja yang diberhentikan mendapat pekerjaan baru, mengadakan mini karnival kerjaya yang lebih fokus bagi membantu pekerja-pekerja yang diberhentikan agar tidak hilang arah dan mewujudkan satu skim kepada majikan untuk melatih semula pekerja mereka bagi menaik taraf kemahiran pekerja mereka.

Tambah MP Parit Sulong lagi, kerajaan turut mengambil tindakan tegas kepada majikan yang mengabaikan/meninggalkan pekerja.