KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kempen Budi Bahasa akan diperhebatkan dalam kalangan anggota Parlimen kerana mereka adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
“Anggota Parlimen selalu menjadi perhatian rakyat, apa yang mereka katakan adalah menjadi tanggapan rakyat dan sudah semestinya mereka juga terikat dengan sikap berbudi bahasa.
“Mereka merupakan ahli Yang Berhormat yang mempunyai pengaruh yang begitu kuat bukan hanya di kawasan masing-masing malahan juga di peringkat kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita 2008 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
“Kita sudah mengenal pasti beberapa pendekatan yang sesuai untuk kegunaan Anggota Parlimen dan ahli Yang Berhormat seperti penyebaran risalah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, amalan mencampuradukkan Bahasa Malaysia dengan Bahasa Inggeris semasa perbualan harian dalam kalangan rakyat negara ini, menunjukkan mereka mengalami kecamukan budaya.
Beliau berkata, amalan sedemikian bukan sahaja menyebabkan seseorang individu tidak dapat menguasai kedua-dua bahasa berkenaan dengan baik, malah menjejaskan kelancaran berkomunikasi.
“Kalau cakap Bahasa Malaysia cakaplah dengan penggunaan yang betul, kalau cakap bahasa Inggeris pun, cakaplah dengan betul,” katanya semasa merasmikan Penubuhan Majlis Alumni Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia.
Rais berkata, kuasa yang diberi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membetulkan penyalahgunaan Bahasa Malaysia dalam penerbitan dan papan tanda tidak mendatangkan kesan yang positif.
“Masalah penggunaan bahasa adalah lantaran kelemahan dalam penegasan dan penguatkuasaannya, hingga ada pihak yang ambil kesempatan dan memperkecilkan akta Bahasa Kebangsaan,” katanya.
– Bernama
*************************************************
Citra Adora:
Satu anjakan baru yang sangat bernas khusus untuk ahli Parlimen Malaysia. Kempen Budi Bahasa ini wajar dipraktikkan oleh ahli Parlimen Malaysia terutamanya barisan ahli parlimen pembangkang yang kita sendiri sedia faham dan maklum bahawa mereka gemar mengeluarkan bahasa yang kesat serta tidak wajar didengar dan ditonton oleh masyarakat.
Semoga ahli-ahli parlimen ini dapat menyahut seruan kerajaan menjadi penutur yang berbudi bahasa dan berhemah mulia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment