Friday, November 28, 2008

Arak: Dewan Ulama Pas kecewa keputusan Selangor

KOTA BHARU 27 Nov. – Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamed Daud hairan dengan Kerajaan Selangor yang terlalu sukar untuk menerima cadangan parti itu berhubung peraturan membataskan jualan minuman beralkohol di negeri tersebut.

Beliau berkata, cadangan peraturan tersebut hanya melibatkan umat Islam dan tidak timbul masalah dengan masyarakat beragama lain kerana mereka masih bebas mengamalkan cara hidup sendiri.

“Pas tidak mempunyai kuasa ke atas DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun kita sama-sama berada dalam pakatan pembangkang, jadi kita hanya mampu memberikan cadangan dan terpulang kepada kerajaan yang memerintah untuk menerimanya.

“Keputusan berhubung peraturan penjualan minuman keras dan mengurangkan premis judi di lima buah negeri pakatan pembangkang dibuat ketika muktamar tahunan parti Pas baru-baru ini, dan ia memang menjadi hasrat parti untuk melihat negeri-negeri di bawah pakatan untuk melaksanakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan campuran Selangor di bawah pimpinan PKR yang menolak usaha Pas Selangor untuk memperkenalkan peraturan membataskan jualan arak berkuat kuasa Januari depan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan alasan keputusan itu terpaksa dibuat kerana penduduk di negeri itu terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disebut sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang meluluskan usul berkenaan yang bakal berkuat kuasa Januari depan.

Bagaimanapun, usaha murni itu dikecam DAP apabila ketua publisitinya, Tony Pua menyifatkan Pas sebagai bongkak dan sukar bekerjasama kerana tidak merujuk terlebih dahulu dengan parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.

Sumber: Utusan Malaysia (28 Nov. 2008)
****************************************

Jelas Pakatan Rakyat tidak ada kesepakatan dalam membuat dan melaksanakan sesuatu keputusan. PAS, PKR dan DAP sudah acap kali bertelagah. Wajarlah parti gabungan mereka ini ditukar kepada PTS (Pakatan Tidak Sepakat) atau nama-nama lain yang lebih sesuai. PAS dilihat ingin melaksanakan dasar-dasar dan syariat Islam dalam pentadbirannya tetapi PKR pula (walaupun ketuanya adalah orang Melayu dan beragama Islam) lebih sekular kononnya bersikap toleransi dan mengambil kira kepentingan serta kemahuan kaum/agama lain.

PKR sebenarnya umpama 'lembu yang dicucuk hidung' oleh DAP. PKR lebih gemar mengikut kata DAP dan lebih suka menjaga hati parti gabungan Pakatan Rakyat yang satu ini berbanding untuk bekerjasama dengan parti PAS. PAS pula umpama 'anak tiri' yang dikesampingkan...

No comments: